Sunday, April 15, 2012

ABPBH 2012 dan ceritaku

Hening pagi di Genting ini cukup damai.Awalnya,rintik hujan renyai yang menghempas tingkap bilikku sedikit mengganggu,namun tidak lama sehingga matahari mula menzahirkan diri,memberi cahaya dan nafas baru buat aku dan semua yang masih bernyawa untuk mulakan hari baru.

Alhamdulillah,Anugerah Bintang Popular Berita Harian(ABPBH) 2012 telah tamat dengan jayanya.Majlis berprestij buat semua insan seni tanah air ini tidak pernah mengecewakan dan sering mengungguli dalam perbandingan dengan mana-mana majlis seumpama yang lain.Faktor ‘senioriti’nya yang buat tahun ini sudah yang ke-25(Jubli Perak)nyata telah menjadi faktor utama keunggulannya.Terima kasih dan tahniah pada Berita Harian yang telah berjaya menjadikan ABPBH sebagai medium prima apresiasi peminat kepada anak-anak seni semenjak 25 tahun ini.

ABPBH tahun ini meriah,penuh ekstravaganza.Seperti sediakala semua artis kulihat cukup  bergaya dengan ‘style’ mereka tersendiri,ceria dan gembira.Aku turut gembira bila melihat senario sebegini kerana aku tahu yang hadir semua  inilah yang akan bersama-samaku dalam memartabatkan industri penyiaran,lagu dan perfileman.

Dalam keriangan malam ABPBH,aku melihat ‘orang-orang lama’yang turut hadir,membuat aku rasa terharu dan membayangkan diri aku (jika aku masih diberi pinjaman nyawa dan waktu) 10-20 tahun akan datang,adakah aku akan terus berdiri teguh memberi sokongan yang padu pada industri dan generasi baru? Aku bertekad untuk terus bersama dalam jatuh bangunnya industri ini.InsyaAllah.InsyaAllah.

Tahun ini,Alhamdulillah,aku dicalonkan dalam kategori pelakon filem lelaki popular bersama pelakon-pelakon ‘otai’ lain ; Aaron Aziz,Adi Putra,Bront Palarae dan Shaheizy Sam.Seawalnya lagi aku sudah tahu aku bukan tandingan mereka.Mereka adalah antara pelakon-pelakon lelaki Malaya yang aku kagumi.Oleh kerana itu rata-rata yang tercalon ini semua adalah pelakon-pelakon pilihanku dalam filem-filem arahanku.Mereka adalah yang terbaik antara yang terbaik.

Tahun ini juga,buat julung-julung kalinya 3 generasi keluargaku diberi amanah untuk menjadi pengumum dan penyampai trofi bersama.Papa,aku dan adikku;Syafiq,kami bertiga berada pada podium yang sama.Ada rasa janggal pada awalnya namun bila kami mula berinteraksi,Alhamdulillah hilang rasa janggal itu,malah terbit satu semangat baru untuk menjadi inspirasi pada semua.Kami adalah representasi 3 generasi yang akan terus menyokong dan memartabatkan industri sampai bila-bila.InsyaAllah.

Sepanjang ABPBH,ada beberapa ‘moment’ yang aku rasa aku perlu kongsikan dengan semua apa yangku rasa.Antaranya kemenangan Fizz Fairuz.Aku hampir saja bergenang air mata bila mendengar ucapannya yang aku tahu dan dapatku rasakan keikhlasan dan kejujurannya.Fizz Fairuz adalah antara nama-nama yang aku kagumi lakonannya sejak drama Nur Kasih lagi.Buat Fizz Fairuz,tahniah dan percayalah kemenangan ini adalah selayaknya untuk kamu.

Seperti yang semua ketahui,Aaron Aziz telah berjaya menjadi Bintang Paling Popular 2012.Tiada sangkalan daripadaku untuk Aaron menjadi Bintang paling popular tahun ini kerana aku cukup mengenali dia.Aaron adalah satu ‘fenomena’ sejak tahun lepas lagi.Tidak kira siapapun,malah yang menuntut ilmu ‘penaakulan mantik’ juga tidak dapat menidakkan kemenangannya ini.Lantas jika ada yang tidak berpuas hati,maaf aku nyatakan di sini,kalian perlu lebih bersifat terbuka kerana ini adalah pilihan  rakyat Malaysia.

Akhir kata,aku petik kata-kata daripada Dr.Anwar Fazal di twitternya buat renungan bersama  
“Usah dengki kawan-kawanku.Kita peroleh rezeki dari Pemberi Rezeki yang sama.Masa,tempat & bentuknya mungkin berbeza,namun hakikatnya semuanya dari DIA”

Salam satu Malaysia!
Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

P/s:Aku lebih gemar mengemaskini twitterku kebelakangan ini.Kalau mahu tahu perkembangan terbaru,ikut aku di twitter.
Twitterku : @burnsoul4u
Twitter Dr.Anwar : @DrAnwarFazal
Twitter Syafiq : @syafiqyusof
Twitter SKOP : @Skop_Prodns

Sunday, April 1, 2012

Semoga bertemu "PEMEGANG KUNCI PENDUA HATI"

Baru sehari aku tiba dari bumi Australia.6 hari yang kucuri  dari 366 hari tahun ini untuk ku cuba lari dari kesibukan kerja yang tak henti-henti.6 hari itu aku gunakannya degan sebaik yang kumampu kerana aku tidak tahu bila lagi aku punya kelapangan waktu seperti itu.6 hari untuk merehatkan minda dan hati,cuba bergembira dengan pelbagai aktiviti dari menonton filem-filem yang masih belum ditayangkan di Negara kita/ Asia sehinggalah mengekspolarasi semua taman tema mega kota Kangaroo itu.

Namun bila saja kakiku menginjak bumi Malaysia semalam,aku terus merasakan seolah-olah aku baru kembali dari dunia imaginasi yang penuh warna warni dan kini aku di bumi nyata,bumi reality bila aku perlu berkerja keras,meningkatkan daya usaha dan meneruskan hidup yang bersisa untuk menjadi yang terbaik untuk semua.

Hari ini aku menghadiri majlis pernikahan saudara rapatku/sepupuku/orang kananku Rizal Ashreff.Entah mengapa tiba-tiba terbit rasa kekosongan dalam jiwa.Terpanggil hati untuk mencari empunya pada kunci penduanya.

Buat pengetahuan semua,dalam keluargaku aku bersama 3 lagi sepupuku;Dr.Anwar Fazal,Rizal Ashreff dan Nazri adalah pada lingkungan generasi yang berusia sebaya dan sejak dari kecil kami membesar bersama-sama,berkongsi cerita ‘lelaki’ kami bersama-sama sehinggalah soal siapa yang akan kahwin pertama dan terlewat.

Aku sering mahu menjadi yang pertama di antara kami ber-4,tetapi Nazri yang sering tidak berkata apa-apa bila ditanya soal ini telah menjadi yang pertama untuk bergelar ‘walid’ dan seterusnya disusuli dengan Rizal.Yang tinggal kini hanya aku dan Dr.Anwar Fazal yang tiap kali bila ditanya “Bila lagi?”akan dengan pantas menjawab “Bila sampai serunya” serta memberi alasan kesibukan dan masih ada tanggungjawab yang lebih besar yang perlu dipikul sebelum membina masjid utuh yang mampu bertahan sepanjang zaman kehidupan.

Ada satu saat ketika majlis perkahwinan Rizal tadi bila Papa Mama yang tampak cukup gembira tiba-tiba bila mereka merenungku,mereka memberikan satu pandangan sayu dan cukup menusuk kalbu-Tanpa perlu bicara mereka sebenarnya sudah ‘berkata-kata’.Mereka mahu aku menamatkan zaman bujangku dengan segera.

Tidak mampu?Jangan beri alasan palsu kerana jika kita mahu,kita mahu!Kita akan usahakan sedaya mampu.Bagiku,perkahwinan adalah satu fasa kehidupan yang menakjubkan bila kita tahu hidup ini perlu diladeni dengan pendamping setia,bidadari dunia dan insyaAllah syurga iaitu isteri/bakal isteri kita.Namun persoalan bagiku – “BILA?”

Bila DIA kata “sudah tiba masanya”.


Di sini aku juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah pada idolaku/mentorku/Papaku kerana telah berjaya menjadi orang awam pertama dianugerahkan Pangkat Kehormat Penolong Pesuruh Jaya Polis Negara (ACP) pada Hari Peringatan Polis ke-205 yang lepas.


Buat Scha Al Yahya dan Awal Ashaari – Semoga berbahagia dan dimudahkan segala urusan menjelang 'hari bunga api kehidupan’.

Buat semua,doakanku dan Dr.Anwar Fazal untuk bertemu dengan pemegang kunci pendua hati kami yang setia dan moga Allah mudahkan segalanya.

Salam sayang!Salam satu Malaysia!

Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof

SOKONGAN PEMINAT TUNJANG SEMANGAT


Cuaca KL sejak kebelakangan ini sering penuh tanda tanya & misteri.Mendung yang lazimnya dituruti hujan bisa saja menjadi cerah semula.Bila hujan pula,rintiknya ada tikanya menggila seperti tidak akan berhenti buat selama-lamanya dan bila ia berhenti,ia mengungkai segala persoalan fikiran cetek manusia dan buat yang berfikir,pasti akan akur bahawa ada kuasa agung yang menjadikan ini semua.Ah,bahasa sering membuaiku bila aku menulis dalam kereta,menunggu untuk roda berputar 360 darjah semula tanpa tersekat-sekat dek kesesekan lalu lintas kota raya.


Aku lelah,tercungap-cungap juga dibuatnya bila masa sering berlumba denganku.Dua malam lepas aku bermimpi dalam lena 20 minitku pada kerusi pejabat ketika berkerja tanpa henti sepanjang 30 jam;aku menjadi seorang pelumba lari yang mewakili Negara dalam acara balapan antarabangsa.Riuh stadium dipenuhi dengan para penyokong yang tak henti-henti bersorak melaungkan kata-kata semangat.Aku sempat melambaikan tangan  dan semakin kuat sorakan mereka.Di hujung,pada garisan penamat aku dapat lihat wajah-wajah orang yang kucinta.

Bila saja dilepaskan sedas tembakan ke udara,aku mula berlari.Berlari dan berlari,terus berlari,tetapi mengapa tidak sampai-sampai di garisan penamat?Bila saja kutoleh para penyokong yang bersorak padaku,entah kuasa apa aku mampu berlari dengan lebih laju dan akhirnya aku berjaya tiba di garisan penamat.Selepas didakap keluarga,aku meluru kepada penyokong-penyokongku sambil menjeri ‘TERIMA KASIH!TERIMA KASIH!INI SEMUA SEMANGAT KALIAN!”Aku terjaga bila lampu stadium terpadam secara tiba-tiba.Kenapa mimpiku berhenti pada waktu itu?Aku masih belum puas meraikan penyokong-penyokongku.

Ada hikmahnya mimpi itu buat peringatan padaku untuk lebih menghargai semua yang menyokongku di sepanjang perjalanan karierku.Aku akui,jika dibandingkan dengan rakan-rakan artis yang lain,aku antara yang pasif,kurang aktiviti bersama peminat dan jarang mengemaskini status terkini walaupun medium internet sudah menjadi modus operandi utama dalam setiap urusan seharian generasi millennium ini.

Lantas dalam senggang masa yang terlalu singkat,aku nekad untuk mengenepikan tanggungjawab utamaku buat seketika untuk bertemu dengan para peminat di ABPBH Tour di Melaka.Aku tidak mahu sia-siakan sokongan mereka.Sokongan mereka adalah nadi tunjang penggerak semangatku untuk lebih berkerja keras dalam menghasilkan filem-filem produk tempatan yang mampu memuaskan hati majoriti dan seterusnya mampu menambat hati masyarakat antarabangsa,insyaAllah.

Mungkin aku jarang berinteraksi namun percayalah,dalam tiap doaku,tidak pernah lekang bibir memohon agar Allah berkati hidup kita semua,para penyokongku dan tidak lupa juga pada yang ‘tidak menyokongku’ kerana dalam sesingkat hidup kita ini kita tidak mahu ada benci.Biar yang ada hanya kasih sayang dan berbaik sangka.

Akhir kata,buat semua peminat/penyokong terutamanya,AKU SAYANG KALIAN SEMUA.Sokongan kalian amat aku hargai .Aku berjanji akan terus berusaha keras untuk memberikan yang terbaik untuk semua .Nantikan ‘hadiah-hadiah’ku buat semua di panggung bila tiba masanya.KALIAN adalah ‘HERO’ & ‘HEROIN’ku!TERIMA KASIH!

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

P/s :
Official fan page di Facebook : Syamsul Yusof – Burn & Soul
Twitter : @burnsoul4u