Sunday, June 19, 2011

"Bukan PASTI,tetapi INSYAALLAH" KUTIPAN TERKINI MENCECAH RM 11 JUTA.Syukur..


Hari ini,saat ini,aku sujud syukur pada Ilahi.Aku berdiri dengan penuh rasa rendah diri.KL GANGSTER telah berjaya melakar sejarah kutipan tertinggi filem Malaysia mahupun antarabangsa yang pernah ditayangkan di serata pawagam seluruh negara,tidak ketinggalan juga di Brunei dan di Singapura.

Ini bukti jelas rakyat kita sebenarnya dahagakan karya anak-anak Malaysia dan mampu memberi 100% sokongan pada industri perfileman tempatan.Kejayaan ini bukan kejayaanku dan warga kerja SKOP Production semata.Ini adalah kejayaan buat semua penggiat seni filem tanah air dan dalam masa yang sama kejayaan buat semua rakyat Malaysia.TAHNIAH buat kalian semua!

Saat ini,perasaan gembiraku bercampur baur dengan hiba.Masih terasa kehangatan tanah yang ku genggam di pusara Arwah Tok Wan hampir 8 bulan yang lepas,usai talkin yang menggetarkan jiwa raga.

“Tiada apa yang mustahil jika kau bersungguh-sungguh berkerja,ikhlas dengan niat yang baik.Yang lain kau serahkan pada DIA.DIA tahu kerja DIA.DIA Maha Adil.Orang nak cakap buruk tentang kita,biarkan.Orang mahu perlekehkan usaha dan hasil kerja kita,biarkan.Jangan melatah dan mudah naik darah.Fikir sebelum kau bercakap dan bertindak.Terlajak perahu boleh diundur.Terlajak kata?Berganding bahulah dengan Papa dan keluarga.Merekalah orang-orang yang tidak akan pernah jemu memberi sokongan dan akan terus membantu sampai bila-bila,walaupun sampai Tok Wan tiada.. ” 

Itulah amanat  Tok Wan dalam  bual  terakhir sebelum dia dijemput ‘pulang’ meninggalkan aku yang masih terus berjalan dalam perjalanan kehidupan yang entah bila akan tamat.

Maafkan aku jika entriku kali ini lebih ‘melodramatik’ bila sepatutnya lebih ‘entusiastik’ dengan kejayaan luar biasa KL GANGSTER.Bukan apa,hakikatnya,jika kita selami jiwa kita,semangat yang kita bawa saban hari dalam meneruskan kehidupan hakikatnya datang dari asimilasi emosi yang seterusnya menghasilkan semangat membara yang mampu mendorong kita untuk lebih giat berusaha.InsyaAllah,kejayaan itu akan datang pada kita sebagai hadiah daripada DIA untuk hamba-hambaNya yang terus berusaha.

Jika aku mampu berjaya,kamu juga mampu berjaya kerana aku tidak punya formulasi rahsia.
Ini formulasiku:

1)Usaha berterusan tanpa kenal jemu 2)Belajar dan jangan malu bertanya dengan ‘orang lama’ 3)Sentiasa terbuka dalam mendengar buah fikiran orang,tidak kira siapa. 4)Hormati dan jangan sesekali mengecilkan hasil kerja sesiapa. 5)Jangan takabbur jika sudah berjaya kerana bak kata DIA;”Orang yang takabbur akan lebur” 6)Restu ayah,bonda dan keluarga jadi prioriti utama.                                                        

Jangan pernah putus untuk berdoa pada DIA kerana segalanya mustahil hanya dengan kuasaNYA.

Ya,hanya formulasi biasa bagi orang biasa sepertiku,namun yakinlah,yang biasa itu bisa jadi luar biasa jika kita PERCAYA.

Bukan PASTI,tetapi INSYAALLAH!

TERIMA KASIH YANG TAK TERHINGGA BUAT SEMUA YANG SUDAH MENONTON “KL GANGSTER” DAN YANG MASIH BELUM MENONTON,JANGAN LEPASKAN PELUANG UNTUK KITA SAMA-SAMA MELAKAR SEJARAH MEMARTABATKAN FILEM MALAYSIA DI PERSADA DUNIA!

Pengarah kerdil,
SYAMSUL YUSOF

P/s:InsyaAllah,hari ini,nantikan 'sneak peak' untuk single terbaruku;Burn & Soul "Hingga Hujung Dunia" di youTube-hadiah untuk semua :)

P/s 2:InsyaAllah,KL GANGSTER-Pre-kual akan menyusul.Doakan.Juga hadiah untuk semua :)

Monday, June 13, 2011

Sesuatu yang BIASA boleh jadi LUAR BIASA jika kena pada caranya..


Entriku pada slot akhbar minggu lalu.Buat yang masih belum membacanya,bacalah.

Hari ini aku mahu bercerita.Cerita tentang KL GANGSTER.

___________________________________________________


*Sinopsis KL GANGSTER*
___________________________________________________

Ya itulah ceritaku.KL GANGSTER.

Mungkin ada segelintir yang bila saja tamat membaca ceritaku ini akan terus melabel cerita ini cerita tipikal;“Stereotype” atau paling tidakpun medioker;”Mediocre”,dan mungkin juga ada yang mencebik seraya berkata dalam hati “Cerita biasa dengan ide biasa yang berulang-ulang diguna pakai dalam pembikinan filem serata dunia untuk memaparkan isu gangsterisme.Huh,tiada yang istimewa”

Itu monologku sendiri dalam cuba mentafsir rentak fikiran sejagat bila saja kuceritakan sinopsis filem arahanku yang ke-5 ini.

Aku mahu semua cuba berfikiran terbuka.Sesuatu yang tipikal dan bersifat repetatif tidak semestinya tidak berkualiti dan tidak mampu menambat hati.Cara persembahan dan visualisasi yang kreatif mampu saja menghasilkan satu impak baru yang positif malah mungkin lebih ekstravaganza dari sebelumnya.

Aku suka menggunakan metafora ini; “’Jeans’ masih terus diguna pakai oleh semua tidak kira usia,walaupun ‘jeans’ pertama yang dihasilkan sudah beratus tahun lamanya.Kenapa ‘jeans’ masih terus diminati? Pada pendapatku kerana ‘jeans’ terus divariasikan pada gaya potongan dan coraknya mengikut peredaran masa walaupun materialnya masih sama”  Sama-sama kita fikirkan.


Akhir kata,KL GANGSTER;sebuah eksperimentasi realiti kehidupan yang cubaku visualisasikan pada skrin wayang buat tontonan masyarakat tempatan.Jangan mudah menghukum seseorang bila yang selayaknya menghukum yakni Tuhan tidak pernah putus memberi peluang untuk sebuah perubahan.

Terima kasih atas sokongan anda semua.Terkejut juga bila trailer KL GANGSTER di YouTube hampir mencecah totoal kumulatif 650,000 penonton dalam masa hanya 1 bulan.TERIMA KASIH dan JANGAN LUPA UNTUK KE MENONTON DI PANGGUNG SERATA MALAYSIA, BRUNEI dan SINGAPURA pada 9 JUN INI!

“Sesuatu yang biasa boleh jadi luar biasa jika kena pada caranya.”

Al-Fatihah buat Allahyarham Aimi Jar, Allahyarhamah Seniwati Mahyon Ismail, Allahyarhamah Puan Orkid Abdullah & semua arwah pelajar tahfiz mangsa tragedi tanah runtuh Hulu Langat.

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof

P/s : Alhamdulillah,hari ini sudah masuk hari ke-5 dan kutipan terkini mencecah RM6.5 Juta.TERIMA KASIH SEMUA!Nantikan entriku yang terbaru pada hari Ahad ini dengan tajuk "Bukan PASTI,tetapi INSYAALLAH"