Monday, February 25, 2013

Deklarasi pada spekulasi.Maafkan aku..


Berpinar-pinar.Berputar-putar dunia sebentar.Aku cuba bangun setelah jatuh dari percubaan demi percubaan berjalan.Papa dan Mama berada dalam jarak 5 langkah di hadapan dengan senyuman berserta tangan yang didepakan seperti ingin menyambutku jika aku jatuh buat kali yang lebih dari ke-8.Aku bangun lagi kali ini tetapi dengan bantuan Papa dan Mama.


Papa memimpin tangan kananku dan Mama pula memimpin tangan kiriku.Selangkah.Dua langkah.Tiga langkah.Bila aku sudah berjaya mendapat sedikit kestabilan,pada langkah ke-4 dan seterusnya,tanpa kusedari,rupa-rupanya  aku sudah berjalan tanpa dipimpin Papa dan Mama. Aku mula berjalan,dari perlahan-lahan,semakin laju,laju dan laju.Kudengar jelas suara Papa dan Mama di belakang yang terus menerus  memberi semangat padaku.


Ketika kelajuan kakiku  hampir seperti mahu berlari,dek kerana terlalu ghairah,aku lupa untuk menoleh pada Papa dan Mama walaupun jelas aku mendengar laungan suara mereka “Hati-hati,Sul!”.Aku jatuh,tetapi jatuh kali ini lebih pedih dan sakit.Aku menangis kerana kesakitan.Papa dan Mama berlari ke arahku.Papa mendokongku dan menjulangku tinggi,berkali-kali.”Anak Papa dah pandai berjalan!Mama,Sul dah pandai berjalan!”Wajah keriangan Papa dan Mama saat itu tidak mampu kugambarkan.

*Hitam*

Ini deklarasi seorang anak yang sedar jatuh bangunnya hidup ini jika tanpa berkat,restu dan doa ibubapa takkan mampu ke mana-mana.Biar setinggi mana pencapaian yang dikecapi,jika 2 insan utama ini tidak merestui perjalanan kehidupan,pasti,ingat kataku ini,pasti ada kepincangan di sana sini.Jauh sekali dari kesempurnaan yang dingini dan diimpi.Kau bisa mendabik dada hari ini berkata “Aku tidak perlukan mereka!Aku sudah berada di ‘puncak’!”Percayalah,kata-kata itu nanti kau akan ‘telan’ seperi menelan kepalan nasi keras yang pasti akan tersekat pada kerongkong,sakit, sebelum kau ‘hadam’kan.

Semalam aku bersemuka dengan Papa setelah sekian lama aku berdiam diri dan menjauhkan diri daripadanya.Entah mengapa,bila aku berdepan dengannya kali ini rasa seperti sudah terlalu lama aku tidak tatapi wajahnya yang kulihat semakin dimamah usia dan kerja kerasnya sejak dari muda.Belumpun sempat aku mulakan bait pertama,air mata sudah mencurah-curah keluar dari kelenjar mata.Aku capai tangan kanan papa dan kucium berkali-kali sebelum kurangkul tubuhnya seerat-eratnya.Saat itu bila kehangatan tubuhnya kurasa,aku lemah,selemah-lemahnya.’Lumpuh’ seketika.

Habis berterabur bait-bait kata yang kususun seawalnya untuk kukatakan pada Papa.Aku jadi sebak tak terkata.Aku terangkan pada Papa apa yang terbuku di dada,apa yang ku’simpan’ sekian lama iaitu berkenaan tekanan kerja.Papa senyap seribu bahasa.Namun dalam senyapnya mendengar penjelasanku,aku sedar air matanya bertakung.Selesai aku menerangkan,Papa memberikan kata-kata semangatnya,sekaligus memberi jawapan pada setiap soalan yang kuajukan.Ah sudah cukup lama aku tidak rasa ‘rasa itu’.Rasa damai  dan rasa punya tempat perkongsian selepas Tuhan.


Perbezaan corak dan intensiti kerja aku dan Papa berbeza.Papa walau pada usianya yang hampir mencecah 60 tahun,kudratnya seakan remaja dengan kapasiti tenaga yang entah dari mana datangnya (dari Allah semestinya) mengalahkanku.Kami berdua ‘workaholic’ itu aku tidak nafikan,tetapi dalam pada itu aku masih punya renggang masa untuk diriku juga,tetapi Papa bila dia ‘mula’,intensiti kerjanya tak berganjak,memuncak dari awal hingga akhirnya.Aku pula perlukan sedikit masa untuk ‘memanaskan enjin kereta’ sebelum berderum dan memecut laju.Papa pula dari awalnya lagi sudah memulakan pecutan hingga sampai ke garisan penamat.Itu metaforanya.

Tak perlu aku hurai panjang mengenai perbedaan corak kerja,idealisme aku dan Papa.Yang pastinya,aku orang baru yang masih perlu banyak belajar dari orang lama,terutamanya dari Papa yang berjasa besar mendidikku dan membawaku sejauh ini,tempat aku berdiri hari ini.Terima kasih Papa.

Buat semua rakan media,di sini aku menyusun sepuluh jari,memohon maaf dari hujung rambut ke hujung kaki kerana ketika isu Papa dan aku sedang hangat,aku tidak berdaya menjawab panggilan dan tidak memberi komentar lanjut berkenaan isu ini.Sungguh,sejujur-jujurnya aku mohon maaf.Aku tidak bermaksud untuk mengenepikan kalian,jauh sekali jadi pengecut kerana aku lazimnya berdepan dan bersemuka bila ada isu-isu berbangkit tentang diri dan karierku seperti sebelum-sebelum ini.Cuma kali ini,isunya terlalu peribadi,isu darah dagingku sendiri yang aku tidak mahu tersalah kata kerana aku berpegang pada kata orang tua-tua “Terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata buruk padahnya”.Aku harap kalian memaafkan dan memahami.

Konklusiku,jika mahu jadi nombor satu,tahu bumi siapa yang kau pijak,tahu langit siapa yang kau dongak,tahu dari mana asalmu,tahu ke mana hala tujumu,tahu ibubapa dan keluarga sentiasa prioriti utamamu,tetapi tahu saja tidak cukup jika kau tidak jadikannya perilaku.

Buat semua yang membaca,ambil iktibar dari kisahku.Jangan menunggu masa yang lama untuk beritahu mereka,ibubapa kita yang kita sayangkan mereka dan perlukan mereka sampai bila-bila.


Buat Papa,maafkan aku.Sungguh,walau tidak pernah kukatakan depan-depan,kau idolaku nombor satu!

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof


Era Kebangkitan Karyawan Muda



Duduk sendiri di dalam panggung tanpa sebarang penonton dengan mata tertancap pada skrin putih kosong ini membawa jauh fikiranku menerawang.Jauh sehingga keluar dari galaksi bima sakti yang dihuni segenap makhluk ciptaan Ilahi.Khayalanku dahsyat hingga baru sebentar tadi penaku ini terlepas dari tangan yang mengemudi.Imaginasi dalam imaginasi.Dunia realiti tenggelam dalam lautan imaginasi;dunia filem.

Sekembali sahaja aku dari kota Bangkok dalam meyiapkan KL Gangster 2 beberapa hari yang lepas,filem pertama yang kutonton ialah sebuah filem tempatan;JUVANA.Filem ini adalah arahan saudara Faisal Ishak yang sudah semua maklum telah menempa nama seawalnya dalam penghasilan drama TV yang berkualiti.

Buat yang tidak tahu,JUVANA adalah sebuah filem yang dihasilkan dari siri TV yang pernah menjadi ‘fenomena’ dengan menggunakan tajuk yang sama tidak beberapa lama dulu.Drama bersiri JUVANA ini telah memenangi Anugerah drama rantaian TV terbaik Anugerah Skrin 2011.Drama bersiri ini telah meniti di bibir muda mudi terutamanya,kerana bagiku ia lebih dekat dengan jiwa remaja yang sering ingin memberontak dan sukar mengawal amarah.


Babak demi babak.Plot demi plot.Aku kagum dengan rasa yang diberikan,buat tidak senang duduk.Hati ingin tahu apa yang akan berlaku seterusnya.Watak-watak yang diketengahkan cukup hidup dengan ‘villain’ utama Lan Todak(Sharnaaz) dan watak-watak lama dari siri drama seperti Botak(Johan),Daim(Zahiril),Apek(Syazwan),Ayam(Adam),Kicap(Fazeril),Panjang(Idzham) dan Komeng(Khairul).Tidak lupa lakonan ketua Warden yang dilakonkan oleh abang Adlin,cukup berkesan.

