Sunday, January 13, 2013

MISI & VISI



Pandangan dari langit tinggi melalui bingkai kecil empat segi pesawat yang kunaiki ini membuatkan aku rasa cukup kecil dan kerdil.Di dalam ini sudah gelap,hampir semua sedang beradu atau dalam usaha ke arah itu,namun aku masih tak mampu.Hanya pada tempat dudukku satu-satunya pada masa ini diterangi dengan lampu membaca.

Aku dengan satu pena dan sehelai kertas memo,cuba menulis dari hati,mencari idea dan mengejar ‘tempo’.Dengkuran dari orang sebelahku pada awalnya sedikit mengganggu namun lama kelamaan aku ‘terbiasa’.Adaptasi situasi.

Sebelum aku pergi lebih jauh,aku ingin bercerita sedikit mengenai filem terbaruku “KL GANGSTER 2” yang aku percaya sering dijadikan isu bualan semasa.Dengan kos pembikinannya yang hampir mencecah RM 4 juta,tempoh pembikinannya yang lebih lama daripada biasa,ramai yang mempersoalkannya.Buat yang bertanya “Bila?”,nantikan saja pengumuman rasmi dariku bila sudah ada hitam putihnya.Buat masa ini,insyaAllah,jika tiada aral,filem “KL GANSTER 2” akan mula ditayangkan pada suku pertama 2013.

Kita terlalu banyak ‘bicara’ dengan kata-kata yang  tanpa kita sedar telah mengguris hati sesiapa yang mendengarnya.Kita berbicara tanpa asas,kadangkala hanya mahu ‘membunuh masa’ dengan ‘bual kosong’ yang entah ke mana hala tujunya.Mulut laju mengeluarkan kata tanpa sempat akal memproses fakta.Apa yang diterima tidak sempat ditapis dan dicerna,terus saja dihamburkan membabi buta.

Hari ini aku makin celik dari ‘buta’,makin nampak apa yang ‘tak ternampak’ sebelum ini ketika semuanya dikaburi benda dan agenda.Sekarang aku lebih gemar hanya mengeluarkan suara dengan hasilnya bukan mewar-warkan pada satu dunia tentang kehebatan sesuatu perkara sebelum dinilai bersama kerana aku hormati pandangan semua.Lantas aku dengan penuh rasa rendah diri meminta agar semua dapat bersabar dengan hasil karyaku.Apa yang kalian tunggu,insyaAllah berbaloi.


Hari ini aku ingin berkongsi tentang misi dan visi.Aku tidak mahu ‘cruise to nowhere’-berlayar dalam lautan kehidupan tanpa ada destinasi.Misi dan visi adalah tunggak dalam segala usaha yang kita lakukan hari ini,samaada mengarahkan kita ke destinasi kejayaan atau kegagalan.

Visi bukan mimpi.Ia adalah impian yang diimaginasikan melalui pemikiran kita yang ‘sedar’.Visi membuatkan kita lebih fokus dan terarah kerana kita sudah ‘nampak’ apa yang kita mahu pada masa hadapan.Visi mampu meningkatkan motivasi diri dalam meningkatkan usaha kita dalam mengejar cita-cita.Visi aku ada banyak,namun yang utama ada 5.

1)Memiliki kemudahan & keselesaan hidup 
2)Memiliki ketenangan dan kebahagiaan hidup 
3)Mendapat redha Papa Mama 
4)Mendapat redha dan keampunan Tuhan 
5)Syurga.

Cukup.

Misi pula adalah sebab kejadian kita di dunia.Ramai yang hidupnya sudah lama,termasuk aku juga,tetapi hidup seperti tiada arah tujuan,’aimless’ dan tiada pengertian,’meaningless’.Metaforanya adalah seperti bermain bola tanpa palang gol.Mahu disumbat ke mana bola yang dibawa?Tidakkah itu ‘bodoh’?Terlalu ramai yang di puncak kariernya mengalami sakit jiwa.Ayat lazim mereka “Apa betulkah apa yang aku cari selama ini?”Sungguh,itu perkara yang paling kutakuti dan aku berdoa agar dihindari kerana itu adalah pembunuh no.1 orang masa kini.

Misi hidup kita menentukan cara hidup kita dan cara hidup kita menentukan cara mati kita.Misi orang masa kini hanya ada 3 asasnya:

1)Hidup untuk penuhi kehendak fizikal dan biologi 
2)Hidup untuk menjadi kaya 
3)Hidup untuk mengejar kuasa dan nama.

Ya,aku tidak malu untuk mengaku aku juga pada awalnya punyai 3 misi ini tetapi bila aku semakin berusia aku mula sedar ada yang lebih besar dari itu semua.

Akhir kata,aku mahu pembaca artikelku kali ini berfikir dan sama-sama kita renungkan 3 soalan asas ini dalam menentukan misi dan visi kita.

1)Kita dari mana?                                                                                                                                                                                         

2)Apa tujuan kejadian kita?                                                                                                                                          

3)Ke mana hala tuju akhir kita?

Sudah jawab?

Selamat bertemu misi dan visi yang tepat!Semoga kita sama-sama berjaya!

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof

P/s: Penjualan sweater "MY HIJAB" dari kami BURN & SOUL ISLAMIC PARAPHERNALIA dibuka semula atas permintaan yang sangat menggalakkan.Urusan tempahan,pertanyaan dan pembelian boleh dibuat melalu page Facebook kami di: http://www.facebook.com/BurnSoulIslamicParaphernalia
"Membeli sambil menderma"