Sunday, February 5, 2012

MUZIK & MAGIS


Hari ini hari santai buatku setelah hampir lebih sebulan berhempas pulas bersama pasukan KL GANGSTER 2.Sebelum aku meneruskan penulisanku,sedikit info kemaskini mengenai KLG2,file mini sudah 85% siap penggambarannya dan aksi-aksi lagak ngeri dan aksi-aksi yang melibatkan letupan sudah hampir siap sepenuhnya.Syukur kerana tenaga kerja KLG2 semua meletakkan 101% tenaga dan komitmen dalam penghasilan filem pre-kual ini.TERIMA KASIH!

Buat pengetahuan semua juga,filem KLG2 rupanya dalam diam dipantau oleh syarikat-syarikat filem antarabangsa kerana aku menerima beberapa e-mail daripada pihak mereka menyatakan kesudian mereka dalam menjadi rakan kongsi dan  mahu berkerjasama dalam menghasilkan filem usaha-sama 2 negara yang bertaraf antarabangsa buat pasaran dan tontonan global.Dalam festival filem antarabangsa Hua Hin,Thailand yang lepas juga aku dikhabarkan KL Gangster telah berjaya menambat hati penggiat filem Asia dan Eropah.Ini petanda bahawa filem-filem kita sudah mula mendapat perhatian antarabangsa dan tidak mustahil sama kali,suatu hari nanti mampu ke layar global dan dipertontonkan di seantero dunia.InsyaAllah!

Muzik?Ada apa dengan Muzik?

Jika ditanya padaku,bagiku Muzik adalah ‘warna –warna kehidupan’.Ada jutaan warna dalam lukisan kehidupan.Semuanya digunakan mengikut emosi dan situasi.Ada kala jiwa kita sayu tak menentu,perasaan tercalar dek insiden yang berlaku,ditambah dengan persekitaran;dalam mendung atau rintik hujan yang turun menghentak bumbung bertalu-talu,sebagai contohnya.Kala itu jika didengar muzik yang bernada sayu dengan lenggok liriknya yang menusuk kalbu,ditambah dengan penyampaian yang mendayu-dayu,jangan tipu,rasa sebak akan hadir tidak menentu dan air mata jadi murah,mengalir pada pipi-pipi kita yang gebu :)
Jika berdepan pula dengan ujian atau cabaran,tidak dapat disangkal kita perlukan sesuatu untuk dijadikan semangat atau tenaga anjakan yang mampu memberi kita tenaga dalaman dalam meneruskan langkah dalam perjalanan kehidupan.Kala itu muzik sedikit sebanyak membantu.Aku percaya setiap individu punyai satu dua lagu pembakar semangat yang sering didengar bila saja berdepan dengan masalah-masalah kehidupan.

Itulah contoh yang mampu kuberikan sebagai gambaran impak muzik dalam kehidupan kita seharian.Aku secara peribadi,adalah penggemar muzik sejak dari kecil lagi.Muzik sering menjadi teman setia dalam proses kehidupanku.Ramai yang bertanya mengapa setiap kali aku akan mula untuk megarah sesuatu plot yang mencabar aku perlukan masa di dalam kereta bersendirian?Selain doa pada DIA agar dimudahkan,aku punyai pilihan laguku sendiri yang perlu kudengar sebagai pembakar semangat.

Sebelum terlupa,Tahniah buat semua pemuzik-pemuzik tanah air yang telah melibatkan diri dan telah tercalon untuk AJL 2012 baru-baru ini.Buat mereka yang mengungguli dengan memenangi anugerah-anugerah yang dipertandingkan,tahniah sekali lagi.Bawa muzik kita ke persada antarabangsa.Belajar dari orang-orang lama seperti Sifu M.Nasir & Dato Siti Nurhaliza yang walau putaran dunia kian ligat dengan kemajuan,keaslian lagu tanah air terus dipertahankan.

Akhir kata,nantikan kemunculan lagu-laguku.Aku juga mahu turut serta dalam ‘warna-warni persada muzik Malaysia’.Buat semua,jangan terlalu asyik dan mengagung-agungkan lagu ‘luar’ bila lagu-lagu kita sendiri setanding lagu-lagu mereka,malah tidak salah jika aku nyatakan,banyak yang lebih baik daripada mereka.Kita anak Malaysia,maka sokonglah usaha dan sentuhan anak-anak Malaysia kerana jika bukan kita,siapa lagi?



“Muzik-ada magis yang perlu diteroka dan dirasa..”

Salam satu Malaysia!

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof

3 comments:

zalliana said...

music is magic...bukan semua org faham muzik...tapi semua org boleh belajar bagaimana menghargai sesuatu muzik....

Anonymous said...

Semoga lagu-lagu yang bakal dilahirkan akan mendekatkan kita kpd Yang Esa dan memberi impak positive kpd sang setia muzik.

Aliha said...

Setiap musik ada sentimental valuenya tersendiri. kdg kala, musik itu akn mmbuat kita gembira. kdg kala sedih. Musik akn membuat diri Lya tenang. Masalah yg melanda diri Lya. kalau Lya dengar musik, pasti Lya akn lupa seketika massalah Lya. ;)