Secara menyeluruh,filem JUVANA adalah sebuah filem Melayu yang cemerlang dan bagiku ia adalah sebuah hasil yang cukup berjaya.Ideanya segar.Garapannya kemas.Anak didik Abang Kabir Bhatia,sutradara Faisal Ishak adalah aset Negara dalam penghasilan produk-produk filem tempatan yang lebih berkualiti pada masa hadapan.Tahniah pada penerbit,sutradara,para pelakon dan semua kru yang menjayakan filem Juvana.Benar kata Papa dalam smsnya selepas menonton tayangan perdana filem ini tempoh hari  “Karya yang berjaya meletak tanda arasnya sendiri.”

Hari itu aku keluar dari panggung bila semua yang lain sudah keluar.Aku merenung lama pada skrin putih kosong itu.Biar kosong pada zahirnya,di kotak mindaku sudah berputar babak-babak yang kukhayalkan dalam filemku yang seterusnya.Hari itu aku jadi lebih bersemangat bila tahu ada rakan hebat dalam ‘padang’ perfileman tempatan.Persaingan sihat ini nyata telah memberi satu semangat baru & anjakan padaku untuk terus menghasilkan filem-filem yang lebih bermutu agar hasilnya dapat dihargai semua terutamanya sesama penggiat filem kita.


Akhir kata,filem JUVANA adalah bukti kebangkitan karyawan muda tempatan.Ayuh buat semua ‘orang-orang filem’,kita berjalan seiringan,buang segala persengketaan.Industri filem kita perlu terus membangun bukan hanya dari kuantiti tetapi yang lebih penting kualiti.InshaaAllah siapa tahu suatu hari nanti filem kita mampu tercalon atau memenangi anugerah berprestij antarabangsa seperti Oscar.Siapa tahu.Jangan pandang rendah.Optimis.Usaha,niat yang betul berserta doa,itu kuncinya.

Salam satu Malaysia!

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

Di mana Filem Islamik kita?


Selawat dan salam buat Nabi Junjungan kita Nabi Muhammad SAW sebagai pembuka kata.Hari ini aku menulis pada hari kelahiran Baginda,12 Rabiul Awal 1434H.Sudah 1400 tahun lebih Rasulullah pergi meninggalkan kita semua.Selama itu juga jika kita benar-benar rindu pada ‘kelembutan’ dalam ‘ketegasan’nya.Tiap langkahnya,tiap tutur katanya,tiap perkiraan dan keputusan yang dibuatnya,tiap caranya berdepan dengan masalah yang datang bertimpa-timpa dari semasa ke semasa hingga wafatnya Baginda,semua adalah pengajaran.Semuanya garis panduan pada kita umat akhir zaman tentang apa yang sepatut ktia  lakukan bila berdepan dengan situasi-situasi yang digambarkan.

Generasi millennium yang terlalu sibuk mengejar kepesatan dunia dan menjadikan ikon-ikon TV/penyiaran sebagai idola mereka telah merendahkan semangat kecintaan & memudarkan ingatan pada Rasulullah.Aku tahu,1 menuding jari,lagi 4 mengarah kearah diri sendiri.Ini nasihat/kenyataan buat diriku sendiri dan semua.Kita tahu macam-macam perkara mengnai artis-artis kegemaran kita tetapi bila ditanya pasal sirah Nabi,terngaga.Itu yang aku kena.Lantas kerana itu,aku beritahu,tolong ambil tahu siapa Nabi Muhammad,apa hebatnya dia dan bagaimana nanti Baginda mampu menolong kita dengan member ‘syafaat’ di sana nanti.

Buat mereka yang berkata bidang penyiaran/perfileman bukan medium yang efektif dalam menyampaikan mesej keAgamaan/dakwah,aku sangkal bulat-bulat dakwaan mereka.Sebenarnya,jika betul caranya,bidang penyiaran/perfileman mampu menjadi antara medium paling efektif dalam menyampaikan mesej keAgamaan pada masa kini kerana generasi millennium lebih tertarik dan ‘mudah masuk’ dengan medium ini.
Kita kagum dengan kecanggihan teknologi filem Barat.Masakan tidak kagum,bila filem-filem mereka tampil dengan kesan efek grafik yang tak terjangkau dek pemikiran kita,gah dan luar biasa.Terbuai dengan sajian elemen-elemen itu,tanpa sedar kita diracunkan dengan ‘gula-gula’ pergaulan tanpa batas,seks bebas,pembunuhan kejam dan pemujaan harta.Efek globalisasi.Propaganda tersembunyi bagi mempengaruhi semua,terutamanya kita,umat Islam sedunia.


Aku tidak pasti sama ada kalian sedar atau tidak,‘cara halus’ penggiat filem barat yang sering mengenengahkan Islam ke mata dunia dengan setiap kali sahaja ada keganasan,lazimnya Islamlah puncanya.Umat Islamlah pengganasnya.Umat Islamlah punca huru hara.Habis ditarah imej umat Islam dengan perkara-perkara buruk seakan-akan itulah cara Islam yang sebenar,menyuruh penganutnya agar melakukan kekejaman dan kezaliman untuk mencapai kemenangan walhal kita semua tahu Islam adalah agama yang penuh kelembutan dan kasih sayang.Lihat ‘permainan’ mereka.

Aku pasti ramai di luar sana yang ingin mempersoalkan bagaimana pula dengan aku,anak seni tanah air melihat senario ini dan dalam masa yang sama telah menghasilkan filem gangster,bohsia dan yang sewaktu dengannya.Jika dilihat,aku akui terlalu banyak pincangnya filem-filemku sebelum ini dalam beberapa konteks,namun dalam setiap filem yang telah kuhasilkan,aku telah cuba untuk menyuntik nilai kesedaran melalu Agama dan kesedaran mengenai wujudnya kuasa Agung yang mengatur tiap perjalanan kehidupan kita.Aku akan terus baiki filem-filemku yang akan datang agar elemen-elemen keAgamaa lebih diketengahkan.InshaaAllah.

Antara semua filem yang pernah aku hasilkan,filem Khurafat adalah filem pertama yang kucuba terapkan nilai Agama dengan lebih mendalam.Disusuli dengan lagu runutnya “Ya Robbi”,aku telah cuba dengan sebaik-baiknya untuk menghasilkan cerita bercorak keAgamaan ini dan Alhamdulillah,hasilnya di luar jangkauan bila Khurafat telah berjaya mendapat kutipan tertinggi dalam genrenya di Malaysia.Buat pengetahuan semua,selepas KL GANGSTER 2,filemku yang seterusnya adalah pada genre keAgamaan.Cerita sudah dirangka kemas,inshaaAllah akan di’jaga’ apa yang tidak terjaga seperti filem-filemku yang lepas.InshaaAllah.


Habis ditonton semua filem pada genre Agama yang diterbitkan di Indonesia.Maaf aku katakana,kita masih terkebelakang dibandingkan dengan Indonesia dalam penghasilan filem bercorak keAgamaan ini.Sebagai contohnya,filem ‘Kiamat sudah dekat’ bagiku adalah sebuah filem yang baik dan berjaya mengisahkan pertembungan budaya Barat dan Timur dengan agak kemas.Buat semua penggiat seni filem Malaysia,masih belum terlembat untuk ‘meneroka’ genre ini,dan tidak salah aku nyatakan,sudah tiba masanya untuk kita runtuhkan dinding dominasi Barat yang sentiasa bersikap prejudis pada Islam.

Akhir kata dariku pengarah kerdil yang masih bertatih dalam industri ini,ayuh kita sama-sama mengoptimumkan medium penyiaran dan filem dalam menyebarkan Islam,kebaikan,nasihat dan berita kebenaran.Kita tangkis serangan filem Barat yang mempelopori dan tidak henti-henti menyajikan unsur negatif dan budaya hedonisme dalam filem-filem mereka dengan menghasilkan filem-filem bercorak keAgamaan yang berkualiti tinggi.Ayuh!
Kita mampu jika kita mahu.



Salam MaulidurRasul.

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof