Saturday, December 22, 2012

12.12.12



12.12.12 Cantik tarikh ini.Aku terima banyak jemputan untuk menghadirkan diri pada majlis pertunangan dan perkahwinan kawan-kawan.Tersenyum aku sendiri.Bahagia mendengar cerita ‘masjid baru yang dibina’.Alhamdulillah.Tahniah buat semua yang akan menamatkan zaman bujang mereka dan yang bakal mengikat tali kesatuan yang halal.Moga Allah merahmati kalian dan didoakan agar kekal bahagia ke syurga.InsyaAllah ‘masa aku’ akan kunjung tiba.Biar aku benar-benar bersedia dulu sebelum memasuki fasa ini dalam tempoh kehidupan yang bersisa.Berkali-kali ditanya,jawapanku tetap sama,bila sampai masanya,akan kukhabarkan pada semua.

Hari ini,aku masih di sini,di rumah ke-2 ku seperti biasa,bersengkang mata,cuba mencabar kemampuan diri mengejar kesempurnaan dalam hasil karya terbaruku yang ditunggu-tunggu “KL GANGSTER 2”.Filem ini adalah filemku yang paling mencabar dan ‘kapasiti’nya jauh lebih berat dari filem-filem yang pernah aku hasilkan sebelum ini.Dengan kos belanjanya yang tertinggi dan tempoh masa pengambaran yang paling lama jika dibandingkan dengan filem-filemku yang lain,maka aku cuba buktikan ‘sesuatu’,cuba mencipta sekali lagi insyaAllah fenomena  dalam dunia filem Negara.InsyaAllah.

Jika ditanya kenapa mengambil masa yang lama.Jawapanku “Lama,ya.Nantikan saja hasilnya.”Ini bukan satu eksperimentasi dalam satu jangka masa singkat yang dikira melalu jam randik hingga deringan tamat tempohnya kedengaran,tetapi ini lebih dari itu semua.Ini karya anak Malaysia yang mahu hasilnya mampu membuka mata dunia yang saban hari melihat hasil karya kita hanya dengan sebelah mata.Aku mahu dunia tahu kita rakyat Malaysia juga mampu,malah tidak mustahil lebih baik dari mereka,siapa tahu.

Laluan yang kutempuh bersama krew KL GANGSTER 2 kali ini lebih mencabar kerana kejayaan KL GANGSTER yang pertama telah meletakkan satu  ‘benchmark’ yang cukup tinggi,menyedarkan kami yang ekspektasi semua juga tinggi.Maka dengan ‘tekanan positif’ inilah membuatkan aku lebih berjaga-jaga dan teliti.Syukur aku punyai keluarga yang saban hari memberi semangat,membantu dalam segenap segi.Tanpa mereka aku tidak akan berada di mana aku berdiri hari ini.

Papa jarang berkata-kata lewat ini kerana dia tahu aku perlukan konsentrasi tetapi sekali dia bersuara,menusuk ke hati “Buat yang terbaik.Jadikan karya kali ni karya terunggul.Ini masa depan industri”.Mama pula tidak putus-putus memberi kata-kata semangat. “Kerja-kerja juga.Tuhan jangan sekali lupa.Dia yang mudahkan dan bagi idea”.Dua tunjang hati yang walau jarang aku nyatakan secara berdepan betapa sayangnya aku pada mereka,jauh di sudut hati,dalam tiap doa yang kutitip setiap hari,nama mereka yang kudoakan kesejahteraan yang pertama.Terima kasih Papa Mama.


Sebelum terlupa,aku ingin mengucapkan terima kasih pada semua yang telah menyokong usaha kami,aku bersama sepupuku Dr.Anwar Fazal dalam menghasilkan baju T dan ‘sweater’ Islamik.2 produk pertama kami : ‘Sweater’ “MY HIJAB” dan baju T “SAVE GAZA” telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.Lebih terharu bila ‘sweater’ “MY HIJAB” kami dipakai oleh delegasi ke Gaza,Palestin;Heliza Helmi dan Farah Deeba.


