Sebelum aku pergi lebih jauh,aku ingin panjatkan kesyukuran pada Ilahi atas pengiktirafan yang diberi kepadaku dan adikku,Syafiq.Nama kami berdua bakal diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.Syafiq diiktiraf sebagai pengarah Malaysia termuda yang telahpun berjaya mengarah filem SAM yang bakal ditayangkan pada Hari Raya tahun ini.Manakala aku pula diberi 2 pengiktirafan;Pengarah muda yang memenangi Pengarah Terbaik FFM dua kali berturut-turut untuk filem Evolusi KL Drift(2010) dan KL Gangster(2011) serta pengarah termuda yang berjaya menghasilkan filem dengan kutipan tertinggi untuk KL Gangster-RM 12 Juta.
Alhamdulillah.Pengiktirafan ini adalah pengiktirafan untuk semua pejuang dan penggiat filem tempatan.Pengiktirafan ini adalah sumber inspirasi untuk aku dan warga SKOP Production khususnya.Bukan niatku untuk berbangga-bangga.Jauh sekali.Niatku di sini adalah untuk memberi inspirasi pada semua,tidak kira apa jua pekerjaan yang kalian lakukan,tidak kira siapa,jika visi kita jelas,jika usaha kita keras,insyaAllah DIA akan membantu kita menuju ke puncak yang teratas.
Aku pegang kata-kata Steve Jobs “Jangan biarkan pendapat orang lain menenggelamkan suara hati anda.Apa yang lebih penting,anda perlu berani ikut kata hati dan naluri anda”
Maaf jika aku menyatakan di sini mengenai mentaliti lemah kita kerana aku pernah menjadi antara yang berfikiran serupa.Kita terlalu memikirkan pendapat orang lain dan sering mudah terluka jika ditegur dan diberi komentar atas hasil kerja kita.Itu aku yang dulu.Formula aku untuk menanganinya ialah,selalu berfikiran positif dan terbuka.
Hormat pendapat semua.Jangan melatah dengan cemuhan dan provokasi yang menyatakan hasil kerja kita hanya ‘biasa-biasa’ dan tiada apa yang istimewa.’Telan’ itu semua dengan titipan senyuman.Pasakkan dalam hati;itu semua adalah pembakar semangat kita untuk lebih berusaha keras menjadi lebih baik.Jangan pernah berburuk sangka pada sesiapa. Sekurang-kurangnya mereka bersuara menyatakan pendapat mereka.Ayuh bersangka baik pada semua!
Seterusnya,ini nasihatku sebagai seorang pengarah kerdil yang dibesarkan dalam dunia seni sejak dari kecil,jangan sekali bertelingkah dan mengeluarkan sebarang kenyataan buruk mengenai sesiapapun.Gunakan medium yang betul dalam menyelesaikan masalah sesama rakan se-industri.Industri kita baru sahaja mahu berkembang.Jangan bantutkan dengan isu-isu ‘peribadi’ dan pertelingkahan sesama sendiri bila sepatutnya industri ini diwarna-warnikan dengan hasil kerja berkualiti anak-anak tempatan yang bervisi.
Hormati juga rakan-rakan wartawan,pemberita,blogger dan semua yang banyak membantu kita secara langsung atau tidak langsung.Jika ada perselisihan,cuba cari jalan penyelesaian aman,bukan dicanang seMalaya kerana aku percaya masih banyak berita Negara yang lebih penting untuk dikongsi dengan semua.
Akhir kata,
'jika kita berumah kaca,jangan terlalu berani melempar batu pada sesiapa'.
Renung-renungkan.Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof


