Sunday, June 17, 2012

BERSIHKAN DULU HATI KITA,KAWAN-KAWAN..



Hari itu hari yang menakutkan bagiku.Hari bila mana Malaysia tanah tumpah airku ini yang aku kira akan tenang,damai dan harmoni dengan bangsanya yang berbilang akan terus aman tanpa sebarang  perhimpunan/demonstrasi tunjuk perasaan/protes terbuka atau secara terangan-terangan,akhirnya menjadi realiti paparan mata sejagat dan dunia.Hari itu hari ‘kuning’.Hari ‘bersih’ mengikut pemahaman segolongan masyarakat kita.

Sungguh,Demi Tuhan,aku tidak menyimpan apa-apa rasa benci atau marah.Aku sedih.Terlalu sedih.Aku berada di kotaraya  tatkala demonstrasi berlaku.Ada hikmahnya.Aku lupa atau lewat untuk sedar pada hari itu rupanya akan berlangsung satu perhimpunan,hanya bila kesesakan jalan raya menggila dengan beberapa jalan utama ditutup,warna kuning bersama sepanduk penuh di sana sini menjadikan kota raya ‘kota kuning’ buat sementara,baru aku tersentak dan sedar hari itu adalah hari ‘bersih’.

Satu pengalaman yang tidak akan dapat aku lupakan bila melihat berbondong-bondong mereka berjalan seiring,dengan sepanduk dan laungan lantang cogan kata/frasa ‘bidasan’.Raut-raut wajah mereka aku tenung.Cuba mencari jawapan pada tenunganku.Aku gagal.Aku tewas dalam mentafsir rasa mereka.

Aku hormati ideologi mereka,apa yang mereka perjuangkan,cuma persoalanku “Adakah dengan cara ini?Tiada cara lainkah yang lebih baik?”Persoalan itu berputar ligat dalam benak fikiranku sehingga aku dikejutkan dengan bunyi hon kenderaan dari belakang untuk aku segera bergerak meninggalkan ruang sempit sendat lagi padat kotaraya ketika itu.

Agendaku untuk membeli pakaian dan melawat teman yang sedang sakit pada hari itu terkubur.Aku pulang ke rumah dengan fikiran yang sarat dengan persoalan dan perasaan sedih dan takut yang amat sangat.Aku tidak mahu negaraku yang selama ini aman jadi porak peranda dan jadi ‘mainan’ Negara luar yang memang sudah lama memantau dan menunggu masa yang tepat untuk ‘menjajah’ semula setelah Malaysia berkembang pesat dengan kemajuan.

Aku enggan mengulas panjang isu ini kerana aku pasti aka ada yang tersalah erti.Lantas aku tinggalkan beberapa soalan ini untuk semua dan juga untuk diri aku sendiri.

*Sudahkah kita menghapuskan korupsi  pada diri kita sendiri sebelum bersungguh-sungguh ingin menghapuskan korupsi pemerintah?


*Sudahkah kita jaga solat 5 waktu dan melaksanakan rukun Islam dengan sempura sebelum lantang bercakap tentang agama?


*Adakah kita benar-benar jaga bayaran zakat kita biar telus sepanjang masa?


*Adakah kita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Ibubapa dan kaum keluarga kita?


*Buat yang sudah berumahtangga dan mempunyai cahaya mata,sudahkah kalian mendidik isteri dan anak dengan didikan Agama?


*Adakah terjaga hubungan sesama jiran tetangga kita?

Itu antara persoalan yang bermain di mindaku.

Aku hanya ingin mengingatkan diriku dan yang lain bahawa pemimpin itu datangnya dari kalangan kita;rakyat pada awalnya.Maka jika zalim seorang pemimpin itu disebabkan zalimnya rakyat,begitulah sebaliknya.Sama-sama kita renung-renungkan.



Aku petik kata-kata Dr.Anwar Fazal dari Twitternya sebagai penutup:
"Apapun bersihkan dulu dalaman,hati.Kalau itu kotor,yang lain turut kotor walau jasad bersih dibaluti pakaian putih"

Salam satu Malaysia!

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof

HINGGA HUJUNG DUNIA



Salam  “Hingga Hujung Dunia” buat semua pembaca tulisanku.Kali ini,aku ingin menulis bebas,tiada spesifikasi atau tajuk tetap,rawak tetapi bukan serawak Gerakan Brown yang kite pelajari dalam ilmu sains.

Dalam tidak sedar,masa berlalu cukup pantas mengalahkan pantasnya keretapi peluru Negara matahari terbit itu sehingga bila aku sangka aku mahu turun pada stesyen seterusnya,aku cuba mencapai butang sebagai tanda awal pemberitahuan untuk berhenti pada destinasi seterusnya namun seringkali aku gagal dan tidak sempat kerana asakan dari penumpang-penumpang lain yang berada pada ‘gerabak yang sama.’

Selama hampir sebulan ini jadual hidupku cukup padat dari lakonan ke ‘editing’.Habis tugas lakonan,aku berkejar pula ke studio memerah otak,bersengkang mata,berkali-kali membaik pulih plot-plot KL GANGSTER 2,cuba untuk memberikan hasil yang terbaik untuk tatapan semua kerana aku percaya rakyat kita sudah matang untuk menilai filem-filem hasil tangan anak tempatan dan tidak salah untukku nyatakan,mereka meletakkan filem luar sebagai perbandingan.Satu cabaran yang cukup besar buatku dan semua penggiat seni  tanah air!

Jalan Kembali;BOHSIA 2,filem arahanku seterusnya ini akan ditayangkan di pawagam bermula 7 Jun 2012.Ini adalah sekual filemku yang sebelumnya BOHSIA;Jangan Pilih Jalan Hitam.Buat semua yang sudah menonton BOHSIA yang  pertama,bagi sekualnya aku persembahkan satu adunan emosi dalam selingan aksi,dan yang paling penting,pengajaran di sebalik tribulasi kehidupan lebih dibandingkan yang pertama.Padat.Tonton ‘trailer’nya di YouTube.

Aku tertarik dengan Artikel Serimah di ruangan Hip pada hari Isnin lepas yang bertajuk “Jangan Buat Filem Mi Segera”-Penerbit perlu kaji selera peminat demi perkembangan industri.Pada kolum itu juga diberi jadual senarai kutipan filem-filem tempatan sepanjang 2012 ini dan nyata kurang memberangsangkan.
Kutipan tertinggi untuk tahun ini sehingga bulan ini iala ‘Adnan Sempit 2’ dengan jumlah kumulatif kutipannya RM 6.82 juta.Tahniah buat Metrowealth.

Tiada sangkalan pada kenyataan Abang Norman KRU yang menyatakan penonton masa kini menonton wayang yang hanya kena pada cita rasa mereka dan ini adalah factor yang mempengaruhi kutipan filem.Konklusinya,filem harus dihasilkan mengikut citarasa terkini penonton,bukan citarasa sendiri pembikin filem.

Beralih pada lagu.Hingga Hujung Dunia,ya,itulah tajuk ‘single’ terbaruku.Dalam tidak sedar sudah 4 single yang aku telah hasilkan;dari ‘BIDADARI’ ke ‘APAKAH SEMUANYA ITU’,seterusnya ‘YA ROBBI’ dan kini ‘HINGGA HUJUNG DUNIA’.Untuk mendengar single terbaruku ini bolehlah ke youtube pada channel BURNSOUL4U atau taipkan terus pada kotak pencarian HINGGA HUJUNG DUNIA.

Alhamdulillah,maklum balas yang diterima setakat ini baik dan positif.HHD adalah lagu runut filem Aku Bokon Tomboy yang dihasilkan mengikut citarasa remaja masa kini,’catchy’ dengan nada futuristik.Buat yang masih belum mendengar,dengarlah dan kongsikan pada semua ok?

Akhir kata,Filem dan Lagu adalah nyawaku.Hari-hariku berputar sekitar filem-filem dan lagu-lagu yang cuba kufahami maksud tersiratnya suapaya aku mampu menghasilkan filem dan lagu yang lebih baik dan‘berisi’ buat semua.Pesananku,apapun,pilih filem dan lagu yang ingin ditonton dan didengar.Filem dan lagu mampu member inspirasi dalam kehidupan,namun dalam masa yang sama mampu  ‘merosakkan’ minda jika salah
pilihan.Renung-renungkan
Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof 
-Soul of Burn & Soul-