Sunday, March 4, 2012

F.I.L.E.M


2 hari ini aku habis menonton semua filem yang berjaya di Anugerah Academy 2012 bersama pena dan buku nota kecilku yang tak pernah lepas dari tangan,mencatat nota panduan,kelebihan dan melakar plot  menarik yang ditonjolkan.Seakan tidak percaya bila filem hitam putih tanpa suara “The Artist” mampu dinobatkan sebagai filem terbaik tahun ini walaupun bersaing dengan filem-filem hebat lain seperti  “The Iron Lady” ,”Beginners” dan ”The Help”.

Nyata dalam dengkelnya ilmuku dalam dunia filem,aku ‘lambat’ untuk menyedari keunikan yang tersembunyi pada setiap filem ini sehingga aku perlu berkali-kali mengulangi beberapa babak yang nampaknya seakan biasa dan bersifat ‘superfisial’ tetapi rupanya terselit elemen yang perlu diduga dan ditafsir erti tersiratnya.Filem-filem sebegini membuat aku berfikir sebelum seacara ‘buta’ mentafsir.Jika ada masa luang,tontonlah.

Berbalik pada senario realiti industri filem Negara,pada pengamatanku,Industri filem Negara kita semakin maju tetapi dalam ‘ruang bahaya’ jika tidak dipantau dari semasa ke semasa .Ia berkembang pesat pada kadar anjakan yang sedikit membimbangkan.Ini terbukti dengan lambakan filem tempatan bila mana buat pengetahuan semua,bermula sahaja lembaran tahun 2012,filem tempatan ditayangkan pada kadar sebua h filem seminggu dan bermula pada pertengahan tahun ini,2 buah filem seminggu.Jika dicongak,untuk pertengahan pertama 2012 sahaja,12 filem tempatan ditayangkan dan 24 filem lagi bakal mengisi slot separuh yang kedua.Secara total ,lebih 50 buah filem tempatan untuk 2012.

Aku akui,ianya satu kuantiti yang cukup memberangsangkan namun,pada kaca mataku,ada pro dan kontranya.Konflik kuantiti dan kualiti lambat laun pasti jadi fokus utama.Perlu diingat,pada setiap graf kenaikan,lazimnya ia akan tiba pada satu fasa yang dinamakan fasa ‘plateu’ iaitu satu fasa di mana ia akan berada pada keadaan statik sebelum ke fasa kejatuhan.Aku berkata berasaskan fakta kelaziman.Aku benar-benar tidak mahu industri kita mengikut rentak kelaziman graf kejayaan yang drastik.Biar bertatih dahulu kemudian berjalan seterusnya baru berlari.Biar perlahan,tetapi pasti akan destinasi.Bukti awal ialah majoriti filem yang ditayangkan sejak dari awal tahun ini kurang mendapat sambutan yang menggalakkan.

Selepas kejayaan filem KL Gangster,aku sedari banyak filem segenre mula dikeluarkan.Jauh sekali dari niat untuk berbangga,tetapi dengan penuh rasa rendah diri,di sini aku ingin mengingatkan agar kita tidak terlalu ghairah untuk menghasilkan  filem tanpa diambil kira soal pengajarannya,bukan hanya aksi membuta tuli semata-mata.Moralnya perlu jelas.Biar ada keseimbangan kerana keseimbangan inilah yang mampu member kesan pada hati-hati penonton.Aku enggan mengulas panjang.Kita ada persepsi tersendiri.Aku akan sentiasa hormati pendapat,ide dan buah fikiran sesiapapun.

Akhir kata daripadaku untuk kali ini,
F.I.L.E.M:Filem Itu Lukisan/Lanskap Emosi Manusia.
Sama-sama kita hasilkan yang ‘tercantik’ biar bila ia dilihat mata terus jatuh ke hati kita dan akan kekal memberi impak positif yang mampu bertahan lama..

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof