Aku rasa seperti baru semalam aku berada di majlis Anugerah Blokbuster Astro yang buat pertama kalinya berlangsung pada 6 Oktober yang lepas.Terlalu banyak cerita dan tanda tanya yang terungkai pada malam itu.Sungguh kejayaanku dan Skop production merangkul 5 trofi daripada 15 kategori yang dipertandingkan benar-benar di luar jangkauan.5 kategori itu ialah:
1)Filem Terhebat – KL Gangster
2)Direktor Terhebat – bagi KL Gangster
3)Filem Aksi Terhebat – KL Gangster
4)Filem Takut Terhebat – Khurafat
5)Anugerah Khas PFM (Persatuan Penerbit Filem Malaysia)
Jika ditanya padaku adakah ini semua sudah dijangka seawalnya?Jawapanku,jujur,melihat pada skala undian internet, KL Gangster hanya mampu mengungguli kategori Filem Aksi Terhebat manakala Khurafat pula bagi Filem Takut Terhebat.Bagi filem terhebat aku menjangkakan Ombak Rindu atau Hikayat Merong Mahawangsa yang akan memenangi dan bagi kategori director terhebat,tiada lain di fikiranku,aku meletakkan Abang Yusry sebagai pilihan pertama.
Namun ini semua ketentuanNya,rezeki yang diberi olehNya yang perlu diteliti maksud tersirat dan yang tersembunyi.Aku bersyukur atas kejayaan kali ini.Seperti yang semua sedia maklum,anugerah ini 100% ditentukan melalui undian para penonton,tanpa diadili oleh mana-mana juri,kecuali bagi anugerah khas PFM.Maka di sini,aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih pada semua yang mengundi,sama ada melalui medium internet ataupun sms yang berbayar.Aku sangat terharu.Kalian adalah pembakar semangatku untuk berjuang dengan lebih gigih dalam menaik-tarafkan industri pefileman Negara,insyaAllah.
Malam itu Papa kurang bersuara.Hanya ucapan ringkas “Tahniah” disusuli jabat tangan dan pelukan. Ketika aku ditemubual,beberapa kali mataku bertaut,bertembung dengan pandangan matanya yang melihatku dari jauh bersama Mama.Saat itu entah mengapa rasa syukurku memuncak bila aku benar-benar sedar aku dilahirkan dalam keluarga yang sentiasa menyokongku dalam apa jua yang aku lakukan dan sentiasa ada dalam jatuh bangunku.Papa dan Mama adalah sebab utama berdirinya aku di sini pada hari ini.Terima kasih buat Papa dan Mama.Jasa kalian takkan mampu kubalas.Aku akan terus lakukan yang terbaik.Aku mahu jadi kebanggaan kalian berdua-sampai bila-bila!
Ada yang bertanya mengapa aku kelihatan lebih bersahaja dan tidak lagi menangis seperti sebelumnya bila diumumkan sebagai pemenang,ketika naik ke pentas?Jawapanku,aku menangis di dalam hatiku,dan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada malam itu aku menangis tanpa segan silu.Aku bertanya pada diri,apa bagusnya karyaku berbanding dengan karya-karya orang lain yang jauh lebih hebat daripada karyaku?Kenapa Allah terus-terusan memberi dan memberi dan aku terima dan terima tanpa rasa malu?Masih terngiang-ngiang pesan sepupuku Dr.Anwar Fazal
“5 anugerah itu satu peringatan untuk menjaga 5 waktu itu”.Nah.Itu jawapan pada semua aku kira.Kejayaan ini harus mendekatkan aku pada DIA dan harus lebih ‘menundukkan’ bukan ‘meninggi diri’ dan ‘mendabik dada’.
Aku tidak mampu menulis panjang pada slotku kali ini kerana pada saat ini,air mata aku berjuraian.Aku harap sedikit luahan dari hati ke hatiku ini mampu memberi sedikit ‘pencerahan’ pada semua,tidak kira siapa,yang hidup ini hanya sementara dan kejayaan dunia jika tidak disyukuri tidak mampu membawa ke mana-mana malah jika ‘lupa diri’ mampu menukar destinasi akhir kita di ‘sana’.
Buat semua yang bertanya bila
KL GANGSTER 2 akan ditayangkan,insyaAllah pada awal tahun hadapan.KL GANGSTER 2 ini hadiahku yang ‘paling besar’ untuk semua penonton dan penyokong filem tempatan sepanjang tempoh karierku.Sabar dulu.Percayalah,penantian kalian insyaAllah berbaloi.
Pesananku,buat semua yang memenangi anugerah pada malam itu,jangan sekali dilupakan asal-usul kita,dari mana kita bermula.Jangan lupa misi utama kita dalam industri bukan hanya untuk kepentingan peribadi tetapi untuk memartabatkan industri dan membawa industri ke persada yang lebih tinggi.Buat semua penggiat filem tempatan,anugerah ini buat semua!
Sebelum terlupa,terima kasih buat kerajaan yang memperuntukkan RM 6 juta dalam menyokong usaha pembangunan seni tempatan dalam belanjawan 2013 yang baru dibentangkan.Moga dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat dan meringankan beban semua anak seni.
Akhir kata,terima kasih kepada semua pengikut setia tulisanku di sini.Jika mahu membaca tulisanku yang sebelum-sebelum ini boleh terus ke blogku : prodigiousburnsoul.blogspot.com
“Tiada istilah yang ‘terhebat’ antara kita kerana yang ‘terhebat’ hanya DIA.”
Salam penuh kesyukuran!
Pengarah kerdil,
Syamsul Yusof.
Twitter : @burnsoul4u
*Stay tuned.Burn & Soul Islamic Paraphernalia akan mula menjual T-shirt tak lama lagi.
*Ada kejutan buat semua pengikut Burn & Soul.InsyaAllah.