Sunday, August 26, 2012

MAAFKAN DAKU,SEMUA..



Sayup-sayup kedengaran takbir raya dari ruang legar rumahku malam itu membuatkan aku rasa sebak tak menentu.Kenapa perlu sebak bila Esok hari raya,hari suka ria,berkumpul bersama sanak saudara?Aku sebak kerana Sekolah Ramadan sesi tahun ini sudah tamat dan kita semua Muslim yang masih bernyawa adalah graduan dari sekolah ini.

Cuma,yang membezakan kita adalah pada kelas mana kita menamatkannya.Adakah kita graduan yang berjaya pada kelas pertama,kedua atau hanya graduan biasa?Lebih menyedihkan ialah bila kita menghadiri majlis graduasi (Hari Raya) ini dengan sijil ijazah yang tak bertanda apa-apa,kiasku ialah sekolah Ramadan ini hanya mengajar kita menahan lapar dahaga semata-mata tanpa mengambil kira ruhnya dan segala amalan lain.Astaghfirullah.Betapa ruginya kita jika menyangka tahun depan masih ada.

Dalam kemeriahan raya ini,aku ingin menyusun 10 jari berserta hati memohon maaf atas segala salah silapku pada semua yang mengenali.Kemaafan kalian amat berharga dan aku maafkan semua.Biar hati jadi tenang,tiada gundah buat hati resah.

Buat Papa dan mama,tanpa kalian aku tidak akan berada di sini hari ini.Aku wujud dengan kuasaNya melalui kalian berdua.Ampunkan dosa anakmu ini dan jangan putus berdoa agar aku berjaya di dunia & di akhirat.

Buat adik-adikku,abangmu minta maaf atas semua teguran yang kadangkala agak keras.Abangmu mahu kalian berjaya dan tahu tiada jalan pintas untuk menuju ke puncak selain usaha yang berterusan bersama azam dan doa.

Buat saudara mara rapatku,aku minta ampun juga kerana aku tidak mampu hadir pada setiap jemputan majlis keluarga kita kerana kesibukanku.InsyaAllah aku akan usahakan untuk meluangkan lebih masa dengan keluarga.Aku sayang kalian semua!

Buat semua peminatku,yang kurang/tidak meminatiku,aku mohon ampun jika sepanjang perjalananku dalam dunia seni ini ada mengguriskan hati mana-mana pihak dalam sedar ataupun tidak.Jujur,kalian adalah pembakar semangatku untuk terus menghasilkan karya bermutu.

Buat semua wartawan/blogger yang kukenali ataupun tidak,yang terus-terusan membantu dengan memberikan teguran dan kritikan,terima kasih dan maafkan aku jika ada maklum balasku tidak menepati kehendak kalian.Sungguh,aku tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dalam usiaku yang makin lusuh.Maafkan aku ya.

Buat semua rakan seindustri yang kuhormati,maafkan aku jika kita pernah ada sengketa.Aku tidak menyimpan apa-apa di hati.Aku sayang kalian semua.Aku mahu kita jatuh bangun sama-sama dalam perjuangan memartabatkan industri seni negara.Maafkan aku dan tegurlah aku jika ada salah silapku.

Akhir kata,aku mahu Hari Raya jadi hari muhasabah & pembaharuan diri setelah kita menjadi graduan sekolah Ramadan.Sekali lagi,ampun maaf ku pohon pada semua.Moga Syawal tahun ini lebih bermakna..

Di sini juga aku mahu kongsikan renungan mendalam dari blog sepupuku Dr.Anwar Fazal mengenai Raya dari kaca mata kanak-kanak.
http://burnofburnsoul.blogspot.com/2012/08/raya.html

Sebarkan berita gembira dan nasihat di dunia siber ini kerana setiap apa yang kita kongsikan itu di'kira'.

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

Monday, August 13, 2012

Olimpik-Satu Inspirasi.Jujur pada diri.


Malam itu aku ke salah sebuah restoran ‘open air’ yang menayangkan siaran sukan Olimpik secara langsung di skrin putih mininya yang dimainkan dari projektor.Penuh.Sesak.Sukar untuk mendapatkan meja,lantas aku berkongsi meja bersama mereka yang sudah hadir lebih awal.Sekilas pandang, aku merasa seperti aku berada di stadium ketika itu.Ramai yang memakai baju Harimau Malaya dan ada juga yang siap membawa kain rentang berserta cogan kata pembakar semangat.Meriah.

 “Smash,Dato Lee Chong Wei!!Smash lagi!!” Itu antara jeritan yangku dengar ketika sedang menonton pusingan akhir Badminton Piala Olimpik 2012,perlawanan penentuan antara juara dan bekas juara No.1 dunia.Bahang demam Olimpik masih terasa.Olimpik tahun ini telah banyak membuka mata kita sebagai rakyat Malaysia betapa sukan sedikit sebanyak mampu jadi medium kesatuan sejagat.Semua memberi sokongan yang tak berbelah bagi pada semua atlit Negara.Syabas rakyat Malaysia.Aku bangga!



