Demi Masa
"Demi masa" (1)
"Sesungguhnya masnusia itu benar-benar dalam kerugian"(2)
_________________________________________________
_________________________________________________
Demi masa,penggambaran KLG2 mengambil tempoh yang agak lama daripada sedia kala.”Ya,tetapi mengapa?”Semua memberi spekulasi buta tanpa bertanya terus padaku mengapa.Jangan mudah menutur kata dan memberi pendapat sewenang-wenangnya tanpa usul periksa.Inilah punca segalanya jadi ‘porak-peranda’.Penutur kata dan yang ditutur kata,dua-dua dalam tanda tanya.Bila bersemuka,lidah jadi kelu seribu bahasa.Nyata,Keegoan mampu membunuh peradaban manusia.Tidak mengapa,bila-bila saja ada yang ingin bertanya,bersemukalah denganku.Aku akan memberitahu.Aku akan berkongsi ceritaku biar kau tahu aku juga manusia yang punya hati,perasaan dan keterbatasan.
Demi masa,aku sedar aku masih setahun jagung dalam industri ini.Industri filem yang diwarisi dari generasi ke generasi.Industri ini seperti titi kecil yang menghubungkan dua daratan di antara sungai yang bergelora.Dua daratan itu adalah realiti dan imaginasi.Jika tersilap langkah,tidak berhati-hati dan terlalu laju berjalan di atasnya,bisa saja aku jatuh dan terus hanyut dibawa arus sungai deras,atau jika diizinkanNya aku diberi kudrat untuk sempat berpaut pada titian itu dan bangun semula,mengatur langkah yang lebih teliti untuk sampai ke seberang;destinasi.
Demi masa,kejayaan yang kukecapi sepanjang penglibatanku dalam industri banyak membuka mataku dan menyedarkanku tentang manusia dan kehidupan.Betapa aturanNya pada kaca mata sesetengah hanya mampu dilihat dari sudut keburukan dan hanya segelintir,terus mencari natijah tersembunyi yang mampu menyejukkan hati.Hati-hati kita terlalu sarat dengan buruk sangka sehingga kadang-kala aku penat untuk bersuara lantas aku diamkan saja.Aku tidak mahu berbalah dan aku tidak suka kontroversi.Aku mahu kita jadi ‘satu’ mampu berkongsi kejayaan bersama dan bersaing secara sihat.Niat yang dipasakkan dalam hati harus kita baiki dan perbetulkan jika ada niat yang sebaliknya.
Demi masa,aku mengerah tenaga,menyeka air mata yang kadangkala gagal dikawal dalam pedih jiwa cuba mendepani segala ujian yang datangnya bertimpa-timpa pada bahuku yang tidak segagah mana.Namun dengan kudrat tulang empat kerat bersama hati yang kubawa,aku gagahi jua diiringi doa dan yakinku pada DIA yang tidak akan menurunkan ujian begitu saja tanpa ada hikmah di sebaliknya dan DIA tahu kemampuan hamba-hambaNya.
Demi masa,kita semua akan ke ‘sana’ jua.Jangan dibawa hati yang sarat dengan kebencian dan buruk sangka.Kita masih ada masa.Sama-sama kita berubah dan berbaik sangka sesama kita dan pada DIA.
_____________________________________________________________________________
"Melainkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran"(3)
(Al-Asr 1-3)
Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof