Monday, December 26, 2011

Budaya Memfitnah Dunia Maya


Dalam kepesatan dunia internet tanpa sempadan kini,aku sedari  manusia turut serta secara pro-aktif dalam proses evolusi ini.Yang menyedihkanku ialah apabila evolusi yang seharusnya memberi anjakan ke hadapan ini hakikatnya tanpa disedari membawa satu aspek ke belakang.Apa yang cubaku gambarkan di sini ialah kebejatan moral dan sahsiah generasi millenia.

Seperti yang kita ketahui,dunia internet adalah dunia bebas,di mana semua orang boleh memberi informasi,tidak kira dalam apa jua bentuk sekalipun.Walaupun kebenarannya masih belum pasti tanpa bukti-bukti mengiringi,kita pantas dan mudah  rasa teruja bila metod presentasi,cara penyampaian informasi nya menarik.

Fakta atau palsu sudah jadi perkara kedua.Yang pertama perlu isu sensasi,bertambah galak jika dikepilkan bersama gambar-gambar yang hanya Tuhan sahaja yang tahu kesahihannya.Dalam dunia kecanggihan IT,gambar bisa saja jadi ‘mainan’segelintir yang arif.Gambar di’edit’,di’super-imposed’.Hasilnya disebarkan di dunia maya buat tatapan semua.Pastinya,ramai yang percaya tanpa usul periksa dan meneruskan ‘usaha berantai’ dengan menyebarkan kepada komuniti mayanya pula.Begitulah kitarannya.

Bahasa tidak ketinggalan menjadi taruhan.Bahasa sudah jadi bahan mainan dan tidak dihargai bila kata-kata kesat digunakan secara berleluasa.Berhati-hatilah dalam pemilihan kata.Jika ada perselisihan faham ,bersemukalah dan jika mahu digunakan medium internet sebagai perantara,hantarlah e-mail secara peribadi tanpa perlu dicanang seantero dunia maya.Mengaibkan orang,dalam masa yang sama tanpa disedari mengaibkan diri sendiri.”Berkata-katalah dengan perkara yang baik atau diam.”-Itu yang diajar oleh Agama kita.

Aku sedih melihat kita berbalah,memfitnah dalam dunia maya.Kita hidup tidak lama,kawan-kawanku.Mengapa perlu ditambah ‘bekalan yang tidak sepatutnya’ untuk dibawa ke ‘sana’.Setiap tutur kata dan perbuatan kita akan dinilai dan dikira.Aku yakin,100% yakin tiada seorang pun antara kita mahu neraca itu nanti memberatkan dosa lebih daripada pahala dan buku prestasi dunia kita diberikan pada tangan kiri kita kerana itu tandanya destinasi kita sudah pasti bukan syurga.

Akhir kata,aku tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini.Apa yang kutulis di sini adalah nasihat peribadi untuk diriku sendiri juga.Aku hanya ingin berkongsi rasa dan pendapatku dengan semua.Dunia ini akan lebih indah jika kita sama-sama memberi yang terbaik kerana kita adalah ciptaanNya yang terbaik.

Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca artikelku kali ini.Aku cuba memberi yang terbaik dalam kemampuanku setelah dua hari berjaga tanpa sempat mencuri lena.Maafkan aku jika ada kepincangannya di ‘sini-sana’.Yang baik semuanya dari DIA dan segala kekurangan itu datangnya daripadaku yang serba tidak sempurna.

Sebelum terlupa,sekalung Tahniah buat Abang Osman Ali dan para pelakonnya atas kejayaan filem Ombak Rindu.Kalian memang selayaknya meraih kejayaan ini.Satu inspirasi buat semua penggiat seni yang menyatakan ‘filem cinta’ tidak mampu memberi impak pada rakyat Malaysia.Lihat hasilnya.Terlakar satu lagi sejarah dalam arena perfileman Negara.

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof

Hormat dan belajarlah dari 'Orang Lama'


Masa berlalu begitu pantas.Jadual penggambaran cukup padat.Selang masa antara kerja dan rehat seperti hanya sesaat.Jasad dan fikiran penat tetapi masih ampuh dek kerana semangat.Semangat KL GANGSTER 2 terus ‘menyengat’.

Maafkan aku jika kali ini aku tidak mampu menulis panjang.Aku menulis di dalam kereta ,dalam ruang masa terhad untuk berehat sebelum ke babak seterusnya,ditemani dengan lagu-lagu dari radio sebagai halwa telinga.

Dalam industri,bermula dengan merangkak,aku bertatih,berjalan setapak demi setapak,seawalnya dengan bantuan,kemudiannya dengan sendiri dan lama kelamaan Alhamdulillah mampu berjalan laju dan seterusnya berlari.Namun tidak pernah walau sesaat aku lupa dari mana aku bermula dan siapa yang telah membantuku dalam jatuh bangunku sepanjang liku perjalanan yang kulalui.

Aku belajar daripada orang lama atau lebih gemar untuk kubahasakan dengan ‘sifu’ atau ‘guru’ dalam industri.Walaupun tampaknya seperti aku tidak pernah ‘berguru’ atau ‘menuntut’ daripada mereka secara terang-terangan selain daripada Papaku,hakikaktnya aku belajar daripada mereka.Setiap karya mereka aku hargai dan setiap perincian hasil ‘buah tangan’ mereka aku amati dalam diam.

Sebagai contoh Abang Rosyam Nor.Belum pernah aku digandingkan dan berkerja bersamanya sebelum ini.Dia adalah antara pelakon lelaki Malaya yang kukagumi sejak remaja lagi.Kini aku diberi kesempatan untuk berkerja bersamanya dalam KLG2.Jujur,sebelum bermulanya penggambaran, ada sedikit rasa segan atas dasar hormat,tetapi bila sahaja aku mula berkerja dengannya,baru aku sedar,inilah dia profesionalisme sebenar.Tunjuk ajar yang diberi,buah fikiran yang dikongsi sering memberi inspirasi.Tiada ruang yang menjarakkan kami.Kehadirannya sering memberi aura positif.Tutur katanya sering ber’isi’.Banyak yang kupelajari daripanya dalam dia sedar atau tidak.

Buat anak-anak muda di luar sana,jangan angkuh dan enggan belajar daripada orang lama.Mereka guru kita.Ramai yang mendabik dada bila diri sudah berijazah dan berkelulusan tinggi.Ada yang berkata “Apa yang mereka ada?Apa yang mereka tahu?”.Pengalaman mereka itu tidak mampu dibandingkan dengan ijazah yang diperolehi.Pengalaman mereka terlalu berharga.Pengalaman itulah yang mendewasakan kita dan memberi garis panduan atas apa yang sepatutnya dan tidak sepatutnya dilakukan dalam menjadi ‘orang’.Ini semua bukan teori semata,ini ilmu sebenar yang mampu menyelamatkan kita dalam membuat keputusan di sepanjang jalan kehidupan.

Apa yang aku mampu katakan,kita hidup hanya sekali.Jangan sia-siakan dengan kesombongan dan rasa angkuh.Belajar daripada orang lama.Mereka lebih tahu.Sapalah mereka.Aku percaya,mereka akan membantu dengan hati terbuka.

Sebagai penutup,KLG2; penangannya lebih ‘berbisa’ daripada yang pertama.Setiap plot cerita ada suntikan drama yang mampu menyentuh hati,di samping variasi aksi yang dikemaskini.

Doakan kami krew produksi biar dimudahkan dan dilancarkan segala urusan kami sepanjang temph penggambaran KL GANGSTER 2 ini.Doa kalian amat dihargai!

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof