Saturday, December 22, 2012

12.12.12



12.12.12 Cantik tarikh ini.Aku terima banyak jemputan untuk menghadirkan diri pada majlis pertunangan dan perkahwinan kawan-kawan.Tersenyum aku sendiri.Bahagia mendengar cerita ‘masjid baru yang dibina’.Alhamdulillah.Tahniah buat semua yang akan menamatkan zaman bujang mereka dan yang bakal mengikat tali kesatuan yang halal.Moga Allah merahmati kalian dan didoakan agar kekal bahagia ke syurga.InsyaAllah ‘masa aku’ akan kunjung tiba.Biar aku benar-benar bersedia dulu sebelum memasuki fasa ini dalam tempoh kehidupan yang bersisa.Berkali-kali ditanya,jawapanku tetap sama,bila sampai masanya,akan kukhabarkan pada semua.

Hari ini,aku masih di sini,di rumah ke-2 ku seperti biasa,bersengkang mata,cuba mencabar kemampuan diri mengejar kesempurnaan dalam hasil karya terbaruku yang ditunggu-tunggu “KL GANGSTER 2”.Filem ini adalah filemku yang paling mencabar dan ‘kapasiti’nya jauh lebih berat dari filem-filem yang pernah aku hasilkan sebelum ini.Dengan kos belanjanya yang tertinggi dan tempoh masa pengambaran yang paling lama jika dibandingkan dengan filem-filemku yang lain,maka aku cuba buktikan ‘sesuatu’,cuba mencipta sekali lagi insyaAllah fenomena  dalam dunia filem Negara.InsyaAllah.

Jika ditanya kenapa mengambil masa yang lama.Jawapanku “Lama,ya.Nantikan saja hasilnya.”Ini bukan satu eksperimentasi dalam satu jangka masa singkat yang dikira melalu jam randik hingga deringan tamat tempohnya kedengaran,tetapi ini lebih dari itu semua.Ini karya anak Malaysia yang mahu hasilnya mampu membuka mata dunia yang saban hari melihat hasil karya kita hanya dengan sebelah mata.Aku mahu dunia tahu kita rakyat Malaysia juga mampu,malah tidak mustahil lebih baik dari mereka,siapa tahu.

Laluan yang kutempuh bersama krew KL GANGSTER 2 kali ini lebih mencabar kerana kejayaan KL GANGSTER yang pertama telah meletakkan satu  ‘benchmark’ yang cukup tinggi,menyedarkan kami yang ekspektasi semua juga tinggi.Maka dengan ‘tekanan positif’ inilah membuatkan aku lebih berjaga-jaga dan teliti.Syukur aku punyai keluarga yang saban hari memberi semangat,membantu dalam segenap segi.Tanpa mereka aku tidak akan berada di mana aku berdiri hari ini.

Papa jarang berkata-kata lewat ini kerana dia tahu aku perlukan konsentrasi tetapi sekali dia bersuara,menusuk ke hati “Buat yang terbaik.Jadikan karya kali ni karya terunggul.Ini masa depan industri”.Mama pula tidak putus-putus memberi kata-kata semangat. “Kerja-kerja juga.Tuhan jangan sekali lupa.Dia yang mudahkan dan bagi idea”.Dua tunjang hati yang walau jarang aku nyatakan secara berdepan betapa sayangnya aku pada mereka,jauh di sudut hati,dalam tiap doa yang kutitip setiap hari,nama mereka yang kudoakan kesejahteraan yang pertama.Terima kasih Papa Mama.


Sebelum terlupa,aku ingin mengucapkan terima kasih pada semua yang telah menyokong usaha kami,aku bersama sepupuku Dr.Anwar Fazal dalam menghasilkan baju T dan ‘sweater’ Islamik.2 produk pertama kami : ‘Sweater’ “MY HIJAB” dan baju T “SAVE GAZA” telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.Lebih terharu bila ‘sweater’ “MY HIJAB” kami dipakai oleh delegasi ke Gaza,Palestin;Heliza Helmi dan Farah Deeba.


Tempahan fasa pertama ke-dua dua produk pertama kami ini baru dibuka kembali dek permintaan yang terlalu tinggi.Jom,membeli sambil menderma.Untuk urusan tempahan,pertanyaan boleh dibuat di ‘page’ rasmi  FB kami – BURN & SOUL ISLAMIC PARAPHERNALIA.Tahniah buat delegasi Malaysia ke Gaza,Palestin.Rakan-rakan artis yang ke sana seperti Abang Afdlin Shauki,Bront Palare dan Zain Saidin – tahniah!Kalian bawa semangat kami di sini!Terima kasih.

Akhir kata,doakanku agar segala urusanku dalam menghasilkan filem terbaruku ini “KL GANGSTER 2” dimudahkan dan hasilnya mampu memberi impak besar pada semua dan industri filem Negara.Doa kalian adalah hadiah yang paling berharga.Moga hari ini dan hari-hari seterusnya dapat memberi kita harapan demi harapan untuk hari yang lebih gemilang di ‘depan’.

Sebelum terlupa selamat Hari Lahir buat Dr.Anwar Fazal -  20.12.2012.Juga cantik tarikhnya secantik yang tersimpan untuk tuannya,InsyaAllah sentiasa didoakan.

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

Saturday, December 1, 2012

PALESTIN,Janji DIA tentangmu benar.Sabar.


Tercungap-cungap.Aku mencuri nafas dalam nafas.Degup jantung usah ditanya,terasa seperti ingin terkeluar dari kantungnya.Aku berjaya melarikan diri.Bunyi bedilan mortar di sana sini diikuti letupan misil yang mengena pada kawasan yang berjarak kurang dari 500 meter dari tempat aku berdiri.Baju lencun dengan darah seorang kanak-kanak yang aku cuba larikan sama setelah dibedil di kepalanya,namun Allah lebih menyayanginya.Kini aku berdiri membelakangi dinding nipis runtuhan rumah yang separuh hancur hasil ledakan bom zionis.Aku hilang punca.Mulut terkumat-kamit dengan doa.Aku nekad mahu lari dari sini.Sebaik sahaja aku mula lari,deruan peluru menuju ke arahku dan mengena badanku.Rebah.Mulut cuba mengucap syahadah.Tergagap-gagap.Datang seorang tentera zionis memijak kepalaku.Mengacukan hulu senjatanya tepat pada tengkorak kiriku.1 das.Gelap.


Terang.Aku tersedar.Mimpi yang cukup menyedarkan.Aku rasa seperti mati hidup kembali.Segalanya terlalu jelas sehingga aku perlu masa untuk menstabilkan diri,ritma nafas dan jantung hati.Aku menangis.Elok sahaja di radio sedang diputarkan alunan Quran yang kedengaran cukup menyebakkan.Aku bingkas ke tandas,membasuh muka,berwudhu.Jam sudah menunjukkan pukul 5.15 pagi.Aku tarik nafas dalam dalam.Mataku pejam rapat rapat.Kumainkan semula mimpiku tadi dalam layar fikiran.Ya Allah,begitukah keadaan mereka di sana.Aku di sini,bersenang lenang,hidup dalam penuh keselesaan tetapi masih lupa untuk mengingati Pencipta.Istighfar.Astaghfirullah..

Entri kali ini kutulis sesudah subuh.Subuh yang cuba kutenteramkan jiwa dari paparan yang cukup menyesakkan minda,melihat mayat saudara seAgama bergelimpangan di merata-rata dan aku tak mampu berbuat apa-apa.Dulu ketika aku masih belum cukup matang,isu Palestin ini,aku tidak mengambilnya terlalu serius.Hidup terbuai dengan cerita-cerita dunia dan hiburan yang lebih diwar-warkan dari isu Palestin ini.Ampunkan aku,Tuhan.Berikan aku peluang untuk baiki diri.Berikan kami semua kesedaran demi kesedaran dalam dunia yang penuh dengan khayalan.


Sehingga ke hari ini,melihat kemaskini tol kematian di Palestin sudah melebihi 100 orang dan 850 dilaporkan tercedera yang mana bilangan mangsa dari kanak-kanak sahaja sudah 260 dan perempuan 140.Gila,bukan?Kita di sini,sedang bergembira,leka dengan keamanan yang entah bila akan Dia tarik semula jika kita terus lupa.Aku menyeru pada semua agar isu kekejaman Israel pada Palestin ini diambil serius kerana ini isu sejagat.Darah yang mengalir dalam relung nadi mereka adalah darah yang sama dengan kita.Mereka adalah saudara kita.’Sayangilah saudaramu seperti kau menyanyangi dirimu’

Pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha untuk membantu mereka.Antaranya ialah dengan menderma.Ada beberapa badan autoriti yang sah dalam menjadi orang tengah.Cari dan hulurkanlah derma pada kadar yang termampu.Biar sedikit,tetapi jika sedikit itu berserta keikhlasan,berkatnya melimpah ruah dan Allah ada cara untuk mencukupkan kita dalam yang sedikit itu.Usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan memboikot produk-produk Israel.Cari senarai terkini 2012 barangan atau produk mereka.Ingat,setiap sen yang dilaburkan pada mereka digunakan untuk membeli peluru yang tembus ke dalam badan orang-orang Palestin.


Doa.Itulah senjata kita yang utama.Biar bom,biar misil,biar peluru apa sekalipun yang mereka guna,doa kita adalah penangkis.Doa kita adalah senjata yang paling kuat dan yang paling luar biasa kuasanya.Jangan lupa,dalam tiap masa kita berdoa,titipkan doa buat mereka.Mereka perlukan doa kita.Jangan lokek doa.Jangan.Mereka sangat perlukan.

Aku menulis entriku kali ini dengan mata yang berkaca.Lagu “We wil not go down”  aku mainkan berkali-kali.Aku mahu semangat mereka mengalir dalam diriku dan dalam diri kita semua.

Sebelum terlupa,aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada semua yang sudah membeli ‘sweater’ “My Hijab” kami;Burn & Soul Islamic Paraphernalia.Fasa pertama jualan cukup mendapat sambutan sehingga perlu penambahan.Proses penghantaran sedang dilakukan dan di sini aku ingin membuat pengumuman,kami Burn & Soul Paraphernalia mengeluarkan T-Shirt terbaru "SAVE GAZA" untuk memberi kesedaran tentang isu Palestin.Layari laman Facebook ‘Burn & Soul Paraphernalia’ untuk membuat pilihan.Sebahagian dari keuntungan jualan akan disalurkan pada tabung Palestin.Membeli sambil menderma,insyaAllah.



Sebelum aku mengakhiri,aku ingin mengucapkan terima kasih pada Hafiz Hamidun dan semua yang menjayakan Malam Konsert Zikir Terapi kerana memberiku dan sepupuku Dr Anwar Fazal peluang untuk turut serta.Maaf jika sebakku tidak mampu dibendung ketika menyanyikan bait-bait akhir lagu “Ya Robbi”.Sungguh itu datang dengan sendiri dari hati.Malam itu malam syahdu bila mendengar alunan zikir Hafiz.InsyaAllah,aku dan sepupuku,Burn & Soul akan terus bersama kalian dan terus menghasilkan lagu-lagu bercorak kesedaran.



“Ayuh berdoa untuk mereka di Gaza.Doa kita senjata mereka!Rob,kirimkan 'ababil'Mu,kirimkan balasanMu yang datang dari langit,bumi,laut & dari segenap penjuru!”-Dr.Anwar Fazal

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

P/s:
Layari Facebook page kami "BURN & SOUL ISLAMIC PARAPHERNALIA" untuk pembelian produk-produk kami yang mana terbaru ialah kemeja-T "SAVE GAZA"
Facebook page: http://www.facebook.com/BurnSoulIslamicParaphernalia

Sunday, November 11, 2012

Pendidikan VS Pengalaman


Deru angin malam jadi teman.Sejuk.Tempias rintik-rintik hujan mengena diri bila tingkap bilik kurenggangkan sedikit tadi.Sudah lebih sebulan cuaca di Malaysia tak menentu.Hujan turun tak mengira waktu.Bila dibaca isu pemanasan global dan peningkatan bencana alam di serata dunia membuat jantung berdegup lebih laju  kerana setiap kali dibaca,setiap kali itu juga di layar fikiran terpapar suasana huru hara jika Malaysia jadi sasaran bencana alam yang ‘menyerbu’.

Kali ini aku ingin bicara soal pengalaman dan pendidikan,yang mana lebih utama dan harus diraih untuk mengecap kejayaan.Ada yang berpegang teguh menyatakan status pendidikan adalah yang lebih utama dan superior dari pengalaman.Ada  pula yang menyatakan sebaliknya,pengalaman mampu mengatasi status pendidikan kerana pengalaman itu sifatnya lebih mengajar dan lebih ‘melekat’ di lubuk hati dan fikiran.Terpulang.Setiap individu punyai persepsi berbeza yang harus dihormati.


Aku sempitkan ruang fokus penulisanku kali ini dalam bidang perfileman dan sinematografi sahaja kerana ada beribu cerita inspirasi daripada orang-orang yang telah berjaya di seluruh dunia dalam bidang yang berbeza. Buat pengetahuan semua,aku gemar membaca bibliografi orang-orang yang telah menempa nama dan melakar sejarah dalam bidang yang mereka ceburi kerana dari cerita mereka aku mampu menaikkan semangatku yang kadang kala luntur dek ujian demi ujian yang bertindak seperti asid yang menghakis warna semangat juangku.

Jujur,dalam hidup ini,semangat kita tak selalunya memuncak,ada masa-masanya kita mahu lakukan semua dan ada masa-masanya pula kita ingin biarkan dan tidak mengambil peduli,menunggu masa mencambahkan hasil yang mana hampir mustahil.Itu kita.Sama juga dengan iman kita.Ada pasang surutnya,bukan?

James Cameron.Pengarah tersohor yang telah berjaya menghasilkan filem yang mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah;AVATAR telah meraih kutipan AS$2.8 billion (RM8.23 billion) dan  filem ke-2 yang menyusul AVATAR dalam kategori kutipan tertinggi juga adalahan filemnya;TITANIC  dengan kutipan sebanyak AS$1.8 billion (RM5.29 billion).James juga dinobatkan antara “50 Individu yang paling berpengaruh di dunia” pada 2010.Pencapaian fenomenal ini adalah lahir dari seorang individu yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan filem bila jurusan asal yang diambil ialah Fizik dan Bahasa Inggeris juga telah ditinggalkan tanpa menamatkannya,terus terjun ke dunia filem pada 1977 dek kerana minatnya yang mendalam dalam bidang ini.Nyata,untuknya,pengalaman lebih superior dari status pendidikan.

Michael Bay.Siapa yang tidak kenal dengan pengarah filem epic,aksi dan sci-fi ini yang telah menghasilkan filem-filem aksi terhebat dalam sejarah perfileman dunia seperti Armageddon,Pearl Harbour,The Islands dan Transformers.Berbeza dengan James Cameron,Michael pula mempunyai latar belakang akademik filem yang kukuh.Bekas graduan dalam jurusan perfileman dan bahasa dari Universiti Wesleyan ini menggunakan ilmu yang dipelajarinya untuk menginovasi dan memberi nafas baru dalam teknik penggayaan visual.James terkenal dengan ‘trademark’nya iaitu visual gerak perlahan ketika aksi (intense slow motion shots) dan letupan yang ‘ekstravaganza’.Untuk Michael,status pendidikannya nampkanya lebih membantu sebelum pengalaman.


Sekarang mari kita lihat pula pada tokoh lagenda filem Negara,Allahyarham P.Ramlee.Beliau memulakan kariernya dalam bidang muzik pada asalnya sebelum berkecimpung dalam arena filem.Bertapak dalam dunia filem tempatan sebagai pelakon berwatakan penjahat dalam filem pertamanya ‘Chinta’ di mana beliau juga telah menjadi penyayi latar untuk filem itu telah membuka mata ramai pihak dengan bakatnya.Bermula dari filem itulah beliau mula menempa nama menjadi pelakon utama dan seterusnya sutradara Negara yang mendapat banyak pengiktirafan.Beliau tidak mempunyai latar pendidikan filem.Kejayaan beliau bertitik tolak dari pengalaman yang dikutip sepanjang penglibatan beliau.Jelas,pengalaman adalah kunci kejayaan bagi Allahyarham.

Konklusinya,pada kaca mata pengarah kerdil sepertiku,dalam dunia yang kian pesat dan masing-masing antara kita berlumba-lumba untuk mengecap kejayaan ini,hitam putih, status pendidikan adalah perkara pertama yang dinilai sebelum dilihat pada aspek yang lain.Status pendidikan adalah ‘pintu masuk’ pada semua kebarangkalian.Pengalaman diraih kemudian.Aku berkata begini kerana aku mahu realiti jadi saksi dalam era ini.Apapun,aku akui,pendidikan tanpa pengalaman tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan kerana semua berasaskan teori.Pendek kata,pendidikan dan pengalaman harus berdiri sama tinggi,berjalan seiring dalam menghasilkan sesuatu yang luar biasa.


Islam sendiri menyarankan kita untuk menuntut ilmu sehingga ke negeri Cina.Fahami maksud yang tersirat dari kata-kata itu.

Salam Satu Malaysia,

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof

Sunday, October 28, 2012

KONSERT ZIKIR TERAPI DIRI!

PENGUMUMAN!


Buat semua penggemar alunan muzik Islam/zikir dan pengikut kami;BURN & SOUL,kami akan membuat persembahan di KONSERT ZIKIR TERAPI DIRI Hafiz Hamidun pada 14 NOVEMBER 2012 ini,bersempena malam tahun baru Maal Hijrah.


Untuk informasi lanjut dan tempahan tiket boleh terus ke laman sesawang http://www.hafizhamidun.com/#!home/mainPage


Untuk 'trailer' konsert boleh ke YouTube : 

Kalau konsert artis luar negara kita boleh ikut serta,masakan konsert tempatan yang mahu menenangkan jiwa dari 'kekecohan dunia' kita berkira-kira :)

JOM!!

BURN & SOUL ISLAMIC PARAPHERNALIA



Assalamualaikum semua!Terlalu ramai yang bertanya mengenai produk pertama kami : Sweater "MY HIJAB",maka di sini akan diberikan serba sedikit informasi.Untuk pertanyaan/penempahan boleh terus ke laman Facebook utama kami di : http://www.facebook.com/BurnSoulIslamicParaphernalia

Alhamdulillah tempahan setakat ini sangat-sangat menggalakkan.Terima kasih!Tolong sebarkan pada semua dan kongsikan 'link' ini kerana masih ramai yang tidak tahu.Niat kami ialah untuk memberi motivasi pada yang sudah berhijab dan bakal berhijab!Siapa kata jika dengan mengikut tata cara pemakaian Islam kita tidak boleh nampak 'urban' dan bergaya?:)
Sebar-sebarkan berita kebaikan!



TEMPAHAN FASA PERTAMA DIBUKA DARI 22/10/12

*Tempahan dibuka hanya selama 2 minggu dari hari ini 22/10/12 dan kami memerlukan lebih kurang 2 minggu lagi sesudah tamat tempoh tempahan untuk proses pengagihan/penghantaran produk.

Penerimaan produk adalah FCFS Basis
(First Come First Served Basis)

Tempahan boleh dibuat melalui e-mail: bsiparaphernalia@hotmail.com

(E-mail ini hanya untuk urusan tempahan.Sebarang pertanyaan/cadangan boleh dihantar ke in-box/wall page FB ini)

Nyatakan:
1)Nama berserta alamat penuh
2)Bukti pembayaran (Maybank Payment Reference Number)
3)Size (XS/S/M/L/XL)
4)Warna (Hitam/Merah)
5)Jumlah tempahan

Buat semua yang bertanya dan memberikan cadangan,setelah berbincang dengan beberapa pihak berautoriti dalam pemakaian Muslimah,kami telah membuat keputusan.Kami beranggapan sweater ini dipakai sebagai pakaian luaran/sekunder Muslimah.Maka bagi meraikan permintaan dan sambutan yang menggalakkan daripada semua,maka kami telah memanjangkan sweater ini 2 inci dari saiz asal/biasa yang didapati di pasaran.

Saiz baru sweater "My Hijab" ini:

XS BW:18 BL(H):25
S BW:19 BL(H):26
M BW:20 BL(H):27
L BW:21 BL(H):28
XL BW:22 BL(H):29
XXL BW:23 BL(H):30 (Tambahan RM 4)

Harga :
1)RM 66 Free Postage untuk Semenanjung Malaysia
2)RM 70 Free untuk Sabah dan Sarawak
3)RM 60 + RM 50 Postage fee untuk Brunei
4)RM 60 + RM 30 Postage fee untuk Singapura

Pembayaran ke akaun Maybank akauntan Burn & Soul Islamic Paraphernalia: Siti Amina Amzah : 104115089613

Kami akan mengemaskini wakil-wakil dari IPTA/IPTS/Firma bagi memudahkan proses pembelian/penghantaran kepada pembeli-pembeli yang berada di IPTA/IPTS/Firma berkenaan.

Buat yang berminat untuk menjadi ejen/wakil di IPTA/IPTS/Firma mereka,boleh ke laman utama Facebook untuk bertanya melalui inbox.

Ahlan wa sahlan!

-BURN & SOUL ISLAMIC PARAPHERNALIA-


Nyawa Industri Filem dan Muzik



Siaran di TV sudah tiba pada paparan warna-warni yang memberi maksud siaran sudah tamat pada hari ini sebelum nanti pagi akan bermula dengan bacaan Al-Quran dan Azan Subuh sebagai pembuka tirai baru hari.Aku masih di sini di hadapan skrin komputer bersama jari jemari yang menari pada lagu bahasa yang kugubah menjadi simfoni artikel kali ini.

Dari pagi sehingga ke ‘pagi’ aku menghadap komputer riba,berada pada fasa akhir mengemaskini plot-plot KL GANGSTER 2 yang sebenarnya sudah beberapa kali dibaiki namun dek kerana aku terlalu inginkan buah tangan terbaruku ini jadi fenomena lagi seperti KL GANGSTER yang pertama,maka aku sanggup bersengkang mata,meneliti pada setiap inci sebelum disajikan pada semua pada awal tahun hadapan,sebagai satu hadiah terbesarku untuk semua sepanjang tempoh penglibatanku di dalam industri.

Dalam pada aku sibuk mengemaskini ‘buah tangan’ku yang terbaru ini,aku sempat mencari info-info dan isu-isu semasa berkaitan industri filem  dan penyiaran tempatan/dunia.Pada pencarian di Google aku menaip beberapa tajuk filem luar negara yang berjaya mendapat kutipan box-office dan berjaya meraih Oscar.Bila saja papan kekunci ‘enter’ kutekan,jawapan pada pencarian ada sehingga beratus pilihan dan yang menyedihkan ialah bila antara 10 yang pertama itu “Download free at Pirate Bay” dan beberapa link pada muat turun percuma filem-filem antarabangsa.

Dek rasa inkuiri yang tinggi aku memilih salah satu link daripada ratusan link muat turun percuma itu untuk kulihat sejauh mana sebenarnya isu muat turun percuma filem dan muzik ini mampu memberi impak pada industri.Nyata bila saja aku memasuki laman web itu;Pirate Bay,aku diberi ratusan ribu pilihan untuk memuat turun secara percuma.Yang lebih mengejutkan dan lebih menyedihkan ialah bila mataku sempat tertancap pada beberapa filem tempatan yang turut berada dalam senarai.


Industri muzik yang merudum dan suram telah dikenalpasti punca utamanya,muat turun percuma.Pengarah urusan Sony music entertainment sendiri telah beberapa kali tampil dan menyatakan kerisauannya pada industri muzik tempatan bila 10 tahun yang lepas syarikat mampu mengeluarkan 15 album dan sekarang hanya 5.Dulu penjualan album mampu mencecah 50,000 dengan mudah dan sekarang hanya untuk menjual 5,000 sahaja sudah terlalu susah.

Mari aku beritahu,hari ini,isu muat turun ini bukan sahaja telah ‘membunuh’ industri muzik,tetapi kini telah berjaya ‘membunuh’ industri filem Negara dan antarabangsa.Tahun 2012 adalah tahun penghasilan dan tayangan filem tempatan yang paling aktif dan pesat namun harus diingatkan,kepesatan ini ialah kepesatan kuantiti.Terlalu banyak filem yang ditayangkan (pada skala 2 filem dalam 1 minggu) tetapi kutipannya rata-rata mengecewakan dan terlalu jauh di bawah sasaran.


Harus diingat,pelaburan dalam industri filem jauh lebih besar daripada muzik dan jika ini berlanjutan,bila isu rakyat lebih gemar menunggu sehingga adanya link untuk muat turun percuma filem-filem kita untuk dimuat turun,maka aku benar-benar percaya di sinilah bermula era kejatuhan filem Negara.

Pirate Bay pernah ditutup buat seketika waktu dulu,namun kini mula beroperasi kembali,malah lebih aktif bila dilihat pada jumlah individu yang berkongsi dan memuat turun mengikut kajian terbaru menunjukkan kenaikan jumlah muat turun lebih 200% pada tahun 2011 dan 2012 berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.Terkejut?Ya terkejut pada angka dan fakta ini tetapi lebih terkejut bila didapati rakyat Malaysia adalah antara pemuat turun paling aktif.


Ramai yang menuding jari dan menyalahkan filem sebagai punca kebejatan moral dan sahsiah sejagat bila tanpa disedari internet adalah hub utama pada segalanya.Laman porno sebagai contohnya,dapat diakses dengan mudah di mana sahaja pada bila-bila masa tanpa kawalan.


Jujur,dengan penuh rasa kerendahan hati,aku berharap agar pihak-pihak berkuasa dan berautoriti dapat menyelesaikan isu ini dengan bijak dalam kadar yang segera.Isu muat turun percuma dan laman web lucah ini harus diambil serius kerana ia adalah seperti virus yang merebak pantas ke segenap sistem masyarakat dan jika dibiarkan mampu membunuh industri penyiaran dan yang lebih serius membunuh sahsiah  sejagat.

Akhir kata,selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha dan moga-moga semua yang pergi menjadi tetamuNya pada tahun ini peroleh Haji Mabrur dan mampu memberi motivasi pada yang belum mengerjakannya lagi.

Salam Aidil Adha!

Pengarah Kerdil,
Syamsul yusof

Sunday, October 14, 2012

KEJAYAAN UNDANG KEINSAFAN


Aku rasa seperti baru semalam aku berada di majlis Anugerah Blokbuster Astro yang buat pertama kalinya berlangsung pada 6 Oktober yang lepas.Terlalu banyak cerita dan tanda tanya yang terungkai pada malam itu.Sungguh kejayaanku dan Skop production merangkul 5 trofi  daripada 15 kategori yang dipertandingkan benar-benar di luar jangkauan.5 kategori itu ialah:

1)Filem Terhebat – KL Gangster
2)Direktor Terhebat – bagi KL Gangster
3)Filem Aksi Terhebat – KL Gangster
4)Filem Takut Terhebat – Khurafat
5)Anugerah Khas PFM (Persatuan Penerbit Filem Malaysia)

Jika ditanya padaku adakah ini semua sudah dijangka seawalnya?Jawapanku,jujur,melihat pada skala undian internet, KL Gangster hanya mampu mengungguli kategori Filem Aksi Terhebat manakala Khurafat pula bagi Filem Takut Terhebat.Bagi filem terhebat aku menjangkakan Ombak Rindu atau Hikayat Merong Mahawangsa yang akan memenangi dan bagi kategori director terhebat,tiada lain di fikiranku,aku meletakkan Abang Yusry sebagai pilihan pertama.

Namun ini semua ketentuanNya,rezeki yang diberi olehNya yang perlu diteliti maksud tersirat dan yang tersembunyi.Aku bersyukur atas kejayaan kali ini.Seperti yang semua sedia maklum,anugerah ini 100% ditentukan melalui undian para penonton,tanpa diadili oleh mana-mana juri,kecuali bagi anugerah khas PFM.Maka di sini,aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih pada semua yang mengundi,sama ada melalui medium internet ataupun sms yang berbayar.Aku sangat terharu.Kalian adalah pembakar semangatku untuk berjuang dengan lebih gigih dalam menaik-tarafkan industri pefileman Negara,insyaAllah.

Malam itu Papa kurang bersuara.Hanya ucapan ringkas “Tahniah” disusuli jabat tangan dan pelukan. Ketika aku ditemubual,beberapa kali mataku bertaut,bertembung dengan pandangan matanya yang melihatku dari jauh bersama Mama.Saat itu entah mengapa rasa syukurku memuncak bila aku benar-benar sedar aku dilahirkan dalam keluarga yang sentiasa menyokongku dalam apa jua yang aku lakukan dan sentiasa ada dalam jatuh bangunku.Papa dan Mama adalah sebab utama berdirinya aku di sini pada hari ini.Terima kasih buat Papa dan Mama.Jasa kalian takkan mampu kubalas.Aku akan terus lakukan yang terbaik.Aku mahu jadi kebanggaan kalian berdua-sampai bila-bila!

Ada yang bertanya mengapa aku kelihatan lebih bersahaja dan tidak lagi menangis seperti sebelumnya bila diumumkan sebagai pemenang,ketika naik ke pentas?Jawapanku,aku menangis di dalam hatiku,dan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada malam itu aku menangis tanpa segan silu.Aku bertanya pada diri,apa bagusnya karyaku berbanding dengan karya-karya orang lain yang jauh lebih hebat daripada karyaku?Kenapa Allah terus-terusan memberi dan memberi dan aku terima dan terima tanpa rasa malu?Masih terngiang-ngiang pesan sepupuku Dr.Anwar Fazal “5 anugerah itu satu peringatan untuk menjaga 5 waktu itu”.Nah.Itu jawapan pada semua aku kira.Kejayaan ini harus mendekatkan aku pada DIA dan harus lebih ‘menundukkan’ bukan ‘meninggi diri’ dan ‘mendabik dada’.


Aku tidak mampu menulis panjang pada slotku kali ini kerana pada saat ini,air mata aku berjuraian.Aku harap sedikit luahan dari hati ke hatiku ini mampu memberi sedikit ‘pencerahan’ pada semua,tidak kira siapa,yang hidup ini hanya sementara dan kejayaan dunia jika tidak disyukuri tidak mampu membawa ke mana-mana malah jika ‘lupa diri’ mampu menukar destinasi akhir kita di ‘sana’.

Buat semua yang bertanya bila KL GANGSTER 2 akan ditayangkan,insyaAllah pada awal tahun hadapan.KL GANGSTER 2 ini hadiahku yang ‘paling besar’ untuk semua penonton dan penyokong filem tempatan sepanjang tempoh karierku.Sabar dulu.Percayalah,penantian kalian insyaAllah berbaloi.
Pesananku,buat semua yang memenangi anugerah pada malam itu,jangan sekali dilupakan asal-usul kita,dari mana kita bermula.Jangan lupa misi utama kita dalam industri bukan hanya untuk kepentingan peribadi tetapi untuk memartabatkan industri dan membawa industri ke persada yang lebih tinggi.Buat semua penggiat filem tempatan,anugerah ini buat semua!

Sebelum terlupa,terima kasih buat kerajaan yang memperuntukkan RM 6 juta dalam menyokong usaha pembangunan seni tempatan dalam belanjawan 2013 yang baru dibentangkan.Moga dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat dan meringankan beban semua anak seni.

Akhir kata,terima kasih kepada semua pengikut setia tulisanku di sini.Jika mahu membaca tulisanku yang sebelum-sebelum ini boleh terus ke blogku : prodigiousburnsoul.blogspot.com

“Tiada istilah yang ‘terhebat’ antara kita kerana yang ‘terhebat’ hanya DIA.”

Salam penuh kesyukuran!

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof.

Twitter : @burnsoul4u

*Stay tuned.Burn & Soul Islamic Paraphernalia akan mula menjual T-shirt tak lama lagi.
*Ada kejutan buat semua pengikut Burn & Soul.InsyaAllah.

Sunday, September 30, 2012

FILEM mampu beri impak LUAR BIASA!


Assalamualaikum buat semua pembaca artikelku di sini.Moga hari ini lebih bermakna,produktif,gembira dan tenang hendaknya.Biar segala  usaha perit jerih kita dalam apa jua bidang yang kita lakukan mendapat ganjaran bukan hanya di dunia tetapi juga pahala.

Sebelum pergi lebih jauh aku ingin mengucapkan “Selamat Hari Malaysia” yang ke-49.Mungkin segelintir daripada kita lupa kewujudan Hari Malaysia ini kerana Hari Merdeka itu yang lebih di’gah’kan.Hari Malaysia yang bermula sejak 16 September 1963 seakan tiada auranya,malah ada yang masih menganggap Hari Malaysia ini merupakan satu sambutan yang baru dan tidak perlu dibesar-besarkan walhal pada hari inilah Malaysia mula tercipta dan berkembang sehingga ke hari ini.Pelajari sejarah kerana sejarah ada jawapan dan panduan bagi kita tidak mengulangi kesilapan silam.

Melihat isu ‘kurang peka’ di kalangan kita ini membuatkan aku lebih ingin tahu apa puncanya.Aku meletakkan fokus yang lebih dalam bidang yang kuceburi ini iaitu dalam bidang penyiaran dan perfileman.Aku cuba ingat kembali semua drama-drama dan filem-filem tempatan yang berkonsepkan sejarah dan memaparkan corak kehidupan silam,dari konflik hingga ke jalan penyelasaian yang diambil.Leftenan Adnan,Embun dan 1957:Hati Malaya adalah filem-filem pilihanku dalam skop patriotik.

Untuk menghasilkan sebuah filem sejarah aku kira,dari kaca mataku kita tidak boleh lari dan harus mengikut fakta sejarah yang tepat.Itu yang pertama.Seterusnya,dalam menjadikan filem sejarah itu filem yang mempunyai daya tarikan yang tinggi untuk ditonton,kita perlu komersialkan dengan menyuntik elemen-elemen hiburan dan fiksyen.Lihat saja filem-filem patriotik antarabangsa,sebagai contohnya filem Pearl Harbour (2001) arahan Michael Bay.Penyampaiannya menarik.Fiksyen dan hiburan digabungkan dengan fakta sejarah,digarap cantik dan nah,terhasil satu ‘masterpiece’ untuk filem pada genre itu.Kalau mereka mampu,kita juga mampu!



Aku menunggu untuk menonton filem Tanda Putra arahan sutradara yang paling aku kagumi dan hormati;Shuhaimi Baba.Moga filem ini dapat mengubat kerinduanku pada filem-filem patriotik tempatan dan menaikkan semangat patriotik semua!InsyaAllah.

Dalam pada kita menyambut Hari Malaysia,dunia digegarkan dengan filem penghinaan Rasulullah dan Islam;” Innocence of Muslims” arahan Robert Brownell.Aku mendapat e-mail daripada rakanku di AS mengenai video ini 2 hari sebelum rakyat Malaysia mula peka.Aku berang pada awalnya.Sungguh.Bila idola nombor 1 dunia dihina dan kita sebagai umat baginda tidak rasa atau melakukan apa-apa,nyata ada yang tidak kena dengan pegangan kita.


Filem ofensif ini telah membawa kepada konfrontasi terbuka daripada semua yang berbilang Agama dan kepercayaan.Filem penghinaan ini telah membangkitkan kebenciaan yang mendalam dari 1.5 billion umat Islam di serata pelusuk dunia.Kebebasan bersuara dan berekspresi telah disalah-gunakan secara terang-terangan.Nyata,filem dan media massa mampu member impak global yang luar biasa.

Dalam pada keberangan dan kebenciaan yang memuncak bila habis ditonton “Innocence of Muslums”,aku termenung jauh.Allah jadikan semua perkara itu ada hikmahnya.Hikmah yang ketara bagiku yang sering lupa ini secara peribadinya ialah aku lebih mengkaji sejarah Nabi Muhammad S.A.W dan ini telah buat aku jatuh cinta pada keperibadian Baginda S.A.W.Baginda terlalu sayangkan kita,umat akhir zaman sehingga sebelum Baginda wafat,Baginda masih menyebut tentang umat-umatnya.Ini juga telah membuka mataku tentang industry filem Negara kita yang perlu dipantau dan dikembangkan dengan teliti.InsyaAllah tiada yang mustahil dengan usaha keras kita dan kuasaNya.

Sebelum tamat baca tulisan Dr.Anwar Fazal "Siapa Idola kamu?" ini dan tanyakan soalan itu pada diri.
http://burnofburnsoul.blogspot.com/2011/02/siapa-idola-kamu.html


Sama-sama kita renungkan.

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

*PENGUMUMAN
Aku bersama sepupuku Dr.Anwar Fazal akan mulakan perniagaan baju bercorak keAgamaan tidak lama lagi.Harap dapat beri sokongan.
-Burn & Soul Islamic Paraphernalia- 
COMING SOON!Bismillah..

Monday, September 17, 2012

Merdekakah Filem Kita?



“Merdeka!Merdeka!Merdeka!” Laungan keramat itu sehingga kini gemanya masih ada,malah tidak pernah padam.Seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan kemerdekaan Negara yang dikecap selama 55 tahun.Terlalu banyak pahit getir yang ditempuh  sebelum Negara tanah tumpah air kita ini bisa berdiri sendiri tanpa dijajah sesiapa lagi.Bendera jalur gemilang yang berkibar di angkasa raya sering berjaya menaikkan semangat patriotisme.Aku yakin semangat ini mengalir dalam setiap relung nadi anak-anak Malaysia.

Buat pengetahuan semua,filem sulung arahan adikku Syafiq;SAM telah berjaya mengutip kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Negara bagi genre Psiko-thriller dengan kutipan hampir mencecah Rm 2 juta.Tahniah buat pelapis generasi muda!Satu pembuka tirai yang baik untuk pentas dunia perfileman tempatan masa hadapan.Aku tahu,jauh di sudut hati adikku,pengarah termuda Malaysia itu menginginkan kutipan dan sambutan yang lebih memberangsangkan namun adikku,jangan pernah kau putus asa!Ini medan tempur kita!Jatuh bangun industri ini di tangan kita dan semua penggiat seni filem Malaysia!

Secara kasar,dari pemantaunku,tahun ini industri filem Negara kita kurang ‘menyengat’.Grafnya ‘stagnant’ seakan sudah sampai pada ‘plateu’.Jujurnya,ini suatu yang membimbangkan dan perlu dikaji dari akar umbi.Filem Adnan Sempit 2 menerajui tangga teratas kutipan tahun ini dengan kutipan Rm 6.7 juta diikuti Bohsia 2:Jalan Kembali dan Mael Lambong;sekitar Rm 5 juta.Banyak filem tempatan lain yang juga bermutu tetapi sedihnya tidak mendapat sambutan.Tahun ini,perkiraanku pada sambutan beberapa buah filem tempatan yang aku kira kualitinya sangat bagus,meleset sama sekali.Takut?Tanya pada semua penggiat filem tempatan untuk tahu jawapannya.

Aku termenung panjang memikirkan masa depan industry filem Negara.Adakah ini berpunca dari lambakan tanpa kawalan?Adakah factor kualiti?Adakah penonton tempatan keliru dalam memilih untuk menonton filem antarabangsa atau tempatan?Atau adakah dengan lambakan filem tempatan sekarang ini menjadikan ‘kehangatan’ dan daya tarikan untuk ke pawagam luntur sama sekali dan hanya menunggu untuk ditayangkan di kaca Tv?Terlalu banyak kemungkinan.Pada penghujung menungku,aku sering mengeluh sendiri dan bertanya “Adakah industri ini akan ‘mati’ nanti?”dan pada tiap itu juga aku bangun,terus mencari idea untuk menghasilkan filem,hasil tangan anak Malaysia yang lebih berkualiti dan punya daya tarik yang tinggi untuk ditontoni.

Cerita soal filem tidak akan pernah tamat.Papa saban hari memberi kata-kata semangat.Entah dari mana tenaganya.Dalam usia sepertinya,aku tidak menyangka sama sekali dia masih lagi bersengkang mata menulis skrip,membuat catatan demi catatan pada pembaharuan yang dilihat dalam dunia perfileman global.Sentiasa sedia mendengar idea dari generasi muda seperti aku dan adikku Syafiq,walaupun pada awalnya Papa mengambil masa untuk ‘menelan’ semuanya kerana Papa ada caranya sendiri.Biar apa orang kata,Papa ‘ortodok’ atau yang sewaktu dengannya,Papa bagiku adalah lagenda kerana dalam merudumnya industry filem pada eranya,filem-filem Papa tidak pernah gagal walau satu untuk terus menapat kutipan ‘box-office’.

Tertarik aku pada temubual BH bersama rakan seindustri Remy Ishak dengan tajuk “Usah salahkan pelakon”.Dia adalah seorang pelakon tempatan yang berwibawa dan oleh kerana itu seawal pembabitannya lagi aku sudah Nampak ‘sinar’nya lantas aku mengambil Remy untuk berlakon dalam filem arahanku “Evolusi KL Drift 2”.Aku faham genta rasa itu.Sudah meletakkan yang terbaik tetapi mengapa tidak mendapat sambutan yang terbaik?

Akhir kata,dalam kehangatan semangat Patriotisme Merdeka ini,aku menyeru pada semua agar sama-sama kita hayati pengorbanan pemimpin-pemimpin terawal kita sehingga ke hari ini.Buat semua rakan-rakan industry,jangan putus semangat!Optimis!Zaman kegemilangan filem tempatan akan tiba jua,insyaAllah!Teruskan usaha!Salam Merdeka,Salam juang anak Malaysia!


Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

Sunday, August 26, 2012

MAAFKAN DAKU,SEMUA..



Sayup-sayup kedengaran takbir raya dari ruang legar rumahku malam itu membuatkan aku rasa sebak tak menentu.Kenapa perlu sebak bila Esok hari raya,hari suka ria,berkumpul bersama sanak saudara?Aku sebak kerana Sekolah Ramadan sesi tahun ini sudah tamat dan kita semua Muslim yang masih bernyawa adalah graduan dari sekolah ini.

Cuma,yang membezakan kita adalah pada kelas mana kita menamatkannya.Adakah kita graduan yang berjaya pada kelas pertama,kedua atau hanya graduan biasa?Lebih menyedihkan ialah bila kita menghadiri majlis graduasi (Hari Raya) ini dengan sijil ijazah yang tak bertanda apa-apa,kiasku ialah sekolah Ramadan ini hanya mengajar kita menahan lapar dahaga semata-mata tanpa mengambil kira ruhnya dan segala amalan lain.Astaghfirullah.Betapa ruginya kita jika menyangka tahun depan masih ada.

Dalam kemeriahan raya ini,aku ingin menyusun 10 jari berserta hati memohon maaf atas segala salah silapku pada semua yang mengenali.Kemaafan kalian amat berharga dan aku maafkan semua.Biar hati jadi tenang,tiada gundah buat hati resah.

Buat Papa dan mama,tanpa kalian aku tidak akan berada di sini hari ini.Aku wujud dengan kuasaNya melalui kalian berdua.Ampunkan dosa anakmu ini dan jangan putus berdoa agar aku berjaya di dunia & di akhirat.

Buat adik-adikku,abangmu minta maaf atas semua teguran yang kadangkala agak keras.Abangmu mahu kalian berjaya dan tahu tiada jalan pintas untuk menuju ke puncak selain usaha yang berterusan bersama azam dan doa.

Buat saudara mara rapatku,aku minta ampun juga kerana aku tidak mampu hadir pada setiap jemputan majlis keluarga kita kerana kesibukanku.InsyaAllah aku akan usahakan untuk meluangkan lebih masa dengan keluarga.Aku sayang kalian semua!

Buat semua peminatku,yang kurang/tidak meminatiku,aku mohon ampun jika sepanjang perjalananku dalam dunia seni ini ada mengguriskan hati mana-mana pihak dalam sedar ataupun tidak.Jujur,kalian adalah pembakar semangatku untuk terus menghasilkan karya bermutu.

Buat semua wartawan/blogger yang kukenali ataupun tidak,yang terus-terusan membantu dengan memberikan teguran dan kritikan,terima kasih dan maafkan aku jika ada maklum balasku tidak menepati kehendak kalian.Sungguh,aku tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dalam usiaku yang makin lusuh.Maafkan aku ya.

Buat semua rakan seindustri yang kuhormati,maafkan aku jika kita pernah ada sengketa.Aku tidak menyimpan apa-apa di hati.Aku sayang kalian semua.Aku mahu kita jatuh bangun sama-sama dalam perjuangan memartabatkan industri seni negara.Maafkan aku dan tegurlah aku jika ada salah silapku.

Akhir kata,aku mahu Hari Raya jadi hari muhasabah & pembaharuan diri setelah kita menjadi graduan sekolah Ramadan.Sekali lagi,ampun maaf ku pohon pada semua.Moga Syawal tahun ini lebih bermakna..

Di sini juga aku mahu kongsikan renungan mendalam dari blog sepupuku Dr.Anwar Fazal mengenai Raya dari kaca mata kanak-kanak.
http://burnofburnsoul.blogspot.com/2012/08/raya.html

Sebarkan berita gembira dan nasihat di dunia siber ini kerana setiap apa yang kita kongsikan itu di'kira'.

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

Monday, August 13, 2012

Olimpik-Satu Inspirasi.Jujur pada diri.


Malam itu aku ke salah sebuah restoran ‘open air’ yang menayangkan siaran sukan Olimpik secara langsung di skrin putih mininya yang dimainkan dari projektor.Penuh.Sesak.Sukar untuk mendapatkan meja,lantas aku berkongsi meja bersama mereka yang sudah hadir lebih awal.Sekilas pandang, aku merasa seperti aku berada di stadium ketika itu.Ramai yang memakai baju Harimau Malaya dan ada juga yang siap membawa kain rentang berserta cogan kata pembakar semangat.Meriah.

 “Smash,Dato Lee Chong Wei!!Smash lagi!!” Itu antara jeritan yangku dengar ketika sedang menonton pusingan akhir Badminton Piala Olimpik 2012,perlawanan penentuan antara juara dan bekas juara No.1 dunia.Bahang demam Olimpik masih terasa.Olimpik tahun ini telah banyak membuka mata kita sebagai rakyat Malaysia betapa sukan sedikit sebanyak mampu jadi medium kesatuan sejagat.Semua memberi sokongan yang tak berbelah bagi pada semua atlit Negara.Syabas rakyat Malaysia.Aku bangga!



Rasa itu bila melihat atlit-atlit Negara kita berhempas pulas,memberikan yang terbaik untuk Negara memberikan aku semangat yang luar biasa.Betapa cintanya mereka pada Malaysia,Negara tanah tumpah air kita.Mereka berjuang demi Negara.Kita?Kita juga berjuang membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa dalam apa jua bidang yang kita ceburi.Negara kita bukan Negara picisan yang boleh dipandang sebelah mata lagi oleh Negara-negara besar dunia.Sudah sampai masanya mereka tahu kewujudan kita mampu memberi saingan sengit pada mereka.

Dalam meriahnya sorak-sorai kita menyokong atlit-atlit Negara di temasya Olimpik dunia,aku mahu ingatkan pada semua mengenai krisis yang berlaku saat ini di Burma dan Syria yang telah mengorbankan beribu nyawa yang tidak berdosa hanya kerana perbezaan agama.Yang lebih menyedihkan ialah bila agama yang di-anti itu ialah agama rasmi Negara kita,agama suci Islam.Aku tidak malu menyatakan di sini yang aku menangis teresak-esak seperti anak kehilangan emak melihat klip-klip video keganasan puak yang menindas mereka di sana.Mana perginya rasa peri kemanusian mereka.Apa yang kita mampu lakukan di sini ialah berdoa agar Allah membantu mereka,memberi kesedaran sejagat dan menghulurkan derma melalui medium-medium rasmi yang ada.Sama-sama kita ikhtiarkan.


Isu seterusnya yang ingin aku kongsikan di sini ialah isu graduan palsu.Tidakkah orang yang ‘membeli ijazah palsu’ ini tahu erti keberkatan dan kejujuran dalam kehidupan.Buat pengetahuan semua,2 tahun yang lepas aku pernah disapa oleh seorang ejen yang tidak aku kenali untuk menjual ijazah sarjana (Master) dalam Sinematografi antarabangsa  dari salah sebuah Universiti di luar Negara.

Bersungguh-sungguh dia menerangkan betapa dalam dunia tanpa sempadan ini segalanya mustahil.Aku hanya perlu membayar amaun tertentu dan aku akan terus mendapat Master dalam masa 1 tahun sekurang-kurangnya.Selebihnya mereka yang akan menguruskan urusan peperiksaan dan ijazah akhir.Aku hanya perlu hadir di majlis konvokasinya di luar Negara.Bunyinya mudah bukan.Hanya perlu bayar hari ini,tidak perlu hadiri kelas dan menduduki peperiksaan,nah ijazah sudah tersedia di depan mata.Murahnya harga ilmu pada mata mereka.


Kesimpulannya,ada segelintir di kalangan kita yang hanya mementingkan nama,gelaran atau status akademik sebagai sandaran untuk mereka dipandang tinggi oleh masyarakat sekeliling.Tiada rasa bersalahkah mereka pada yang bertungkus-lumus menggunakan jalan yang betul untuk meraih segulung ijazah itu?Mana perginya integriti dan harga diri yang segelintir ini.Aku sedih.Alhamdulillah dan tahniah buat wartawan-wartawan Berita Harian yang telah berjaya membongkar dan seterusnya membantu pihak berkuasa menumpaskan sindiket ini.Tahniah sekali lagi!

Sebagai penutup dalam penulisanku yang rawak kali ini,aku ingin menasihati rakan-rakan penggiat filem tempatan dan aku sendiri agar lebih berhati-hati dengan hasil kerja kita kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu ‘penciplakan ’ yang diketengahkan di dada dada akhabr.Ide-ide kita harus ada originalitinya.Tidak salah kita belajar daripada hasil kerja mereka yang lebih baik tetapi jangan meniru bulat-bulat hasil kerja mereka,tidak kira dari tempatan atau antarabangsa.Hormatilah hasil kerja mereka jika kita mahu hasil kerja kita dihormati.



Akhir kata,salam 10 hari terakhir Ramadan.Sama-sama kita tingkatkan amalan.Wassalam

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof


Jangan lupa untuk sama-sama gegarkan semua panggung satu Malaysia dengan menonton filem pertama adikku Syafiq,filem arahan pengarah termuda Malaysia "SAM" pada 19hb ini dan tayangan pembuka pada 16hb Ogos.Saksikan.
Website rasmi SAM : http://www.samthemovie.com.my/

Wednesday, August 1, 2012

RAMADAN-Mungkinkah yang terakhir?


Ramadan.Mendengar nama bulan suci ini sahaja sudah buat jiwaku bergetar.Bulan di mana pintu-pintu syurga dibuka,syaitan dibelenggu belaka dan pintu-pintu neraka tertutup rapat,serapat-rapatnya.Bagiku Ramadhan adalah bulan penyuci diri dari segala ‘kekotoran’ yang telah terpalit pada hati sepanjang tahun.Bukan bermakna bulan-bulan lain kita dibenarkan berbuat dosa,tidak sama sekali,tetapi bulan ini terlalu istimewa dan terlalu berharga untuk disia-siakan kerana segala amalan kita,dari sekecil-kecilnya dilipat gandakan olehNya .Bulan ini adalah bula ‘mega sale’ atau bulan ‘pesta’pahala bukan ‘mega sale’ di pusat-pusat membeli belah kotaraya saja.

Bulan ini seringkali disalah ertikan.Mengapa aku berkata begini?Kerana hampir semua kita pernah berada dalam zaman ‘kejahilan’ bila mana Ramadan hanya dilihat sebagai bulan untuk menahan lapar dahaga dan di penghujungnya kita akan menyambut hari gembira,hari Raya.Tersenyum aku mengingati zaman itu,zaman ‘mentah’ bila puasa hanya jadi ikutan tanpa penghayatan.Alhamdulillah aku bersyukur,kini aku memahami betapa barakahnya bulan ini dan tiada bulan lain yang di dalamnya ada hari yang jika dilakukan amalan akan dlipatgandakan setara dengan amalan seribu bulan.Lumayan?Ya.Jadi sama-sama kita ikhtiarkan!

Pada tahun lepas,pada pertengahan Ramadan menghampiri 10 hari terakhir aku berada di Tanah Suci Mekah bersama ahli keluargaku.Sungguh aku rindu suasana itu.Damai.Tenang walau dalam bahang suhu melebihi 40 darjah selsius.Bayangkan,jika bukan dalam Ramadanpun kota Mekah sudah ‘hidup’ sepanjang masa,bila Ramadan,Mekah jadi seperti taman tema ibadah.Meriah dengan manusia dari segala pelusuk benua,datang dengan niat yang sama untuk mengambdikan diri pada Pencipta.SubhanAllah.Setiap amalan yang dilakukan terasa nikmatnya.Bibir sering mahu berzikir dan tidak mahu bisu dari membaca ayat-ayatNya.Buat semua yang sedang berada di sana,atau akan ke sana pada Ramadan ini,sungguh aku mencemburui kalian!Doakan kami di sini!Semakin kuat panggilan untuk aku bersama sepupuku DrAnwar Fazal untuk mengerjakan haji sebelum usia mencecah 35 tahun!InsyaAllah!!Doakan!


Jadualku pada bulan ini tidak ada bezanya dengan bulan-bulan lain.Masih berkerja seperti biasa cuma perlukan selang masa yang lebih daripada bulan-bulan biasa untuk DIA. Alhamdulillah aku kini sedang berlakon di bawah arahan Abang Ahmad Idham untuk filem kerjasama SKOP Production dan EXCELLENT Pictures;GANGSTER CELOP yang turut dibintangi Kamal Adli dan Hanis Zalikha.Aku gembira berkerja dengan mereka dan banyak aku pelajari daripada mereka.Aku tidak mahu terlalu selesa di bangku pengarah kerana aku tahu untuk menjadi pengarah yang hebat,aku perlu jadi pelakon yang hebat.Dua tugasan yang saling berkait dalam pemantapan kerjayaku sebagai anak seni yang masih bertatih dalam industri.Doakan semuanya lancar.

Dalam pada itu,aku bersyukur dan berbangga,majlis pra-tonton filem pertama adikku Syafiq pada minggu lepas di Mid Valley mendapat maklum balas yang cukup memberangsangkan dari semua pihak Media.Nyata hasil kerja Syafiq dalam usia semudanya mampu membawa industri kita ke tahap yang lebih tinggi,insyaAllah ke persada antarabangsa suatu hari nanti.Aku yakin dia mampu.Kita semua mampu jika kita mahu.Jangan lupa untuk saksikan hasil tangan pengarah termuda Malaysia ini;SAM di serata pawagam seluruh Negara pada 19 Ogos ini.

Sebelum terlupa,buat semua yang menonton drama bersiri Ameera lakonanku bersama Rita Rudaini dan Zarina AF,aku ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kerana jumlah tontonannya pada episod akhir mencecah 2.7 juta.Terima kasih atas sokongan kalian!

Akhir kata,sama-samalah kita hargai Ramadan tahun ini.Siapa tahu ini Ramadan terakhir kita.Teringat aku pada pesanan seorang ustaz yang kudengar tempoh hari di corong radio;”Jangan kita terlalu mengejar dunia,takut terjatuh dan hilang nyawa sebelum sempat memberatkan neraca timbangan dengan pahala.”Renung-renungkan!Ramadan Mubarak!

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

Sunday, July 15, 2012

2 Filem dalam 1 minggu - Satu Cabaran!



Di set KL DRIFT The Series ini,aku melihat dari kejauhan bagaimana adikku,penyambung legasi keluarga,wakil generasi millenia berkerja.Kagum.Cara kami bertiga,dari Papa,aku dan Syafiq nyata berbeza.Seperti yang semua tahu,Papa adalah seorang yang aggresif dalam kerjanya.Jika krew termasuk aku tahu dia akan datang di lokasi untuk memantau,jujur sehingga hari ini ada rasa debaran itu yang sukar aku gambarkan di sini.Auranya terlalu kuat.Kerja jadi lebih serius (bukan bermaksud tanpa kehadirannya di lokasi tidak serius),ada “urgency”(kesegeraan) dan “aim for minimal flaws”(kurangkan sebanyak mungkin kesilapan) kerana jika Papa ada,dia akan lihat dengan terperinci dari segenap aspek dan perspektif,dari pengarahan,kamera,pencahayaan,‘make-up’ sehinggalah ke sekecil-kecilnya yang mungkin kami sangka tidak perlu diambil perhatian yang lebih.Itu Papa.

Mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.Cara aku berkerja walau dalam sedar aku cuba menidakkan serba sedikit ada persamaan dengan papa dari segi ketelitian.Kadang kala aku terlalu cuba untuk menghampiri kesempurnaan walaupun aku tahu ia mustahil tetapi aku ikhtiarkan juga dengan semampunya.Jarang sekali aku berpuas hati dengan hasil kerjaku.Selalu sahaja aku melihat hasil kerjaku terlalu banyak cacat cela yang perlu diperbaiki lagi.Aku tidak mudah berpuas hati bukan kerana egoistik,tetapi kerana aku mahu hasil kerja aku mencerminkan kemampuan sebenar anak Malaysia yang tidak sepatutnya dipandang sebelah mata oleh Dunia.Musuh utama aku adalah masa kerana bila kesempurnaan yang cuba kita gapai,ia tidak semudah yang disangka kerana ia memerlukan masa dan masa itulah yang sering aku kejar!

Syafiq pula aku lihat lebih ‘mellow’.Gayanya di kerusi pengarah sering aku pantau dari kejauhan.Dia sentiasa tenang dan cuba mengawal gelanggang dengan caranya yang tersendiri.Aggresifnya dia bukan lebih di lokasi tetapi ketika di studio.Ilmunya dalam CGI dan efek-efek baru dalam dunia perfileman benar-benar aku kagumi.Sebelum dia mula bergiat penuh dalam bidang ini lagi,pelbagai eksperimentasi telah dia lakukan dan ditunjuk padaku dan Papa untuk dinilai.Kami akur generasi muda sepertinya perlu dilentur dengan baik kerana ilmu mereka dalam dunia IT yang penuh dengan kecanggihan ini ternyata mampu untuk menaik-tarafkan industry filem Negara yang tandus dengan filem-filem dalam genre sci-fi.Filem terbaru arahannya;SAM menjanjikan satu kelainan yang bagiku amat perlu ditonton semua.Satu anjakan paradigma minda generasi muda dunia perfileman Negara..

Melihat pada senario lambakan filem tempatan yang mula mengisi pawagam dengan giliran seminggu 2 buah filem baru bermula dari 24 Mei yang lepas membuatkan aku lebih teliti dalam penghasilan filem-filem arahanku dan filem-filem di bawah naungan SKOP Production.Sistem baru di bawah Skim Wajib Tayang (SWT) ini ternyata ada pro dan kontranya.Aku sentiasa cuba berfikiran positif dan di ‘luar kotak’ bila saja ada rombakan dalam apa jua situasi.Yang pasti,dengan rombakan system ini ternyata menunjukkan industry perfileman Negara kita semakin pesat dan saingan secara sihat untuk menghasilkan yang terbaik kian memuncak.

Walaupun ada yang berkata factor ini mengganggu kutipan filem mereka,aku tidak bersetuju 100%.Alhamdulillah,yang terkini,filem BOHSIA 2;JALAN KEMBALI arahanku dan filem MAEL LAMBONG arahan abang Ahmad Idham mampu mencecah kutipan RM5 Juta dalam lambakan filem-filem tempatan dan antarabangsa yang lain.Ini membuktikan,filem kita jika kena acuan mampu memuaskan citarasa penonton tempatan dan keinginan untuk menonton filem-filem tempatan tidak akan luntur dek saingan dari filem-filem antarabangsa kerana aku yakin,rakyat Malaysia adalah rakyat yang bijak dalam menentukan filem mana yang berbaloi untuk ditonton dan mereka tidak mengenepikan filem-filem hasil tangan anak Malaysia.

Akhir kata,nasihatku pada semua penggiat seni perfileman Negara dan buat diriku sendiri,jadikan isu lambakan filem;2 filem seminggu ini sebagai pembakar semangat dalam menghasilkan filem yang lebih berkualiti dan yang mampu menambat hati penonton tempatan.Kita mampu jika kita mahu!Buktikan filem kita bukan filem picisan,tetapi filem yang berkualiti tinggi dan ber’isi’.


Selamat menyiapkan diri dan hati untuk Ramadhan kali ini.Moga Allah mudahkan kita untuk lebih mendekatkan diri denganNya.Salam penutup Syaaban dan pembuka Ramadhan!

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

Sunday, July 1, 2012

Jika kita berumah kaca...


Jerebu hari ini mengganggu pandanganku,menyesakkan jalan yang sudah sedia sesak dengan kereta-kereta warga kota yang sedang sibuk menuju ke destinasi yang dituju.Aku seperti sedia kala,bersaing dengan masa,cuba memintasnya untuk melunaskan obligasi kerja dan peribadi.Hari baru,ujian baru dan solusi baru.Hidup perlu terus,jangan ditunda apa yang sepatutnya mampu dikerjakan hari ini ke hari seterusnya kerana yang tertunda itu akan datang mengejar dan terus mengganggu selagi belum dilunaskan.

Sebelum aku pergi lebih jauh,aku ingin panjatkan kesyukuran pada Ilahi atas pengiktirafan yang diberi kepadaku dan adikku,Syafiq.Nama kami berdua bakal diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.Syafiq diiktiraf sebagai pengarah Malaysia termuda yang telahpun berjaya mengarah filem SAM yang bakal ditayangkan pada Hari Raya tahun ini.Manakala aku pula diberi 2 pengiktirafan;Pengarah muda yang memenangi Pengarah Terbaik FFM dua kali berturut-turut untuk filem Evolusi KL Drift(2010) dan KL Gangster(2011) serta pengarah termuda yang berjaya menghasilkan filem dengan kutipan tertinggi untuk KL Gangster-RM 12 Juta.

Alhamdulillah.Pengiktirafan ini adalah pengiktirafan untuk semua pejuang dan penggiat filem tempatan.Pengiktirafan ini adalah sumber inspirasi untuk aku dan warga SKOP Production khususnya.Bukan niatku untuk berbangga-bangga.Jauh sekali.Niatku di sini adalah untuk memberi inspirasi pada semua,tidak kira apa jua pekerjaan yang kalian lakukan,tidak kira siapa,jika visi kita jelas,jika usaha kita keras,insyaAllah DIA akan membantu kita menuju ke puncak yang teratas.

Aku pegang kata-kata Steve Jobs “Jangan biarkan pendapat orang lain menenggelamkan suara hati anda.Apa yang lebih penting,anda perlu berani ikut kata hati dan naluri anda”

Maaf jika aku menyatakan di sini mengenai mentaliti lemah kita kerana aku pernah menjadi antara yang berfikiran serupa.Kita terlalu memikirkan pendapat orang lain dan sering mudah terluka jika ditegur dan diberi komentar atas hasil kerja kita.Itu aku yang dulu.Formula aku untuk menanganinya ialah,selalu berfikiran positif dan terbuka.

Hormat pendapat semua.Jangan melatah dengan cemuhan dan provokasi yang menyatakan hasil kerja kita hanya ‘biasa-biasa’ dan tiada apa yang istimewa.’Telan’ itu semua dengan titipan senyuman.Pasakkan dalam hati;itu semua adalah pembakar semangat kita untuk lebih berusaha keras  menjadi lebih baik.Jangan pernah berburuk sangka pada sesiapa. Sekurang-kurangnya mereka bersuara menyatakan pendapat mereka.Ayuh bersangka baik pada semua!

Seterusnya,ini nasihatku sebagai seorang pengarah kerdil yang dibesarkan dalam dunia seni sejak dari kecil,jangan sekali bertelingkah dan mengeluarkan sebarang kenyataan buruk mengenai sesiapapun.Gunakan medium yang betul dalam menyelesaikan masalah sesama rakan se-industri.Industri kita baru sahaja mahu berkembang.Jangan bantutkan dengan isu-isu ‘peribadi’ dan pertelingkahan sesama sendiri bila sepatutnya industri ini diwarna-warnikan dengan hasil kerja berkualiti anak-anak tempatan yang bervisi.

Hormati juga rakan-rakan wartawan,pemberita,blogger dan semua yang banyak membantu kita secara langsung atau tidak langsung.Jika ada perselisihan,cuba cari jalan penyelesaian aman,bukan dicanang seMalaya kerana aku percaya masih banyak berita Negara yang lebih penting untuk dikongsi dengan semua.

Akhir kata, 
'jika kita berumah kaca,jangan terlalu berani melempar batu pada sesiapa'.
                                                           Renung-renungkan.


                                                            Pengarah Kerdil,
                                                            Syamsul Yusof

Sunday, June 17, 2012

'JALAN KEMBALI' masih terbuka.Jangan sia-siakan masa..



Bismillahirrahmaanirrahim..


“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” 
[Al-Baqarah 216]

Itulah ayatNya yang aku guna sebagai Mukaddimah filem terbaruku BOHSIA 2 – JALAN KEMBALI ini.Penangannya cukup terkesan dalam jiwaku lantaran itu berulang-ulang aku selitkan dalam filem ke-7 arahanku ini.

Alhamdulillah.Aku panjatkan segala kesyukuran pada Pencipta,Allah s.w.t  atas rezeki,kejayaan yang diberi untuk kutipan yang amat memberangsangkan.Sungguh aku amat bersyukur namun jujur aku lebih bersyukur jika filem BOHSIA 2 ini benar-benar mampu memberi impak pada hati-hati kita semua dan terutamanya golongan remaja yang sedang leka dengan ‘tipu daya keriangan dunia’ sehingga lupa ada yang lebih kekal di ‘sana’.

Melalui filem ini aku mahu kita semua sedar yang  pintu taubat Allah sentiasa terbuka selagi kita masih bernyawa dan jangan sekali-kali kita persiakan sisa masa pinjamanNya ini untuk melakukan perkara-perkara yang sia-sia dan mampu mendatangkan murkaNya kerana kita tidak tahu bila ‘tarikh tamat’ kita di dunia.

Aku percaya,jauh di sudut hati kita semua,walau seteruk mana sekalipun kita,masih ada sekelumit rasa insaf bila dipaparkan dengan plot-plot agama dan kematian kerana kita tahu,mati itu pasti dan tiada apa yang lebih pasti dari mati.Cuma,kita sering menipu diri,menyedapkan hati dengan berkata “Aku masih muda lagi.Masih banyak masa untuk berubah.Nanti bila dah tua,aku bertaubatlah.Sekarang masa untuk aku bersuka-ria,kenal dunia habis-habisan”Itula tutur kata atau suara hati tipikal kita.Astaghfirullah.

Buat pengetahuan semua aku juga ada berlakon dalam episode pertama Tanah Kubur musim ke-4 baru-baru ini.Zahirnya aku mungkin nampak bersahaja pada tiap plot yang dilakonkan tetapi di sini aku mahu buka rahsiaku – Ada satu rasa yang amat menakutkan menyelinap pada tiap relung nadiku,pada malam selepas lakonanku dikafankan aku bermimpi aku tidak sempat untuk bertaubat dan memohon ampun pada mama & papa sebelum aku menghembuskan nafasku yang terakhir.

Aku meronta-ronta minta diberi peluang ke-dua untuk dihidupkan semula walau hanya buat seketika untuk bertaubat dan berjumpa mama & papa.Aku terjaga bila jam locengku bordering untuk subuh.Lencun bajuku.Berair mataku.Menggigil tubuhku.Aku menangis seperti anak kecil,mengucapkan syukur aku masih bernyawa.Terima kasih ya Allah.Itu pengalamanku.Itu rahsia yang aku bongkar tentang diriku yang sering lupa.Jikalau benar itu semua,hampir pasti aku bukan penghuni syurga.Jangan kita persiakan peluang kita di ‘sini’,kawan-kawan

Buat semua yang sudah menonton BOHSIA 2 – Jalan Kembali,TERIMA KASIH.Buat yang masih belum menonton,jangan lupa untuk menonton. .InsyaAllah bila keluar saja dari panggung,kamu tidak akan rasa 'kosong'Sama-sama kita martabatkan filem tempatan!

Sebelum mengakhiri tulisanku kali ini,aku mahu mengucapkan terima kasih yang tak terhingga juga pada semua wartawan,juruhebah,blogger yang menggunakan medium media massa dan internet untuk mempromosikan filem BOHSIA 2.Seawal karierku lagi,kalian sentiasa bersama.TERIMA KASIH!

“Tidak kira berapa jauh sudah kau lalui 'jalan hitam',selagi masih bernyawa,kau masih ada masa untuk menukar arah ke 'jalan kembali’”

Salam sayang buat semua!

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

BERSIHKAN DULU HATI KITA,KAWAN-KAWAN..



Hari itu hari yang menakutkan bagiku.Hari bila mana Malaysia tanah tumpah airku ini yang aku kira akan tenang,damai dan harmoni dengan bangsanya yang berbilang akan terus aman tanpa sebarang  perhimpunan/demonstrasi tunjuk perasaan/protes terbuka atau secara terangan-terangan,akhirnya menjadi realiti paparan mata sejagat dan dunia.Hari itu hari ‘kuning’.Hari ‘bersih’ mengikut pemahaman segolongan masyarakat kita.

Sungguh,Demi Tuhan,aku tidak menyimpan apa-apa rasa benci atau marah.Aku sedih.Terlalu sedih.Aku berada di kotaraya  tatkala demonstrasi berlaku.Ada hikmahnya.Aku lupa atau lewat untuk sedar pada hari itu rupanya akan berlangsung satu perhimpunan,hanya bila kesesakan jalan raya menggila dengan beberapa jalan utama ditutup,warna kuning bersama sepanduk penuh di sana sini menjadikan kota raya ‘kota kuning’ buat sementara,baru aku tersentak dan sedar hari itu adalah hari ‘bersih’.

Satu pengalaman yang tidak akan dapat aku lupakan bila melihat berbondong-bondong mereka berjalan seiring,dengan sepanduk dan laungan lantang cogan kata/frasa ‘bidasan’.Raut-raut wajah mereka aku tenung.Cuba mencari jawapan pada tenunganku.Aku gagal.Aku tewas dalam mentafsir rasa mereka.

Aku hormati ideologi mereka,apa yang mereka perjuangkan,cuma persoalanku “Adakah dengan cara ini?Tiada cara lainkah yang lebih baik?”Persoalan itu berputar ligat dalam benak fikiranku sehingga aku dikejutkan dengan bunyi hon kenderaan dari belakang untuk aku segera bergerak meninggalkan ruang sempit sendat lagi padat kotaraya ketika itu.

Agendaku untuk membeli pakaian dan melawat teman yang sedang sakit pada hari itu terkubur.Aku pulang ke rumah dengan fikiran yang sarat dengan persoalan dan perasaan sedih dan takut yang amat sangat.Aku tidak mahu negaraku yang selama ini aman jadi porak peranda dan jadi ‘mainan’ Negara luar yang memang sudah lama memantau dan menunggu masa yang tepat untuk ‘menjajah’ semula setelah Malaysia berkembang pesat dengan kemajuan.

Aku enggan mengulas panjang isu ini kerana aku pasti aka ada yang tersalah erti.Lantas aku tinggalkan beberapa soalan ini untuk semua dan juga untuk diri aku sendiri.

*Sudahkah kita menghapuskan korupsi  pada diri kita sendiri sebelum bersungguh-sungguh ingin menghapuskan korupsi pemerintah?


*Sudahkah kita jaga solat 5 waktu dan melaksanakan rukun Islam dengan sempura sebelum lantang bercakap tentang agama?


*Adakah kita benar-benar jaga bayaran zakat kita biar telus sepanjang masa?


*Adakah kita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Ibubapa dan kaum keluarga kita?


*Buat yang sudah berumahtangga dan mempunyai cahaya mata,sudahkah kalian mendidik isteri dan anak dengan didikan Agama?


*Adakah terjaga hubungan sesama jiran tetangga kita?

Itu antara persoalan yang bermain di mindaku.

Aku hanya ingin mengingatkan diriku dan yang lain bahawa pemimpin itu datangnya dari kalangan kita;rakyat pada awalnya.Maka jika zalim seorang pemimpin itu disebabkan zalimnya rakyat,begitulah sebaliknya.Sama-sama kita renung-renungkan.



Aku petik kata-kata Dr.Anwar Fazal dari Twitternya sebagai penutup:
"Apapun bersihkan dulu dalaman,hati.Kalau itu kotor,yang lain turut kotor walau jasad bersih dibaluti pakaian putih"

Salam satu Malaysia!

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof

HINGGA HUJUNG DUNIA



Salam  “Hingga Hujung Dunia” buat semua pembaca tulisanku.Kali ini,aku ingin menulis bebas,tiada spesifikasi atau tajuk tetap,rawak tetapi bukan serawak Gerakan Brown yang kite pelajari dalam ilmu sains.

Dalam tidak sedar,masa berlalu cukup pantas mengalahkan pantasnya keretapi peluru Negara matahari terbit itu sehingga bila aku sangka aku mahu turun pada stesyen seterusnya,aku cuba mencapai butang sebagai tanda awal pemberitahuan untuk berhenti pada destinasi seterusnya namun seringkali aku gagal dan tidak sempat kerana asakan dari penumpang-penumpang lain yang berada pada ‘gerabak yang sama.’

Selama hampir sebulan ini jadual hidupku cukup padat dari lakonan ke ‘editing’.Habis tugas lakonan,aku berkejar pula ke studio memerah otak,bersengkang mata,berkali-kali membaik pulih plot-plot KL GANGSTER 2,cuba untuk memberikan hasil yang terbaik untuk tatapan semua kerana aku percaya rakyat kita sudah matang untuk menilai filem-filem hasil tangan anak tempatan dan tidak salah untukku nyatakan,mereka meletakkan filem luar sebagai perbandingan.Satu cabaran yang cukup besar buatku dan semua penggiat seni  tanah air!

Jalan Kembali;BOHSIA 2,filem arahanku seterusnya ini akan ditayangkan di pawagam bermula 7 Jun 2012.Ini adalah sekual filemku yang sebelumnya BOHSIA;Jangan Pilih Jalan Hitam.Buat semua yang sudah menonton BOHSIA yang  pertama,bagi sekualnya aku persembahkan satu adunan emosi dalam selingan aksi,dan yang paling penting,pengajaran di sebalik tribulasi kehidupan lebih dibandingkan yang pertama.Padat.Tonton ‘trailer’nya di YouTube.

Aku tertarik dengan Artikel Serimah di ruangan Hip pada hari Isnin lepas yang bertajuk “Jangan Buat Filem Mi Segera”-Penerbit perlu kaji selera peminat demi perkembangan industri.Pada kolum itu juga diberi jadual senarai kutipan filem-filem tempatan sepanjang 2012 ini dan nyata kurang memberangsangkan.
Kutipan tertinggi untuk tahun ini sehingga bulan ini iala ‘Adnan Sempit 2’ dengan jumlah kumulatif kutipannya RM 6.82 juta.Tahniah buat Metrowealth.

Tiada sangkalan pada kenyataan Abang Norman KRU yang menyatakan penonton masa kini menonton wayang yang hanya kena pada cita rasa mereka dan ini adalah factor yang mempengaruhi kutipan filem.Konklusinya,filem harus dihasilkan mengikut citarasa terkini penonton,bukan citarasa sendiri pembikin filem.

Beralih pada lagu.Hingga Hujung Dunia,ya,itulah tajuk ‘single’ terbaruku.Dalam tidak sedar sudah 4 single yang aku telah hasilkan;dari ‘BIDADARI’ ke ‘APAKAH SEMUANYA ITU’,seterusnya ‘YA ROBBI’ dan kini ‘HINGGA HUJUNG DUNIA’.Untuk mendengar single terbaruku ini bolehlah ke youtube pada channel BURNSOUL4U atau taipkan terus pada kotak pencarian HINGGA HUJUNG DUNIA.

Alhamdulillah,maklum balas yang diterima setakat ini baik dan positif.HHD adalah lagu runut filem Aku Bokon Tomboy yang dihasilkan mengikut citarasa remaja masa kini,’catchy’ dengan nada futuristik.Buat yang masih belum mendengar,dengarlah dan kongsikan pada semua ok?

Akhir kata,Filem dan Lagu adalah nyawaku.Hari-hariku berputar sekitar filem-filem dan lagu-lagu yang cuba kufahami maksud tersiratnya suapaya aku mampu menghasilkan filem dan lagu yang lebih baik dan‘berisi’ buat semua.Pesananku,apapun,pilih filem dan lagu yang ingin ditonton dan didengar.Filem dan lagu mampu member inspirasi dalam kehidupan,namun dalam masa yang sama mampu  ‘merosakkan’ minda jika salah
pilihan.Renung-renungkan
Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof 
-Soul of Burn & Soul-

Sunday, April 15, 2012

ABPBH 2012 dan ceritaku

Hening pagi di Genting ini cukup damai.Awalnya,rintik hujan renyai yang menghempas tingkap bilikku sedikit mengganggu,namun tidak lama sehingga matahari mula menzahirkan diri,memberi cahaya dan nafas baru buat aku dan semua yang masih bernyawa untuk mulakan hari baru.

Alhamdulillah,Anugerah Bintang Popular Berita Harian(ABPBH) 2012 telah tamat dengan jayanya.Majlis berprestij buat semua insan seni tanah air ini tidak pernah mengecewakan dan sering mengungguli dalam perbandingan dengan mana-mana majlis seumpama yang lain.Faktor ‘senioriti’nya yang buat tahun ini sudah yang ke-25(Jubli Perak)nyata telah menjadi faktor utama keunggulannya.Terima kasih dan tahniah pada Berita Harian yang telah berjaya menjadikan ABPBH sebagai medium prima apresiasi peminat kepada anak-anak seni semenjak 25 tahun ini.

ABPBH tahun ini meriah,penuh ekstravaganza.Seperti sediakala semua artis kulihat cukup  bergaya dengan ‘style’ mereka tersendiri,ceria dan gembira.Aku turut gembira bila melihat senario sebegini kerana aku tahu yang hadir semua  inilah yang akan bersama-samaku dalam memartabatkan industri penyiaran,lagu dan perfileman.

Dalam keriangan malam ABPBH,aku melihat ‘orang-orang lama’yang turut hadir,membuat aku rasa terharu dan membayangkan diri aku (jika aku masih diberi pinjaman nyawa dan waktu) 10-20 tahun akan datang,adakah aku akan terus berdiri teguh memberi sokongan yang padu pada industri dan generasi baru? Aku bertekad untuk terus bersama dalam jatuh bangunnya industri ini.InsyaAllah.InsyaAllah.

Tahun ini,Alhamdulillah,aku dicalonkan dalam kategori pelakon filem lelaki popular bersama pelakon-pelakon ‘otai’ lain ; Aaron Aziz,Adi Putra,Bront Palarae dan Shaheizy Sam.Seawalnya lagi aku sudah tahu aku bukan tandingan mereka.Mereka adalah antara pelakon-pelakon lelaki Malaya yang aku kagumi.Oleh kerana itu rata-rata yang tercalon ini semua adalah pelakon-pelakon pilihanku dalam filem-filem arahanku.Mereka adalah yang terbaik antara yang terbaik.

Tahun ini juga,buat julung-julung kalinya 3 generasi keluargaku diberi amanah untuk menjadi pengumum dan penyampai trofi bersama.Papa,aku dan adikku;Syafiq,kami bertiga berada pada podium yang sama.Ada rasa janggal pada awalnya namun bila kami mula berinteraksi,Alhamdulillah hilang rasa janggal itu,malah terbit satu semangat baru untuk menjadi inspirasi pada semua.Kami adalah representasi 3 generasi yang akan terus menyokong dan memartabatkan industri sampai bila-bila.InsyaAllah.

Sepanjang ABPBH,ada beberapa ‘moment’ yang aku rasa aku perlu kongsikan dengan semua apa yangku rasa.Antaranya kemenangan Fizz Fairuz.Aku hampir saja bergenang air mata bila mendengar ucapannya yang aku tahu dan dapatku rasakan keikhlasan dan kejujurannya.Fizz Fairuz adalah antara nama-nama yang aku kagumi lakonannya sejak drama Nur Kasih lagi.Buat Fizz Fairuz,tahniah dan percayalah kemenangan ini adalah selayaknya untuk kamu.

Seperti yang semua ketahui,Aaron Aziz telah berjaya menjadi Bintang Paling Popular 2012.Tiada sangkalan daripadaku untuk Aaron menjadi Bintang paling popular tahun ini kerana aku cukup mengenali dia.Aaron adalah satu ‘fenomena’ sejak tahun lepas lagi.Tidak kira siapapun,malah yang menuntut ilmu ‘penaakulan mantik’ juga tidak dapat menidakkan kemenangannya ini.Lantas jika ada yang tidak berpuas hati,maaf aku nyatakan di sini,kalian perlu lebih bersifat terbuka kerana ini adalah pilihan  rakyat Malaysia.

Akhir kata,aku petik kata-kata daripada Dr.Anwar Fazal di twitternya buat renungan bersama  
“Usah dengki kawan-kawanku.Kita peroleh rezeki dari Pemberi Rezeki yang sama.Masa,tempat & bentuknya mungkin berbeza,namun hakikatnya semuanya dari DIA”

Salam satu Malaysia!
Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

P/s:Aku lebih gemar mengemaskini twitterku kebelakangan ini.Kalau mahu tahu perkembangan terbaru,ikut aku di twitter.
Twitterku : @burnsoul4u
Twitter Dr.Anwar : @DrAnwarFazal
Twitter Syafiq : @syafiqyusof
Twitter SKOP : @Skop_Prodns