Rasa itu bila melihat atlit-atlit Negara kita berhempas pulas,memberikan yang terbaik untuk Negara memberikan aku semangat yang luar biasa.Betapa cintanya mereka pada Malaysia,Negara tanah tumpah air kita.Mereka berjuang demi Negara.Kita?Kita juga berjuang membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa dalam apa jua bidang yang kita ceburi.Negara kita bukan Negara picisan yang boleh dipandang sebelah mata lagi oleh Negara-negara besar dunia.Sudah sampai masanya mereka tahu kewujudan kita mampu memberi saingan sengit pada mereka.

Dalam meriahnya sorak-sorai kita menyokong atlit-atlit Negara di temasya Olimpik dunia,aku mahu ingatkan pada semua mengenai krisis yang berlaku saat ini di Burma dan Syria yang telah mengorbankan beribu nyawa yang tidak berdosa hanya kerana perbezaan agama.Yang lebih menyedihkan ialah bila agama yang di-anti itu ialah agama rasmi Negara kita,agama suci Islam.Aku tidak malu menyatakan di sini yang aku menangis teresak-esak seperti anak kehilangan emak melihat klip-klip video keganasan puak yang menindas mereka di sana.Mana perginya rasa peri kemanusian mereka.Apa yang kita mampu lakukan di sini ialah berdoa agar Allah membantu mereka,memberi kesedaran sejagat dan menghulurkan derma melalui medium-medium rasmi yang ada.Sama-sama kita ikhtiarkan.


Isu seterusnya yang ingin aku kongsikan di sini ialah isu graduan palsu.Tidakkah orang yang ‘membeli ijazah palsu’ ini tahu erti keberkatan dan kejujuran dalam kehidupan.Buat pengetahuan semua,2 tahun yang lepas aku pernah disapa oleh seorang ejen yang tidak aku kenali untuk menjual ijazah sarjana (Master) dalam Sinematografi antarabangsa  dari salah sebuah Universiti di luar Negara.

Bersungguh-sungguh dia menerangkan betapa dalam dunia tanpa sempadan ini segalanya mustahil.Aku hanya perlu membayar amaun tertentu dan aku akan terus mendapat Master dalam masa 1 tahun sekurang-kurangnya.Selebihnya mereka yang akan menguruskan urusan peperiksaan dan ijazah akhir.Aku hanya perlu hadir di majlis konvokasinya di luar Negara.Bunyinya mudah bukan.Hanya perlu bayar hari ini,tidak perlu hadiri kelas dan menduduki peperiksaan,nah ijazah sudah tersedia di depan mata.Murahnya harga ilmu pada mata mereka.


Kesimpulannya,ada segelintir di kalangan kita yang hanya mementingkan nama,gelaran atau status akademik sebagai sandaran untuk mereka dipandang tinggi oleh masyarakat sekeliling.Tiada rasa bersalahkah mereka pada yang bertungkus-lumus menggunakan jalan yang betul untuk meraih segulung ijazah itu?Mana perginya integriti dan harga diri yang segelintir ini.Aku sedih.Alhamdulillah dan tahniah buat wartawan-wartawan Berita Harian yang telah berjaya membongkar dan seterusnya membantu pihak berkuasa menumpaskan sindiket ini.Tahniah sekali lagi!

Sebagai penutup dalam penulisanku yang rawak kali ini,aku ingin menasihati rakan-rakan penggiat filem tempatan dan aku sendiri agar lebih berhati-hati dengan hasil kerja kita kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu ‘penciplakan ’ yang diketengahkan di dada dada akhabr.Ide-ide kita harus ada originalitinya.Tidak salah kita belajar daripada hasil kerja mereka yang lebih baik tetapi jangan meniru bulat-bulat hasil kerja mereka,tidak kira dari tempatan atau antarabangsa.Hormatilah hasil kerja mereka jika kita mahu hasil kerja kita dihormati.



Akhir kata,salam 10 hari terakhir Ramadan.Sama-sama kita tingkatkan amalan.Wassalam

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof


Jangan lupa untuk sama-sama gegarkan semua panggung satu Malaysia dengan menonton filem pertama adikku Syafiq,filem arahan pengarah termuda Malaysia "SAM" pada 19hb ini dan tayangan pembuka pada 16hb Ogos.Saksikan.
Website rasmi SAM : http://www.samthemovie.com.my/

Wednesday, August 1, 2012

RAMADAN-Mungkinkah yang terakhir?


