Tuesday, November 29, 2011

BENCANA TERENCANA

 
Siang berganti malam dan malam berganti siang dalam silih yang tidak kusedari sejak lebih seminggu aku berada di kota Bangkok ini.Seingatku,aku pernah menceritakan rutin harianku ketika berada di sini pada entriku yang terdahulu-cukup padat.Dari pagi ke pagi.Kerja-kerja-kerja,hanya mampu mencuri sedikit masa antara senggang untuk solat dan menjamah makanan pembekal tenaga.Aku hampir lupa pada awalnya mengenai artikel yang telah diamanahkan ini.Alhamdulillah,Papa dan Mama mengingatkanku dengan pesanan ringkas melalu sms yang kuterima semalam.

Banjir di Thailand kali ini adalah banjir yang luar biasa;yang terburuk dalam 50 tahun-bencana alam yang menggegarkan dunia.Mengikut kata juru audioku di sini,sehingga hari ini,mangsa banjir hampir mencecah 400 orang.Rakyat Thailand semua tampak cemas.Raut runsing pada wajah mereka terlalu jelas untuk disorok setiap kali bila ku sapa bertanya khabar dan kondisi keluarga.Kota Bangkok suram dalam mendung yang berselang dengan hujan yang tidak sudah.Sedikit sebanyak ini mempengaruhi emosi dan fokusku di sini kali ini.

Ketika dalam perjalanan ke studio,aku dapat lihat deretan kedai yang selama ini menceriakn pemandangan perjalananku sudah ditutup dan beberapa kawasan penempatan utama rakyat Bangkok lengang kerana  kawasan-kawasan ini dijangka dilanda banjir  dalam masa beberapa hari lagi.Mereka dikerah untuk berpindah dan membawa harta benda mereka ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat.

Banjir ini benar-benar menyentakku sebenarnya.Bencana alam ini mengingatkanku pada azabNya.Berapa banyak tamadun manusia dimusnahkan olehNya melalui bencana alam.Kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir,kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan 7 hari 7 malam.

Tidak perlu berbicara mengenai ekosistem dunia,kesan rumah hijau dan sebagainya sebagai asbab terjadinya semua ini kerana hakikatnya sejarah telah membuktikan dan kita tahu semua ini berpunca dari ‘sesuatu’.Aku pasti bila sahaja nama Thailand disebut masing-masing antara kita ada gambaran yang hampir serupa – “kebebasan”.

Menyedari bencana alam sebagai hak milik mutlakNya yang tidak diduga,aku menyeru pada semua dan juga diriku sendiri agar kita sama-sama buka mata dan buka ‘hati’.Jangan sampai murkaNya sampai ke Negara kita.Aku enggan mengulas dengan lebih mendalam kerana aku tahu kamu yang membaca artikelku ini tahu apa yang cuba aku maksudkan.Sama-sama kita ambil masa untuk berfikir dan berkontemplasi..

Buat pengetahuan semua,aku diarahkan untuk pulang ke Malaysia selewat-lewatnya pada 28hb ini walaupun sepatutnya mengikut jadual asal aku hanya akan pulang seawal 30hb.Aku terpaksa pulang dahulu untuk beberapa hari sehingga keadaan banjir di kota ini terkawal dan insyaAllah aku akan kembali ke sini bagi menyiapkan tugasan yang masih bersisa.Doakan agar semuanya lancar di sini sebelum aku kembali ke tanah Malaysia.
 
Sebelum terlupa,buat semua rakyat India Malaysia yang beragama Hindu,selamat menyambut Deepavali.

Salam dari perantauan,
 
Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof

1 comment:

Anonymous said...

amin.. semoga perjalanan anda dilindungi oleh NYA.. bagus entri ni..buat la filem pasal bencana Allah..mungkin dengan tu dapat membawa rakyat kite ke jalan NYA. :)