Tempahan fasa pertama ke-dua dua produk pertama kami ini baru dibuka kembali dek permintaan yang terlalu tinggi.Jom,membeli sambil menderma.Untuk urusan tempahan,pertanyaan boleh dibuat di ‘page’ rasmi  FB kami – BURN & SOUL ISLAMIC PARAPHERNALIA.Tahniah buat delegasi Malaysia ke Gaza,Palestin.Rakan-rakan artis yang ke sana seperti Abang Afdlin Shauki,Bront Palare dan Zain Saidin – tahniah!Kalian bawa semangat kami di sini!Terima kasih.

Akhir kata,doakanku agar segala urusanku dalam menghasilkan filem terbaruku ini “KL GANGSTER 2” dimudahkan dan hasilnya mampu memberi impak besar pada semua dan industri filem Negara.Doa kalian adalah hadiah yang paling berharga.Moga hari ini dan hari-hari seterusnya dapat memberi kita harapan demi harapan untuk hari yang lebih gemilang di ‘depan’.

Sebelum terlupa selamat Hari Lahir buat Dr.Anwar Fazal -  20.12.2012.Juga cantik tarikhnya secantik yang tersimpan untuk tuannya,InsyaAllah sentiasa didoakan.

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

Saturday, December 1, 2012

PALESTIN,Janji DIA tentangmu benar.Sabar.


Tercungap-cungap.Aku mencuri nafas dalam nafas.Degup jantung usah ditanya,terasa seperti ingin terkeluar dari kantungnya.Aku berjaya melarikan diri.Bunyi bedilan mortar di sana sini diikuti letupan misil yang mengena pada kawasan yang berjarak kurang dari 500 meter dari tempat aku berdiri.Baju lencun dengan darah seorang kanak-kanak yang aku cuba larikan sama setelah dibedil di kepalanya,namun Allah lebih menyayanginya.Kini aku berdiri membelakangi dinding nipis runtuhan rumah yang separuh hancur hasil ledakan bom zionis.Aku hilang punca.Mulut terkumat-kamit dengan doa.Aku nekad mahu lari dari sini.Sebaik sahaja aku mula lari,deruan peluru menuju ke arahku dan mengena badanku.Rebah.Mulut cuba mengucap syahadah.Tergagap-gagap.Datang seorang tentera zionis memijak kepalaku.Mengacukan hulu senjatanya tepat pada tengkorak kiriku.1 das.Gelap.


Terang.Aku tersedar.Mimpi yang cukup menyedarkan.Aku rasa seperti mati hidup kembali.Segalanya terlalu jelas sehingga aku perlu masa untuk menstabilkan diri,ritma nafas dan jantung hati.Aku menangis.Elok sahaja di radio sedang diputarkan alunan Quran yang kedengaran cukup menyebakkan.Aku bingkas ke tandas,membasuh muka,berwudhu.Jam sudah menunjukkan pukul 5.15 pagi.Aku tarik nafas dalam dalam.Mataku pejam rapat rapat.Kumainkan semula mimpiku tadi dalam layar fikiran.Ya Allah,begitukah keadaan mereka di sana.Aku di sini,bersenang lenang,hidup dalam penuh keselesaan tetapi masih lupa untuk mengingati Pencipta.Istighfar.Astaghfirullah..

Entri kali ini kutulis sesudah subuh.Subuh yang cuba kutenteramkan jiwa dari paparan yang cukup menyesakkan minda,melihat mayat saudara seAgama bergelimpangan di merata-rata dan aku tak mampu berbuat apa-apa.Dulu ketika aku masih belum cukup matang,isu Palestin ini,aku tidak mengambilnya terlalu serius.Hidup terbuai dengan cerita-cerita dunia dan hiburan yang lebih diwar-warkan dari isu Palestin ini.Ampunkan aku,Tuhan.Berikan aku peluang untuk baiki diri.Berikan kami semua kesedaran demi kesedaran dalam dunia yang penuh dengan khayalan.


Sehingga ke hari ini,melihat kemaskini tol kematian di Palestin sudah melebihi 100 orang dan 850 dilaporkan tercedera yang mana bilangan mangsa dari kanak-kanak sahaja sudah 260 dan perempuan 140.Gila,bukan?Kita di sini,sedang bergembira,leka dengan keamanan yang entah bila akan Dia tarik semula jika kita terus lupa.Aku menyeru pada semua agar isu kekejaman Israel pada Palestin ini diambil serius kerana ini isu sejagat.Darah yang mengalir dalam relung nadi mereka adalah darah yang sama dengan kita.Mereka adalah saudara kita.’Sayangilah saudaramu seperti kau menyanyangi dirimu’

Pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha untuk membantu mereka.Antaranya ialah dengan menderma.Ada beberapa badan autoriti yang sah dalam menjadi orang tengah.Cari dan hulurkanlah derma pada kadar yang termampu.Biar sedikit,tetapi jika sedikit itu berserta keikhlasan,berkatnya melimpah ruah dan Allah ada cara untuk mencukupkan kita dalam yang sedikit itu.Usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan memboikot produk-produk Israel.Cari senarai terkini 2012 barangan atau produk mereka.Ingat,setiap sen yang dilaburkan pada mereka digunakan untuk membeli peluru yang tembus ke dalam badan orang-orang Palestin.


Doa.Itulah senjata kita yang utama.Biar bom,biar misil,biar peluru apa sekalipun yang mereka guna,doa kita adalah penangkis.Doa kita adalah senjata yang paling kuat dan yang paling luar biasa kuasanya.Jangan lupa,dalam tiap masa kita berdoa,titipkan doa buat mereka.Mereka perlukan doa kita.Jangan lokek doa.Jangan.Mereka sangat perlukan.

Aku menulis entriku kali ini dengan mata yang berkaca.Lagu “We wil not go down”  aku mainkan berkali-kali.Aku mahu semangat mereka mengalir dalam diriku dan dalam diri kita semua.

Sebelum terlupa,aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada semua yang sudah membeli ‘sweater’ “My Hijab” kami;Burn & Soul Islamic Paraphernalia.Fasa pertama jualan cukup mendapat sambutan sehingga perlu penambahan.Proses penghantaran sedang dilakukan dan di sini aku ingin membuat pengumuman,kami Burn & Soul Paraphernalia mengeluarkan T-Shirt terbaru "SAVE GAZA" untuk memberi kesedaran tentang isu Palestin.Layari laman Facebook ‘Burn & Soul Paraphernalia’ untuk membuat pilihan.Sebahagian dari keuntungan jualan akan disalurkan pada tabung Palestin.Membeli sambil menderma,insyaAllah.



Sebelum aku mengakhiri,aku ingin mengucapkan terima kasih pada Hafiz Hamidun dan semua yang menjayakan Malam Konsert Zikir Terapi kerana memberiku dan sepupuku Dr Anwar Fazal peluang untuk turut serta.Maaf jika sebakku tidak mampu dibendung ketika menyanyikan bait-bait akhir lagu “Ya Robbi”.Sungguh itu datang dengan sendiri dari hati.Malam itu malam syahdu bila mendengar alunan zikir Hafiz.InsyaAllah,aku dan sepupuku,Burn & Soul akan terus bersama kalian dan terus menghasilkan lagu-lagu bercorak kesedaran.



“Ayuh berdoa untuk mereka di Gaza.Doa kita senjata mereka!Rob,kirimkan 'ababil'Mu,kirimkan balasanMu yang datang dari langit,bumi,laut & dari segenap penjuru!”-Dr.Anwar Fazal

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

P/s:
Layari Facebook page kami "BURN & SOUL ISLAMIC PARAPHERNALIA" untuk pembelian produk-produk kami yang mana terbaru ialah kemeja-T "SAVE GAZA"
Facebook page: http://www.facebook.com/BurnSoulIslamicParaphernalia