Ramadan.Mendengar nama bulan suci ini sahaja sudah buat jiwaku bergetar.Bulan di mana pintu-pintu syurga dibuka,syaitan dibelenggu belaka dan pintu-pintu neraka tertutup rapat,serapat-rapatnya.Bagiku Ramadhan adalah bulan penyuci diri dari segala ‘kekotoran’ yang telah terpalit pada hati sepanjang tahun.Bukan bermakna bulan-bulan lain kita dibenarkan berbuat dosa,tidak sama sekali,tetapi bulan ini terlalu istimewa dan terlalu berharga untuk disia-siakan kerana segala amalan kita,dari sekecil-kecilnya dilipat gandakan olehNya .Bulan ini adalah bula ‘mega sale’ atau bulan ‘pesta’pahala bukan ‘mega sale’ di pusat-pusat membeli belah kotaraya saja.

Bulan ini seringkali disalah ertikan.Mengapa aku berkata begini?Kerana hampir semua kita pernah berada dalam zaman ‘kejahilan’ bila mana Ramadan hanya dilihat sebagai bulan untuk menahan lapar dahaga dan di penghujungnya kita akan menyambut hari gembira,hari Raya.Tersenyum aku mengingati zaman itu,zaman ‘mentah’ bila puasa hanya jadi ikutan tanpa penghayatan.Alhamdulillah aku bersyukur,kini aku memahami betapa barakahnya bulan ini dan tiada bulan lain yang di dalamnya ada hari yang jika dilakukan amalan akan dlipatgandakan setara dengan amalan seribu bulan.Lumayan?Ya.Jadi sama-sama kita ikhtiarkan!

Pada tahun lepas,pada pertengahan Ramadan menghampiri 10 hari terakhir aku berada di Tanah Suci Mekah bersama ahli keluargaku.Sungguh aku rindu suasana itu.Damai.Tenang walau dalam bahang suhu melebihi 40 darjah selsius.Bayangkan,jika bukan dalam Ramadanpun kota Mekah sudah ‘hidup’ sepanjang masa,bila Ramadan,Mekah jadi seperti taman tema ibadah.Meriah dengan manusia dari segala pelusuk benua,datang dengan niat yang sama untuk mengambdikan diri pada Pencipta.SubhanAllah.Setiap amalan yang dilakukan terasa nikmatnya.Bibir sering mahu berzikir dan tidak mahu bisu dari membaca ayat-ayatNya.Buat semua yang sedang berada di sana,atau akan ke sana pada Ramadan ini,sungguh aku mencemburui kalian!Doakan kami di sini!Semakin kuat panggilan untuk aku bersama sepupuku DrAnwar Fazal untuk mengerjakan haji sebelum usia mencecah 35 tahun!InsyaAllah!!Doakan!


Jadualku pada bulan ini tidak ada bezanya dengan bulan-bulan lain.Masih berkerja seperti biasa cuma perlukan selang masa yang lebih daripada bulan-bulan biasa untuk DIA. Alhamdulillah aku kini sedang berlakon di bawah arahan Abang Ahmad Idham untuk filem kerjasama SKOP Production dan EXCELLENT Pictures;GANGSTER CELOP yang turut dibintangi Kamal Adli dan Hanis Zalikha.Aku gembira berkerja dengan mereka dan banyak aku pelajari daripada mereka.Aku tidak mahu terlalu selesa di bangku pengarah kerana aku tahu untuk menjadi pengarah yang hebat,aku perlu jadi pelakon yang hebat.Dua tugasan yang saling berkait dalam pemantapan kerjayaku sebagai anak seni yang masih bertatih dalam industri.Doakan semuanya lancar.

Dalam pada itu,aku bersyukur dan berbangga,majlis pra-tonton filem pertama adikku Syafiq pada minggu lepas di Mid Valley mendapat maklum balas yang cukup memberangsangkan dari semua pihak Media.Nyata hasil kerja Syafiq dalam usia semudanya mampu membawa industri kita ke tahap yang lebih tinggi,insyaAllah ke persada antarabangsa suatu hari nanti.Aku yakin dia mampu.Kita semua mampu jika kita mahu.Jangan lupa untuk saksikan hasil tangan pengarah termuda Malaysia ini;SAM di serata pawagam seluruh Negara pada 19 Ogos ini.

Sebelum terlupa,buat semua yang menonton drama bersiri Ameera lakonanku bersama Rita Rudaini dan Zarina AF,aku ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kerana jumlah tontonannya pada episod akhir mencecah 2.7 juta.Terima kasih atas sokongan kalian!

Akhir kata,sama-samalah kita hargai Ramadan tahun ini.Siapa tahu ini Ramadan terakhir kita.Teringat aku pada pesanan seorang ustaz yang kudengar tempoh hari di corong radio;”Jangan kita terlalu mengejar dunia,takut terjatuh dan hilang nyawa sebelum sempat memberatkan neraca timbangan dengan pahala.”Renung-renungkan!Ramadan Mubarak!

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof