Sunday, October 28, 2012

Nyawa Industri Filem dan Muzik



Siaran di TV sudah tiba pada paparan warna-warni yang memberi maksud siaran sudah tamat pada hari ini sebelum nanti pagi akan bermula dengan bacaan Al-Quran dan Azan Subuh sebagai pembuka tirai baru hari.Aku masih di sini di hadapan skrin komputer bersama jari jemari yang menari pada lagu bahasa yang kugubah menjadi simfoni artikel kali ini.

Dari pagi sehingga ke ‘pagi’ aku menghadap komputer riba,berada pada fasa akhir mengemaskini plot-plot KL GANGSTER 2 yang sebenarnya sudah beberapa kali dibaiki namun dek kerana aku terlalu inginkan buah tangan terbaruku ini jadi fenomena lagi seperti KL GANGSTER yang pertama,maka aku sanggup bersengkang mata,meneliti pada setiap inci sebelum disajikan pada semua pada awal tahun hadapan,sebagai satu hadiah terbesarku untuk semua sepanjang tempoh penglibatanku di dalam industri.

Dalam pada aku sibuk mengemaskini ‘buah tangan’ku yang terbaru ini,aku sempat mencari info-info dan isu-isu semasa berkaitan industri filem  dan penyiaran tempatan/dunia.Pada pencarian di Google aku menaip beberapa tajuk filem luar negara yang berjaya mendapat kutipan box-office dan berjaya meraih Oscar.Bila saja papan kekunci ‘enter’ kutekan,jawapan pada pencarian ada sehingga beratus pilihan dan yang menyedihkan ialah bila antara 10 yang pertama itu “Download free at Pirate Bay” dan beberapa link pada muat turun percuma filem-filem antarabangsa.

Dek rasa inkuiri yang tinggi aku memilih salah satu link daripada ratusan link muat turun percuma itu untuk kulihat sejauh mana sebenarnya isu muat turun percuma filem dan muzik ini mampu memberi impak pada industri.Nyata bila saja aku memasuki laman web itu;Pirate Bay,aku diberi ratusan ribu pilihan untuk memuat turun secara percuma.Yang lebih mengejutkan dan lebih menyedihkan ialah bila mataku sempat tertancap pada beberapa filem tempatan yang turut berada dalam senarai.


Industri muzik yang merudum dan suram telah dikenalpasti punca utamanya,muat turun percuma.Pengarah urusan Sony music entertainment sendiri telah beberapa kali tampil dan menyatakan kerisauannya pada industri muzik tempatan bila 10 tahun yang lepas syarikat mampu mengeluarkan 15 album dan sekarang hanya 5.Dulu penjualan album mampu mencecah 50,000 dengan mudah dan sekarang hanya untuk menjual 5,000 sahaja sudah terlalu susah.

Mari aku beritahu,hari ini,isu muat turun ini bukan sahaja telah ‘membunuh’ industri muzik,tetapi kini telah berjaya ‘membunuh’ industri filem Negara dan antarabangsa.Tahun 2012 adalah tahun penghasilan dan tayangan filem tempatan yang paling aktif dan pesat namun harus diingatkan,kepesatan ini ialah kepesatan kuantiti.Terlalu banyak filem yang ditayangkan (pada skala 2 filem dalam 1 minggu) tetapi kutipannya rata-rata mengecewakan dan terlalu jauh di bawah sasaran.


Harus diingat,pelaburan dalam industri filem jauh lebih besar daripada muzik dan jika ini berlanjutan,bila isu rakyat lebih gemar menunggu sehingga adanya link untuk muat turun percuma filem-filem kita untuk dimuat turun,maka aku benar-benar percaya di sinilah bermula era kejatuhan filem Negara.

Pirate Bay pernah ditutup buat seketika waktu dulu,namun kini mula beroperasi kembali,malah lebih aktif bila dilihat pada jumlah individu yang berkongsi dan memuat turun mengikut kajian terbaru menunjukkan kenaikan jumlah muat turun lebih 200% pada tahun 2011 dan 2012 berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.Terkejut?Ya terkejut pada angka dan fakta ini tetapi lebih terkejut bila didapati rakyat Malaysia adalah antara pemuat turun paling aktif.


Ramai yang menuding jari dan menyalahkan filem sebagai punca kebejatan moral dan sahsiah sejagat bila tanpa disedari internet adalah hub utama pada segalanya.Laman porno sebagai contohnya,dapat diakses dengan mudah di mana sahaja pada bila-bila masa tanpa kawalan.


Jujur,dengan penuh rasa kerendahan hati,aku berharap agar pihak-pihak berkuasa dan berautoriti dapat menyelesaikan isu ini dengan bijak dalam kadar yang segera.Isu muat turun percuma dan laman web lucah ini harus diambil serius kerana ia adalah seperti virus yang merebak pantas ke segenap sistem masyarakat dan jika dibiarkan mampu membunuh industri penyiaran dan yang lebih serius membunuh sahsiah  sejagat.

Akhir kata,selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha dan moga-moga semua yang pergi menjadi tetamuNya pada tahun ini peroleh Haji Mabrur dan mampu memberi motivasi pada yang belum mengerjakannya lagi.

Salam Aidil Adha!

Pengarah Kerdil,
Syamsul yusof

2 comments:

Aliha said...

Selamat Hari Raya Aidiladha juga bt U. Luahan yang bermakna sekali :)

Anonymous said...

Perkongsian yang bermanfaat bro..majulah filem untuk negara...