Bismillahirrahmaanirrahim..
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
[Al-Baqarah 216]
Itulah ayatNya yang aku guna sebagai Mukaddimah filem terbaruku BOHSIA 2 – JALAN KEMBALI ini.Penangannya cukup terkesan dalam jiwaku lantaran itu berulang-ulang aku selitkan dalam filem ke-7 arahanku ini.
Alhamdulillah.Aku panjatkan segala kesyukuran pada Pencipta,Allah s.w.t atas rezeki,kejayaan yang diberi untuk kutipan yang amat memberangsangkan.Sungguh aku amat bersyukur namun jujur aku lebih bersyukur jika filem BOHSIA 2 ini benar-benar mampu memberi impak pada hati-hati kita semua dan terutamanya golongan remaja yang sedang leka dengan ‘tipu daya keriangan dunia’ sehingga lupa ada yang lebih kekal di ‘sana’.
Melalui filem ini aku mahu kita semua sedar yang pintu taubat Allah sentiasa terbuka selagi kita masih bernyawa dan jangan sekali-kali kita persiakan sisa masa pinjamanNya ini untuk melakukan perkara-perkara yang sia-sia dan mampu mendatangkan murkaNya kerana kita tidak tahu bila ‘tarikh tamat’ kita di dunia.
Aku percaya,jauh di sudut hati kita semua,walau seteruk mana sekalipun kita,masih ada sekelumit rasa insaf bila dipaparkan dengan plot-plot agama dan kematian kerana kita tahu,mati itu pasti dan tiada apa yang lebih pasti dari mati.Cuma,kita sering menipu diri,menyedapkan hati dengan berkata “Aku masih muda lagi.Masih banyak masa untuk berubah.Nanti bila dah tua,aku bertaubatlah.Sekarang masa untuk aku bersuka-ria,kenal dunia habis-habisan”Itula tutur kata atau suara hati tipikal kita.Astaghfirullah.
Buat pengetahuan semua aku juga ada berlakon dalam episode pertama Tanah Kubur musim ke-4 baru-baru ini.Zahirnya aku mungkin nampak bersahaja pada tiap plot yang dilakonkan tetapi di sini aku mahu buka rahsiaku – Ada satu rasa yang amat menakutkan menyelinap pada tiap relung nadiku,pada malam selepas lakonanku dikafankan aku bermimpi aku tidak sempat untuk bertaubat dan memohon ampun pada mama & papa sebelum aku menghembuskan nafasku yang terakhir.
Aku meronta-ronta minta diberi peluang ke-dua untuk dihidupkan semula walau hanya buat seketika untuk bertaubat dan berjumpa mama & papa.Aku terjaga bila jam locengku bordering untuk subuh.Lencun bajuku.Berair mataku.Menggigil tubuhku.Aku menangis seperti anak kecil,mengucapkan syukur aku masih bernyawa.Terima kasih ya Allah.Itu pengalamanku.Itu rahsia yang aku bongkar tentang diriku yang sering lupa.Jikalau benar itu semua,hampir pasti aku bukan penghuni syurga.Jangan kita persiakan peluang kita di ‘sini’,kawan-kawan
Buat semua yang sudah menonton BOHSIA 2 – Jalan Kembali,TERIMA KASIH.Buat yang masih belum menonton,jangan lupa untuk menonton. .InsyaAllah bila keluar saja dari panggung,kamu tidak akan rasa 'kosong'Sama-sama kita martabatkan filem tempatan!
Sebelum mengakhiri tulisanku kali ini,aku mahu mengucapkan terima kasih yang tak terhingga juga pada semua wartawan,juruhebah,blogger yang menggunakan medium media massa dan internet untuk mempromosikan filem BOHSIA 2.Seawal karierku lagi,kalian sentiasa bersama.TERIMA KASIH!
“Tidak kira berapa jauh sudah kau lalui 'jalan hitam',selagi masih bernyawa,kau masih ada masa untuk menukar arah ke 'jalan kembali’”
Salam sayang buat semua!
Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof