Tuesday, September 20, 2011

MELAKAR SEJARAH DALAM SEJARAH

 
23 Februari 1950
Bukit Kepong,
59 km dari bandar Muar,Johor
Sebelum beduk sempat diketuk memanggil jemaah untuk menunaikan solat Subuh sebagai pembuka tirai hari dalam penuh keberkatan,  serangan gerila komunis penuh tragis  bermula.

Balai polis Bukit Kepong diserang oleh lebih kurang 200 orang pengganas komunis.Balai polis dikepong dari segenap arah.Pertempuran tercetus sebaik sahaja apabila seorang pengganas komunis dicabar dan ditembak mati oleh Konstabel Jaffar ketika sedang cuba memotong kawat duri yang mengelilingi balai polis.Asakan serangan dari segenap sudut oleh pihak komunis bermula sejurus selepas itu.

Tentangan hebat daripada anggota-anggota polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah membuatkan pertempuran lebih sengit.Mereka enggan menyerah walau berkali-kali diarah.Seorang demi seorang anggota polis gugur.Isteri-isteri anggota polis turut serta berjuang dalam tangisan bila saja mendapati suami mereka terkorban.

Gagasan polis bantuan yang bersenjatakan senapang patah dan rafail dari Kampong Jawa juga gagal membantu sepenuhnya bila mana mereka juga diserang hendap oleh pihak komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar.Beberapa anggota bersama orang kampung turut terkorban.

Komunis kemudian menawan seorang  isteri anggota polis;Mariam Ibrahim dan dipaksa agar merayu kepada anggota-anggota polis yang lain untuk menyerah kalah,namun rayuan itu tidak diendahkan.Kemudian Fatimah Yaaba berserta anaknya Hassan pula ditawan dan dipaksa melakukan perkara yang sama seperti Mariam.Namun sekali lagi gagal,malah serangan balas semakin sengit.Mariam dicederakan dan Fatimah pula kemudian dibunuh.

Detik terakhir pertempuran adalah apabila berek kelamin dan balai polis Bukit Kepong berjaya dibakar oleh pihak komunis.2 wanita bersama anak-anak mereka terbakar sama di dalam berek kelamin manakala mereka yang cuba lari keluar dari balai polis yang terbakar ditembak mati.Hanya selepas 5 jam bertempur,balai polis berjaya ditawan dan dibakar sepenuhnya.Yang lebih menyayatkan hati adalah apabila pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat anggota polis yang terkorban ke dalam api.
Tragedi ini telah mengorbankan 26 orang yang terdiri daripada anggota polis dan ahli keluarga anggota.


Begitulah sedikit sebanyak secara kasarnya cerita Bukit Kepong yang insyaAllah akan divisualisasikan dalam filemku yang akan datang.Cerita yang kutulis pada kolum ini hanya ringkasan dan lebih bersifat permukaan tanpa penceritaan menyeluruh dan mendalam.

Buat masa ini,dalam kesibukan membaik pulih filem “BOHSIA-Jalan Kembali”,aku bersama-sama 2 orang sepupuku Dr.Anwar Fazal dan Rizal Ashreff giat mengkaji,menyelidik dan menjiwai cerita Bukit Kepong dengan harapan agar filem ‘re-make’ ini nanti  (selepas filem Bukit Kepong pada tahun 1981 yang diarahkan oleh Tan Sri Jins Shamsudin) mampu membuka mata semua anak Malaysia dan juga dunia.Aku mahu melakar sejarah dalam sejarah.

InsyaAllah dengan niat untuk memberi kesedaran akan peri pentingnya  kita menghargai keamanan dan betapa kentalnya semangat perajurit Negara sebelum ini dalam memperjuangkan ibu pertiwi,aku berharap,filem Bukit Kepong ini nanti mampu dijadikan inspirasi nyata setiap generasi.
Doakan agar semuanya dipermudahkan.

Akhir kata,Selamat Hari Malaysia & Selamat Hari Merdeka untuk semua.

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof
 

SYAWAL SIMBOL KEJAYAAN

 
Sayup-sayup kedengaran gema alunan  bacaan Al Quran penuh tartil dari surau berdekatan.Alunan yang berjaya memecahkan kesunyian malam dan kesunyian hatiku dalam penuh keberkatan.Pemandagan dari balkoni rumahku lihat sungguh indah malam ini.Langit kosong.Tiada awan.Jika adapun hanya sepuput dua berarak perlahan.

Lampu-lampu neon menerangi jalan.Warna merah dan kuning bersilih ganti dalam rawaknya pergerakan.Manusia sibuk ke sana sini dengan kenderaan.Rumah-rumah lain yang berada pada aras bawah rumahku sudah mula meriah dengan lampu kelap kelip.Ketibaan Syawal sangat dirai namun jauh di sudut hati aku berharap agar pemergian Ramadhan ditangisi semua  dan didoakan agar diberi peluang untuk mengecapinya lagi pada tahun yang mendatang.

Syawal adalah bulan keraian setelah selama sebulan kita menahan diri,berlapar dahaga,nafsu dikekang bagai dalam penjara dan dalam masa yang sama amalan kita berganda.Syawal menjadi simbol kejayaan bagi hambaNya yang patuh pada suruhanNya.Terbayang pada kotak fikiranku seperti seorang pahlawan pada zaman keagungan Islam,mengibarkan panji kemenangan setelah menewaskan bala tentera nafsu dan keinginan dunia.Dramatik.

Sewaktu aku sedang rancak mengarang artikel ini,Papa dan Mama menyapaku dari belakang.Kami sempat berbual isu-isu semasa buat hanya seketika kerana Papa dan Mama perlu menghadiri majlis meraikan anak-anak yatim dalam menyambut Syawal yang kian tiba.Bila sahaja mereka berdua meninggalkanku sendiri untuk menyambung artikel ini,dalam diam aku bersyukur dan kagum dengan mereka.

Saban tahun Papa  dan Mama tidak pernah lekang mengingatkanku peri pentingnya berkongsi kejayaan dengan yang ‘memerlukan’ atau dengan erti kata lain memberi sumbangan atau bersedekah.”Harta tanpa zakat dan sedekah akan memakan diri.Harta kita tidak suci selagi tidak berzakat”Itu pesan Papa saat pertama kali tangan merasa menerima gaji seawal pembabitanku dalam dunia penerbitan ini.

Alhamdulillah,tahun ini sekali lagi DIA beri kesempatan untuk SKOP Production mengadakan majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan serta bonus buat anak-anak yatim dan semua ‘ahli keluarga’ SKOP Production,termasuk artis-artis veteran tempatan.Bukan niat untuk berbangga,jauh sekali,demi Allah.Aku hanya ingin menyatakan rasa kagumku pada Papa dan Mama yang tidak pernah mengenepikan kebajikan pekerja.Dalam diam,sekali lagi,aku berdoa agar aku diberikan ‘hati’ seperti mereka berdua.

Dalam kesempatan ini,aku dengan penuh rasa rendah diri,mewakili kaki tangan SKOP Production dan Burn&Soul Entertainment ingin memohon maaf setulus-tulusnya dari hati jika sepanjang penglibatan dalam dunia seni ini ada mengguriskan hati sesiapa dalam sedar atau tidak.Jadikan Syawal kali ini titik tolak permulaan bagi satu anjakan paradigma bagi kita;khususnya anak-anak seni Malaysia untuk terus berkarya dengan ikhlas,bertunjangkan niat untuk mendidik dan memberi pengajaran buat rakyat sejagat melalui medium penyiaran.

Akhir kata,hargai hari-hari pinjaman yang bersisa ini dengan sebaik-baiknya.Selamat Hari Raya buat semua dan MAAF ZAHIR BATIN.

Tulus dari hati seorang pengarah kerdil,
Syamsul Yusof