Tuesday, November 29, 2011

MATI ITU INSPIRASI

Malam ini aku sendiri lagi di bilik ‘editing’ini.Bilik ini sudah menjadi seperti dunia kecilku yang saban hari ku datangi dengan harapan agar idea-idea baruku dapat di’evolusi’kan sebelum siap sepenuhnya buat tatapan umum.Saat kalian membaca entriku ini,aku kira aku sudah berada di kota Bangkok atas urusan pra-produksi filemku yang akan datang.Doakan agar banjir tidak sampai di kawasanku ditempatkan sepanjang di sana nanti.Terima kasih semua!

“Tidak ada seorang pun yang menginginkan kematian,meski mereka yang ingin ke syurga.Namun kematian adalah tujuan kita bersama dan tidak ada sesiapa yang boleh melarikan diri dari kematian. Kematian adalah penemuan dan ciptaan terbaik dalam kehidupan Ia membersihkan yang lama dan membuat jalan untuk yang baru. Sekarang yang baru adalah kamu,namun suatu saat nanti kamu akan menjadi tua dan ‘dibersihkan’.Maaf terlalu dramatik, namun ini benar”.
Steve Jobs 1955-2011


Kurang dari seminggu yang lepas,dunia dikejutkan dengan kematian Steve Jobs.Jujurnya aku tidak mengikuti perkembangan dan cetusan revolusi teknologi komunikasi Apple di bawahnya sebelum ini,tetapi bila dibaca biografinya dan ditonton video-videonya,ternyata Steve Jobs adalah seorang tokoh lagenda ikon  teknologi moden dunia yang sukar dicari ganti.

Tidak perlu untukku menceritakan sejarah hidupnya di sini.Cari saja pada laman sesawang global.Pasti ada puluhan pautan yang diberi untuk mengakses blog-blog yang menceritakan sepenuhnya sejarah hidup ikon teknologi moden ini.Ada beberapa kualitinya yang benar-benar aku kagumi dan harus dicontohi.

1)Tidak pernah berpuas hati dengan kejayaannya walaupun sudah berada di puncak.Dia terus memperbaiki dan percaya dalam setiap hasil usahanya masih ada ruang untuk pembaharuan.

2)Berfikir di luar kotak pemikiran tipikal.Jangan takut untuk berfikir sesuatu yang  mustahil.Mustahil sebelum ini dan sekarang,boleh jadi tidak mustahil pada masa akan datang.

3)Tidak bersifat individualistik.Sering menggunakan kata ganti nama ‘kami’.Menghargai usaha berkumpulan.

4)Sering menderma dan pada setiap keuntungan yang diperolehi ada peratusan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan bantuan.

5)KEMATIAN adalah pendorong terbesar dalam mencapai visinya selama ini.Mahu jadi yang terbaik di dalam bidangnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Aku kagum dengannya.Kita yang beragama Islam seharusnya lebih-lebih lagi terkesan pada hati kerana kita tahu dunia ini hanya persinggahan,tempat untuk kita mengumpul ‘harta sebenar’ untuk dibawa ke destinasi pasti yang kekal selama-lamanya di sana nanti.

Teringat kata-kata sepupuku tatkala kami masih berada di Mekah,”Tidak perlu dicari motivasi lain sebenarnya, kerana MOTIVASI TERHEBAT SEPANJANG ZAMAN  adalah KEMATIAN”

Saat jari-jemariku baru sahaja berhenti menari pada papan kekunci komputer ini,telefon bimbitku berdering.

Berderau darahku.Degup jantung dan nadi terasa seperti berhenti buat seketika.

Aku baru sahaja dikhabarkan;Dato Ahmad Jais baru menghembuskan nafasnya yang terakhir sebentar tadi. “Ya Allah.. Innalillahiwainnailaihirojiun..

Apa yang aku rasa saat ini sukar diinterpretasikan dengan bahasa.Seperti ada tanda daripada ‘DIA’ buat kita hamba-hambaNya yang masih bernyawa untuk berfikir.

Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Arwah Dato Ahmad Jais;Penyanyi Lagenda yang akan dikenang selamanya.

Pengarah Kerdil,
Syamsul Yusof
 
 

1 comment:

dr.ili.mukhtar said...

sabda Rasulullah saw
orang yang bijak adalah yang sentiasa mengingati mati

amalan baginda adlh dgn menziarahi perkuburan. selain sedekahkn alfatihah buat yg telah pergi, a moment utk muhasabah diri

kata2 hikmah..kematian adalah sebaik-baik penasihat