Monday, October 3, 2011

FILEM adalah SENJATA BERBAHAYA

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia sebagai pembuka.
Dalam perjalanan pulang setelah hampir 2 hari aku ber’kampung’ di studio SKOP,mengemaskini hasil akhir filem “Jalan Kembali” (BOHSIA II),aku dikejutkan dengan topik  perbincangan filem tempatan pada siaran radio IKIM.fm.Sungguh menarik dan informatif.Isu-isu dan permasalahan yang dibincangkan sangat kontemporari dan ‘kena’ denganku,ditambah pula dengan panggilan daripada para pendengar yang tidak putus-putus sejak awal sesi diskusi membuatkan 10-15 minitku mendengarnya terlalu berharga.Jujurnya,dengkelnya ilmuku.
________________________________________________________________________
FILEM.Apa gambaran pronto pada  fikiran bila ditanya mengenai FILEM?

“Filem?Tak lebih dari sekadar hiburan untuk  masyarakat lari sejenak dari kepenatan hidup”

Aku tersenyum bila ada yang memberiku jawapan seperti itu.

Filem memberi pemahaman simbolik yang berbeza.Filem melahirkan interpretasi  yang tidak semata-mata sama persis kenyataan yang cuba ditampilkan,justeru mendorong penonton untuk bebas bermain dengan fikiran,menduga maksud yang tersirat dalam setiap babak yang disajikan.

Bagiku,filem adalah medium pembelajaran yang diwarna-warnikan dengan elemen hiburan.Filem adalah refleksi realiti dalam konstruksi kreativiti pembikinnya.Jika betul niat dan caranya,insyaAllah mesej yang cuba disampaikan akan terkesan di hati dan di minda.Tidak mustahil filem mampu menjadi inspirasi kehidupan seharian dan dijadikan sebagai panduan.

Sedar atau tidak,pada tahun 2010 sahaja rakyat Malaysia telah membelanjakan hampir setengah billion untuk menonton filem  di serata panggung wayang tanah air..Dengan jumlah kasar penonton 54.29 juta inilah berjaya menghasilkan filem-filem ‘box office’ tempatan.Jadi apa konklusi peribadi anda bila diberikan fakta sebegini?
Ya.Nyata filem mampu memberi impak mega pada masyarakat sejagat,

Persoalannya,impak yang bagaimana?

Impak yang positif atau sebaliknya?

Lantas oleh kerana itu,aku menyeru pada semua penggiat filem tempatan,termasuk diriku sendiri,agar sama-sama berusaha keras menghasilkan filem-filem yang berkualiti dan ber’isi’.Kita harus terus meneliti intipati yang cuba kita garap dan visualisasikan pada masyarakat.Kita harus bijak dalam menyampaikan mesej dengan kaedah yang tepat agar mampu diterima semua,terutama generasi muda masa kini yang kian ‘celik filem’.

Nasihatku pada diri sendiri dan semua,jangan mudah melontar komentar menghina atau memperkecilkan hasil kerja sesiapa.Bersangka baiklah selalu.Cari kelebihan dan pengajaran dari setiap filem yang ditonton,bukan dicari kesilapan dan kelemahan  untuk dijadikan bahan ejekan dan cemuhan.Jika benar ada salahnya,isu harus dibawa berbincang bersama dalam suasana yang harmoni.Persengketaan tidak membawa kita ke mana-mana malah mampu mengeruhkan industri kita yang baru sahaja mahu ‘bangun’.

Jangan menunding jari pada sesiapa bila 4 jari yang lain menunding pada kita.Sama-sama kita koreksi diri dan terus memberi yang terbaik untuk semua.Kita manusia tidak lari dari melakukan kesalahan lantas pada setiap tika jangan lokek memohon kemaafan.

Akhir kata,filem adalah ‘senjata berbahaya’.Jangan disalahguna hanya untuk kepentingan diri semata-mata.

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof
P/s :  Baca entri Dr.Anwar Fazal yang bertajuk "Aku,kamu dan paku" untuk lebih mengerti impak gagal mengawal marah dan impak kata-kata pada kita. http://burnofburnsoul.blogspot.com/2011/03/akukamu-paku.html